Sabtu, 18 November 2017

Resepi Akok Kedut yang sangat Sedap dan Mudah disediakan

Berkedut di luar, lembut di dalam, sedap rasanya. Ingatkan apa. Rupanya iklan jual Kuih Akok. Adeeiiyyyy..


Sedap dan Mudah disediakan dengan langkah bergambar

Kuih Akok atau dikenali dengan nama Akok adalah sejenis kuih tradisional negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Kelantan. Akok terkenal dan digemari ramai bukan sahaja di Kelantan tetapi juga kepada penduduk negeri-negeri lain. Terutamanya kepada penggemar-penggemar kuih yang manis.

Rasa lemak santan segar, rasa manis dari manisan yang diperbuat daripada nira kelapa membuatkan kita menelan air liur sendiri beberapa kali. Mmmm.....sedapnya....


AKOK KEDUT YANG SANGAT SEDAP DAN MUDAH DIBUAT
Oleh DapurCempakasari 
Resepi asal : Bonda LiNa PG 

Bahan-bahan

1 cawan telur - Mak Hencik guna 4 biji telur gred B / 3 biji telur gred A
1 cawan santan pekat - Mak Hencik guna 1 kotak kecil santan segera
1/2 cawan tepung gandum
secubit garam
*1 cawan air
*1 cawan manisan - racik halus dan sukat dengan cawan (Mak Hencik guna 2 keping manisan Siam yang kecil) 
*3 helai daun pandan
Bahan bertanda * dimasak menjadi air gula dan ditapis. 

Sedikit minyak untuk disapu pada acuan.

Cara-cara menyediakannya.

Jom ler



Langkah 1
Racik halus manisan dan masukkan ke dalam cawan. Kalau korang tak ada manisan seperti dalam gambar, boleh ajer digantikan dengan gula kabung. Tapi tahap kemanisan tu Mak Hencik tak pasti. Korang cuba lah dulu kendian share-share ler ngan kita semua.

 

Langkah 2
Ambil periuk dan masukkan manisan tadi. Masukkan juga secawan air dan daun pandan. Masak sampai manisan hancur. Tutup api. Tapis dan sejukkan. Sukat sebanyak 1 cawan air manisan ni. Ketepikan.

Korang nampak tak Mak Hencik bubuh sebeban daun pandan. Kikiki. Pasal apa tau dak? Pasal Mak Hencik diserang penyakit M untuk buka gril belakang dapur. Jadi, Mak Hencik gunakan daun pandan yang dah hampir kecut tu. Tapi haruman bau daun pandan masih lagi semerbak memenuhi ruang dapur. Aroma daun pandan ni mengancam sekali!


Langkah 3
Antara bahan-bahan yang kita gunakan. Ada 1 cwn santan, 4 biji telur,1/2 cwn tepung gandum, secubit garam (tak sempat posing) dan 1 cawan air manisan (tak sempat selpi).


Langkah 4
Masukkan semua bahan tadi ke dalam blender dan kisar sampai sebati.

Sebelum ni Mak Hencik bancuh adunan menggunakan hand mixer. Mak Hencik rasa Mak Hencik lebih suka hasil akok yang dibuat guna hand mixer. Kedutnya lebih ummmmpphhh... Cer cuba..


Langkah 5
Sediakan sedikit minyak masak dan berus. 
Sementara itu, kita boleh panaskan oven pada suhu 200͒ selama 10 minit.


 Langkah 6
Sapu minyak pada acuan. Kemudian panaskan dalam oven seketika sebelum menuang adunan dalam blender tadi.

Acuan akok yang asal adalah berbentuk seperti kuih baulu yang bujur tu. Tapi Mak hencik takdek yang tu. So, Mak Hencik guna acuan seperti di atas. Korang boleh juga guna acuan muffin. Pandai-pandailah korang. Semua gi sekolah kan. Hehehe.


Langkah 7
Tuang bancuhan yang dikisar tadi ke dalam acuan. Mak Hencik tuang hampir penuh takut melimpah.

Tuang 3/4 pun ok gak, terpulang kepada citarasa atau instinct masing-masing. Hehe



Langkah 8
Masukkan dalam ketuhar. Pasang api panas atas dan bawah. Bakar dalam 15 minit pada suhu 200°C atau ikut ragam oven masing-masing.

Rajin-rajinlah tengok supaya tidak terhangus. Tapi Mak Hencik biar jerrr.


Langkah 9
Gambar di atas adalah evidens semasa Mak Hencik skodeng kuih akok yang sedang dibakar di dalam ketuhar.


Langkah 10
Sesudah masak, keluarkan dari oven. Tunggu sampai dia sejuk. Kita akan nampak kuih akok kita beransur-ansur mengecut dan berkedut.

Awas! Jangan panik dan melatah kerana kuih akok ni lagi berkedut laaagi orang suka. Berbeza pula dengan kita manusia ni ya. Kalau makin berkedut, makin orang tak suka. Huhuhu


Langkah 11
Kuih akok kedut kita sudah siap. Bolehlah kita makan sebagai hidangan minum petang. Atau pun sebagai pencuci mulut selepas menikmati hidangan utama. Atau pun dimakan pada bila-bila yang kita suka, di mana-mana sahaja..

Bismillah..

Tamak haloba sikap terlarang;
Selamat mencuba ya korang..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan