Selasa, 21 November 2017

Kentang Goreng Sambal atau Kentang Belado yang Sangat Sedap

Pergi melawat tapak rumah yang sedang dibina, ternampak sebuah bekas plastik bertutup biru berisi makanan. Bekas plastik biru itu memang sentiasa setia di bangsal pekerja binaan. Khabarnya dibawa oleh salah seorang pekerja-pekerja itu. 

Apabila ditilik isi di dalam bekasnya didapati terdapat makanan yang sama juga. Dari hari Isnin sampailah ke hari Sabtu. Kalau hari Ahad pun mereka bekerja, maka lauk yang samalah yang dibawa. Ya, itulah dia. Kentang Belado, kata diorang.


Begitulah rezeki dan kehidupan yang Dia telah aturkan. Makan nasi panas berbekalkan lauk kentang goreng sambal sahaja, tanpa anak bilis, tanpa kacang pun boleh membanting tulang mencari rezeki yang halal. Bersyukurlah kita dengan apa sahaja yang ada.. 


Resepi Kentang Goreng Sambal atau Kentang Belado
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 biji kentang
sedikit ikan bilis
1/3 cawan kacang tanah
3 cawan minyak masak untuk menggoreng

3 sb minyak masak untuk menumis 
2 sb cili kisar
2 biji bawang putih - dihiris nipis
1/2 biji bawang besar merah - dihiris nipis 
sedikit halia - dihiris halus (kalau tidak suka rasa halia, jangan masukkan)
2 sb air asam jawa 

1 biji lada hijau atau merah
1/2 biji bawang holand
garam dan gula secukup rasa 

Cara-cara memasak



Bahan utama tergolek-golek dalam sinki. Menyerah diri untuk dimasak hari ini.

Langkah 1
Kupas kulit kentang. Mak Hencik guna peeler lebih senang dan jimat masa. Tapi ada kawan Mak Cik tu memang terer guna pisau. Kalau korang terer guna parang ke, kapak ke, pun boleh juga. Kupas kentang jer pun..


Langkah 2
Potong besar. Tujuannya apabila digigit rasa isi kentang yang lembut tu. Nak potong wedges boleh, nak potong kiub pun boleh. Terpulang kepada kekreatifan masing-masing.


Langkah 3
Basuh bersih dan toskan kentang yang telah siap dipotong.


Langkah 4
Basuh ikan bilis dan kacang tanah. Toskan.


Langkah 5
Ambil kuali dan masukkan minyak. Tunggu bila minyak panas, baru masukkan kentang.


Langkah 6
 a. Kentang yang sedang digoreng. Balik-balikkan supaya masak sekata. Bila dan masak, angkat dan toskan minyak.

b. Goreng ikan bilis dan kacang tanah. Balik-balikkan supaya masak sekata. Bila dan masak, angkat dan toskan minyak.
 



Langkah 7
Sediakan bahan-bahan di atas untuk menumis. Halia tu adalah optional. Mak Hencik bubuh halia kononnya nak keluarkan angin.


Langkah 8
Panaskan minyak masak. Jangan kecam kuali Tepel Mak Hencik nih. Mak Hencik nak guna dia sepuas hati. Pasni Mak Hencik nak pindah rumah, si Tepel ni akan Mak Hencik tinggalkan. Buat masa ini, jangan kau ucapkan selamat tinggal...


Langkah 9
Apabila minyak sudah panas, masukkan bahan tumis itu tadi.


Langkah 10
Kacau rata sampai cili kisar dan bawang masak. 


Langkah 11
Bila cili dan bawang sudah masak dan hampir garing, masukkan air asam jawa secukupnya. Biar ada rasa masam-masam sikit.


Langkah 12 
Sambil tu potong lada hijau dan bawang holand.

Langkah 13

Masukkan ke dalam kuali. Terus dikacau sekali-sekala. Sambil itu masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa. Mak Hencik suka rasa yang manis-manis pedas, jadi Mak Hencik masukkan lebih gula.


Langkah 14
Bila dah kering airnya, masukkan kentang, ikan bilis dan kacang tanah yang telah digoreng tadi. Kacau sebati. Tutup api.


Langkah 15
Beginilah rupa Kentang Goreng Sambal kita yang telah bergaul mesra di dalam kuali.


Langkah 16
Hidangkan di dalam pinggan  bergaya atau tak bergaya seperti pinggan Mak Hencik di atas. Ramai orang yang ada pinggan macam Mak Hencik tu kan. Hihihi. Tak apalah, janji rasanya sedap dan boleh mengenyangkan perut kita. Kentang Belado ni boleh dijadikan sebagai hidangan sampingan. Sangat enak dimakan dengan nasi panas. Jemput makan.

Bismillah..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan