Berpeluh ketiak dan seluruh anggota badan Mak Hencik hari ini mengelilingi pokok, mengelilingi bangsal, mengelilingi tangki air demi mengejar cinta seekor ayam jantan yang Mak Hencik bela. Akhirnya Mak Hencik penat dan duduk di birai tangga dapur. Sambil merenung nasib Mak Hencik yang ditolak cintaku ini oleh sang ayam jantan. Aduhh sakitnya tuh di sini di dalam hatiku..
Tiba-tiba Mak Hencik ternampak lori kecil merah yang jual barang basah menghampiri rumah Mak Hencik. Hahhh! Apalagi.. Terus Mak Hencik melompat tangga.Rasa macam sampai nak tercabut selipar yang disarung. Maafkan Mak Hencik wahai seliparku sayang. Mak Hencik tidak berniat untuk bertindak kejam padamu. Mak Hencik cuma nak kejar sang lori merah itu kerana hari ini Mak Hencik nak beli ayam.. Cintaku beralih arah wahai sang ayam jantan!
Sup Ayam Mudah yang Sangat Sedap
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
*1/4 ekor ayam dipotong sederhana kecil
*1/2 inci halia diketuk
*2 ulas bawang putih diketuk
*2 tangkai daun sup dipotong kasar
*4 cwn air
Semua yang bertanda * direbus
Bahan untuk menumis
2 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1/2 sk lada hitam
2 ulas bawang putih dihiris halus
1/2 bawang besar merah dihiris halus
sedikit minyak untuk menumis
Bahan-bahan lain
1 1/2 sb rempah sup serbuk
1 biji tomato
5 inci seleri
2 biji cili padi
1 sb jus limau nipis
1/2 labu bawang holand
sedikit garam, gula, serbuk perasa
sedikit daun sup dihiris untuk hiasan
sedikit daun bawang dihiris untuk hiasan
sedikit bawang goreng untuk hiasan
Langkah 1
Potong ayam kepada bentuk yang kecil. Basuh sehingga bersih. Toskan.
Langkah 2
Ketuk 1/2 inci halia dan 2 ulas bawang putih. Mak Hencik hempuk guna pisau dapur. Pangggg! Terus penyek halia dan bawang putih kegemaran oghang Peghancis nie.
Langkah 3
Sediakan periuk. Masukkan air, ayam dan bawang putih serta halia yang diketuk tadi. Masak di atas api sehingga mendidih. Biarkan jer dia kat situ berenang bersama-sama..
Langkah 4
Sementara itu, sediakan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan lada hitam. Basuh bersih dan tos.
Langkah 5
Sediakan juga hirisan bawang putih dan bawang merah. Jangan lupa ya serbuk sup.
Langkah 6
Panaskan kuali di atas dapur. Masukkan sedikit minyak, dalam tiga sudu besar.
Langkah 7
Masukkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan lada hitam.
Langkah 8
Masukkan bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris tadi. Kacau sekali-sekala sehingga kekuningan. Kekuningan ya.. bukan kehitaman..
Langkah 9
Apabila bahan tumisan sudah kekuningan, tuang semuanya ke dalam periuk rebusan ayam yang sedang mendidih.
Kalau tidak suka berminyak dan berlemak, untuk jaga kesihatan, bubuh bahan tumisan sahaja. Minyak jangan dibubuh.. harap mak long..
Langkah 10
Masukkan serbuk rempah sup.
Masukkan garam, secubit gula dan serbuk perasa. Kacau rata.
Langkah 11
Sementara sup kita bercampur sebati, potong tomato kepada 4 bahagian.
Potong serong batang seleri.
Ketuk cili padi.
Sediakan jus limau nipis.
Bawang besar dipotong wedges. (tidak sempat berselpi)
Jus limau nipis ni boleh beli yang dalam botol tu. Senang nak masak, tinggal capai dan sukat dengan sudu. Kalau ada pokok limau nipis laagi baik. Ada aroma asli limau nipis yang wangi menusuk ke rongga hidung.
Langkah 12
Masukkan semua bahan tadi ke dalam periuk rebusan ayam. Kacau rata. Tunggu sehingga mendidih seketika kemudian barulah diangkat.
Langkah 13
Masukkan sup ayam ke dalam mangkuk ayun atau tak ayun. Anggunkan rupa Sup Ayam kita dengan hirisan daun sup dan daun bawang. Hiaskan juga dengan sedikit bawang goreng. Hidangan kita sedia untuk dimakan.
Bismillah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan