Mak kerap masak daging semasa kami kecil dulu berbanding ayam. Barangkali ketika itu daging lebih murah kot. Kalau mak masak daging goreng, sayalah orangnya yang suka ambil sembunyi-sembunyi dan ratah dagingnya. 😀😀
Daging ini saya beli dengan harga rm22 sekilogram. Harga biasa rm36 sekg. Saya tanya kenapa murah? Katanya sebab daging ni daging cincang. Ooo gitu.. Saya beli rm10 untuk sekali masak. Lagi pula saya dapati dagingnya elok sangat, tiada lemak dan tiada urat. Yang paling penting daging tu sudah siap dipotong cantik. 😀😀
DAGING GORENG KUNYIT KACANG BUNCIS
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahannya
*1/2 kg daging lembu - dihiris nipis
*1 1/2 sudu kecil kunyit serbuk
*1 1/2 sudu kecil garam atau secukupnya
Bahan bertanda * digaul bersama sehingga rata.
1 1/2 cawan air
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil gula
5 batang kacang buncis - dipotong serong
2 inci karot - dihiris halus
2 biji lada hijau - dipotong serong
1/2 biji bawang besar Holand - dipotong wedges
Sedikit minyak untuk menggoreng
Cara-cara menyediakannya
Mohler kita ke dapur
Daging dihiris nipis, dibasuh dan dibersihkan. Tos airnya.
Masukkan kunyit serbuk dan garam halus. Gaul hingga sebati.
Lepas tu bolehlah kita panaskan sedikit minyak masak dan goreng daging. Kacau seketika. Kemudian masukkan 1 cawan setengah air.
Seterusnya bolehlah ambil tudung periuk dan tutup kuali. Tujuannya supaya daging cepat empuk.
Sementara menantikan daging empuk, kita main potong-potong pula.
Kita potong serong kacang buncis elok-elok. Kita potong karot elok-elok. Biar sama sahaja saiznya. Biar sama sahaja panjangnya. Kalau nak mudah, ambil pembaris anak yang sekolah tu. Ukur betul-betul. 😂😂😂😂😂
Bila air daging dah hampir kering, buka penutup periuk. Kacau seketika sehingga airnya kering sedikit.
Masukkan kicap manis dan gula.
Kacau rata.
Kemudian masukkan kacang buncis, karot dan lada hijau. Kacau lagi sebentar.
Akhir sekali masukkan bawang besar Holand. Kacau sikit. Apabila bawang sudah layu, bolehlah matikan api.
Masukkan ke dalam pinggan hidangan dan sedia untuk dinikmati bersama insan tersayang. Chewahhh.
Jemput makan semua..
Bismillah.
Beli bekas di pusat bandar,
Naik kuda keliling desa;
Hidangan ringkas hidangan ala kadar,
Silalah cuba, silalah rasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan