Rabu, 1 November 2023

Wadey atau Vadai yang Mudah

Pilihan kuih bergoreng yang rangup di luar dan lembut di dalam

Sedap dimakan ketika masih panas. Nak buat pun mudah. Sebahagian menyebutnya wadey dan sebahagian yang lain  menyebutnya vadai. Awak semua sebut apa?


VADAI atau WADEY
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan kacang dhal
1 biji bawang merah besar -dicincang
2 biji cili besar hijau - dicincang
2 tangkai daun kari - dihiris halus
2 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk perasa, jika suka

Minyak masak untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya

Jom..jom kita ke dapur


Rendam kacang dhal semalaman. Kemudian basuh bersih dan toskan.


Kisar halus kacang dhal tadi. Masukkan ke dalam bekas.


Dalam bekas berisi kacang dhal tadi, masukkan bawang merah besar cincang, lada besar hijau cincang, daun kari yang dihiris nipis, garam dan perasa.


Gaul rata.


Bentukkan bulat dan tekan nipis. Kalau berderai, tekan kuat sikit.


Panaskan minyak. Bila dah panas, gorenglah vadai sehingga keperangan.

Bila dah masak, angkat dan toskan minyak.


Hidangkan. Sedia untuk kudapan petang.

Jemput makan semua sahabat, bismillah.. 

Ahad, 29 Oktober 2023

Kebab Ayam yang sedap

Makan kebab yang lazat memang mengenyangkan!

Selain berkhasiat, makanan seimbang ni mudah disediakan. Sangat sesuai untuk anak-anak membawa bekal ke sekolah


RESEPI KEBAB AYAM HOMEMADE
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 keping isi ayam bahagian dada dipotong nipis
1/4 cawan sos lada hitam
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam kasar
1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
Secubit garam

6 helai daun salad - dipotong kasar

Sos cili
Sos keju
Mayonnaises

Sedikit minyak masak
6 biji roti hot dog


Cata-cara menyediakannya

Jom.. jom kita ke dapur.


⛔ Isi ayam dibersihkan dan ditoskan.

⛔ Perap isi ayam dengan secubit garam, gula, sos tiram, sos lada hitam, serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah.

⛔Biarkan selama 30 minit.  Kalau nak lagi sedap kena perap lagi lama.


⛔ Panaskan kuali. Sapu sedikit minyak masak.

⛔ Bakar isi ayam atas kuali sehingga masak.


⛔ Sejukkan seketika.


⛔ Hiris nipis ayam yang dibakar tadi.


⛔ Hiris salad


⛔ Sediakan sos cili, sos keju dan mayonnaise.


⛔ Roti hotdog dibelah tepi. Nak belah tengah pun boleh juga 


⛔ Sapu sos cili dan mayonnaise. Susunkan hirisan daging ayam. 

⛔ Picitkan sos cili. Letakkan salad pula. Lepas tu picitkan pula sos cili, mayonnaise dan sos keju.

⛔ Dah boleh makan.. atau..


⛔Bungkus.

Sabtu, 28 Oktober 2023

Resepi Capati Gandum

Makan capati sebagai sarapan di pagi hari buat mengalas perut. Kandungan sihat dengan lemak yang minima sesuai untuk dinikmati oleh semua golongan.


Biasanya pagi-pagi kita makan nasi lemak kan, tapi hari ni kita tukar selera pula. Tambahan pula Pak Hencik tidak ada bersama pagi ni kerana malam tadi dah berangkat ke Beijing. 


RESEPI CAPATI GANDUM

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum

1 1/2 air panas mendidih

3 sudu besar marjerin

1 sudu besar garam


Cara-cara membuatnya

Jom.. jom kita ke dapur.


🟡Didihkan 1 1/2 cawan air.


🟡Dalam bekas hijau, masukkan 3 cawan tepung gandum, 3 sudu besar marjerin dan 1 sudu besar garam. (Mak Hencik guna marjerin ButterCup sebab tu jer yang ada)

🟡Gaul sehingga menjadi seperti serbuk roti.

🟡 Buatkan lubang di tengah.


🟡Tuang air panas mendidih di tengah-tengah.

🟡Kacau menggunakan sudip. Jangan guna tangan ya sebab sangat panas.


🟡Bila dah sejuk sikit, baharulah guna tangan dan uli sehingga menjadi doh yang lembut.

🟡 Rehatkan selama 15 minit.


🟡Bahagikan kepada 8-9 biji bebola.


🟡 Sediakan alas dan torak untuk mencanai. Canai sehingga nipis. Jika melekat, tabur sedikit tepung gandum.


🟡 Panaskan pan. Sapu sedikit minyak. (Mak Hencik guna Buttercup) Kemudian letak capati yang dicanai nipis tadi.


🟡 Tunggu sehingga menggelembung macam di atas.


🟡 Balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata.


🟡 Dah masak, bolehlah angkat.

🟡 Teruskan mencanai dan memasak atas api.


🟡Untuk menemani capati, kita masak kari ayam cincang untuk dicicah.

🟡 Jemput makan sahabat-sahabat.

🟡 Bismillah..



Sabtu, 21 Oktober 2023

Kuih Som Som Sagu Yang sangat sedap

 Ini namanya.. kuih Som Som Sagu yang super mudah untuk dibuat, enak pula rasanya.

Puas saya cari resepi kuih ni sebabnya saya tak tau nama dia apa. Dok Google kuih Sagu, pastu keluar kuih lain. Last-last tu baru keluar nama kuih ni.. Kuih Som-Som Sagu.. 


KUIH SOM-SOM SAGU GULA MERAH

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan Som-som

1 cawan sagu merah

3 cawan air

1/4 cawan gula

Sedikit pewarna merah

2 helai daun pandan disimpul 


Bahan-bahan Santan

1 cawan santan pekat / 250 ml santan kotak

3 cawan air

1/2 cawan tepung beras

1/2 sudu kecil garam

2 helai daun pandan disimpul


Bahan-bahan Gula Merah

1 1/2 cawan air

4 kerek kecil manisan / 1 cawan gula merah

1/4 cawan gula

2 helai daun pandan disimpul


Cara-cara membuatnya

Jom..


1. Panaskan 3 cawan air bersama 1/4 gula dan daun pandan yang disimpul. Masak sehingga gula larut.


Ni adalah sagu yang telah dibasuh bersih. Kita boleh guna sagu putih, merah atau hijau. Mak Hencik guna sagu merah kerana sagu tu jer yang ada. Hihihi


2. Masukkan sedikit pewarna merah. (Kalau guna sagu hijau, masukkan warna hijau ya. Jika guna sagu putih, boleh pilih nak kaler apa pun)

3. Keluarkan daun pandan.

4. Masukkan biji sagu. Kacau sekali sekala sehingga meletup-letup dan masak. 

5. Dah masak, tutup api.


6. Sediakan bekas, dalam 10-11 bekas. Masukkan sagu yang telah masak tadi. Ketepikan.


Cara masak santan

7. Masukkan 1 cawan santan pekat ke dalam periuk. (Mak Hencik guna 1 kotak kecil 250ml santan) Tambah lagi 3 cawan air.

8. Masukkan 1/2 cawan tepung beras, 1/2 sudu kecil garam dan daun pandan yang disimpul. Kacau rata supaya tidak berketul.

9. Buka api, kacau perlahan-lahan sehingga santan menjadi pekat


10. Bila dah pekat macam ni, bolehlah tutup api.


11. Kemudian sendukkan ke dalam bekas yang beisi sagu merah tadi.


Ginilah rupa dia guys, dah jadi 2 lapis.

12. Ketepikan


Cara masak gula merah

13. Dalam periuk, masukkan 1 cawan setengah air, 1/4 cawan gula, 4 keping manisan, daun pandan dan sedikit garam.

14. Buka api dan masak sehingga gula merah hancur. Bila dah hancur segala, tutuplah api. 


15. Sejukkan sebentar.


16. Sendukkan ke dalam bekas yang berisi sagu merah dan santan tadi.

17. Dah boleh dimakan..

Bismillah...

Ahad, 8 Oktober 2023

Resepi Tepung Kapur yang sangat mudah

Tepung Kapur ialah sejenis kuih tradisi yang sangat mudah untuk dibuat. Rasanya pula sedap. Tidak rugi untuk mencuba membuatnya.


Apa beza antara kuih Tepung Kapur Dan Kuih Kaswi? Ada beza ke tidak? 

Ada beza  Kuih Kaswi dibuat dari tepung gandum dan tepung ubi kayu. Manakala Tepung kapur pula diperbuat dari tepung gandum sahaja.  

Ada lagi perbezaan lain?

Tiada. Tiada lagi perbezaan lain. Selain dari tepung yang digunakan, bahan-bahan yang lain adalah sama.

Jadi, jika nak buat kuih kaswi, tiba-tiba baru perasan tepung ubi dah habis, maka buatlah kuih Tepung Kapur. (Macam saya hari ni lerrr.. hihihi)

Lagi satu, jika suka rasa yang lembut, pilihlah kuih Tepung Kapur. Sebaliknya jika suka kuih yang kenyal-kenyal sikit, pilihlah Kuih Kaswi.

Jom kita ke dapur.


RESEPI KUIH TEPUNG KAPUR

Bahan-bahan

Bahan A

1 cawan gula
1 cawan gula merah
2 cawan air
1 helai daun pandan, disimpul

Semua bahan dimasak sehingga gula hancur. Tapis dan sejukkan.

Bahan B

3 cawan tepung gandum
3 cawan air
2 sudu besar kicap 
2 sudu besar air kapur

Semua bahan B dicampur sehingga sebati. Ketepikan.

Bahan C

1 cawan kelapa parut putih
Sedikit garam

Bahan di atas dicampur dan dikukus sebentar. Ketepikan

Cara-cara membuatnya 


1. Masak bahan A iaitu 2 cawan air, 1 cawan gula, satu cawan gula merah dan daun pandan yang disimpul sehingga hancur. Sejukkan.


2. Sediakan bekas. Masukkan 3 cawan tepung gandum.


3. Tapiskan bahan A yang telah sejuk tadi.


4. Masukkan 3 cawan air, 2 sudu besar air kapur dan 2 sudu besar kicap.

5. Gaul sehingga rata.

6. Ambil acuan yang sesuai. Mak Hencik guna loyang 10"x3"x3". Sapu dengan minyak masak kemudian alas dengan plastik.
(Cadangan lain saiz loyang ialah 10"x10")


7. Tuang dalam loyang.


8. Kukus selama 40 minit. 

9. Bila sudah masak, sejukkan dahulu.

10. Kukus kelapa parut putih yang telah dicampur dengan sedikit garam selamat 5 minit.


11. Bila kuih sudah sejuk,  keluarkan dari loyang.

12. Potong ikut suka kita. Kikiki

13. Salut dengan kelapa parut putih yang telah dikukus tadi.


14. Siap untuk dimakan. Sebelah tu tangkap gambar dulu. Hihihi

15. Jemput makan sahabat semua. Bismillah..