Ahad, 4 Mac 2018

Nasi Impit Kuah Kacang Satey Ayam Goreng

Sungguh sedap rasanya. Resepi dari mak mentua. Mak mentua pula kata resepi ni hasil ide dari ayah mentua. 😂😂


Asalnya suami Mak Hencik minta Mak Hencik buatkan. Katanya letak daging dalam kuah kacang. Jadi Mak Hencik pun tumis bahan dan masukkan daging cincang. Dah siap dan makan, dia kata bukan macam ni. Bukan macam ni.. Rasa gini 😢😢 juga tau..

Suatu hari selepas Hari Raya Haji, singgah rumah mak mentua. Dia hidangkan nasi impit kuah kacang satey daging goreng. Ooo gini rupanya cara nak menyediakannya.. Lepas tu berhempas-pulaslah Mak Hencik membuatnya terutamanya sebagai juadah Hari Raya. Terima kasih mak.


RESEPI KUAH KACANG SATAY AYAM GORENG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Kuah Kacang

1/2 kg kacang tanah - disangai kemudian dikisar sederhana lumat.
*10 tangkai cili kering - kalau nak pedas, lebihkan.
*4 biji bawang putih
*1 biji bawang merah besar
Bahan bertanda * dikisar halus
2 batang serai - diketuk

**1 sudu kecil jintan manis - disangai
**1 sudu kecil jintan putih - disangai
Bahan bertanda ** ditumbuk halus

2 cawan santan pekat
3 cawan air atau tambah ikut nak kuah banyak mana
Air asam jawa secukupnya
Minyak untuk menumis secukupnya

Bahan-bahan Satay Ayam Goreng

3 ketul isi ayam saiz besar - dipotong kiub kecil
*1 biji bawang putih
*2 biji bawang merah
*1 sudu kecil jintan manis
*1 sudu kecil jintan putih
*1 sudu kecil ketumbar
*1 inci kunyit
*2 batang serai
Semua bahan bertanda * dikisar halus.

1/2 cawan gula
1/4 cawan gula perang
1 1/2 sudu kecil garam

Cara-cara menyediakannya

Mula-mula kita rebus nasi impit. Sambil tunggu nasi impit masak, kita sediakan kuah kacang. Lepas tu kita sediakan satay ayam goreng. Atau seeloknya kita sediakan satay ayam goreng dulu. Perap. Kemudian barulah kuah kacang. Eh eh suka hati laa nak buat yang mana dulu. 😉😉

Jom buat kuah kacang.


Kacang tanah disangai atau digoreng tanpa minyak. Apabila masak, sejukkan dan buang kulitnya.

Kalau ada badang, gosokkan kacang ke badang nanti kulitnya akan tanggal. Lepas tu tampi pulak untuk asingkan kulit dan isi kacang. Berterbangan kulit-kulit kacang tersebut. Tu zaman dulu.. 😁😁 er er badang bukan orang tau. Ia sejenis dulang diperbuat daripada buluh.

Zaman sekarang ni, caranya sangat mudah. Masukkan sajer kacang ke dalam bekas yang ada lubang-lubang kecil. Lepas tu ramas kacang-kacang tu. Nanti kulitnya akan keluar ikut lubang-lubang bekas tu.

Dah siap nanti kisar kacang-kacang tersebut sehingga hancur. Ketepikan dulu.


Sangai jintan manis, jintan putih kemudian tumbuk kasar. Ketepikan.


Cili kering, bawang putih dan bawang merah dikisar halus.


Mula-mula tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.

Kemudian masukkan bahan tumbuk, iaitu jintan manis dan jintan putih.


Lepas tu masukkan kacang kisar.


Tambah santan dan air secukupnya.


Masukkan gula, gula merah dan garam. Masukkan juga serai yang diketuk.


Kacau seketika.


Masukkan air asam jawa. Biarkan kuah mendidih dan mereneh sehingga kuah pekat.

Kuah kacang ni Mak Hencik suka ada rasa manis, masam sikit dan masin sikit. Barulah aummmm..


Dah siap kuah kacangnya. Senang ajer kan. Tutuplah api.

Cara buat satay ayam goreng


Isi ayam dipotong kiub saiz kecil, dibasuh dan ditoskan.


Bahan untuk dikisar seperti bawang putih, bawang merah, kunyit, halia, serai, jintan manis, jintan putih dan ketumbar.


Kisar hingga hancur berkecai.


Isi ayam yang ditoskan tadi dimasukkan ke dalam besen kecil. Kemudian, tuang bahan kisar ke dalam bekas isi ayam.


Masukkan garam, gula dan gula merah. Gaul sebati.


Perap sebentar. Semakin lama kita perap semakin sedap jadinya. Jadi, simpan sekejap dalam peti sejuk.


Keluarkan dari peti sejuk.


 Panaskan sedikit minyak.


Goreng ayam satay sehingga masak atau sehingga garing.



Apabila sudah masak, bolehlah kita masukkan satay ayam goreng ke dalam kuah kacang.  Siaplah kuah kacang satay ayam goreng. Sedia untuk dimakan.


Nasi impit yang telah direbus awal-awal lagi. Kalau nak cepat, gunalah pressure cooker pelbagai fungsi. Kikiki

Jemput makan..

Bismillah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan