Jumaat, 15 November 2019

Talam Labu Sukatan Cawan

Manis, Lemak dan sedap!

Siapa peminat kuih talam di sini. Cuba bagi tau.. Dalam beraneka jenis kuih talam, jenis kuih talam apa yang paling digemari?


Idea nak buat talam labu ni ialah kerana ada sebiji buah labu yang sudah berkurun lama dibeli, dok tersimpan elok sebelah penapis air.


Bila sekali terjeling kat buah tu rupa-rupanya bahagian atas, part tangkai dia tu dah macam nak rosak.

Jadi, apa lagi. Kenalah buat sesuatu, kan?


RESEPI TALAM LABU SUKATAN CAWAN YANG MUDAH DAN SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Lapisan bawah / Lapisan putih

1 cawan santan kotak
2 cawan air
1 cawan gula
1 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan Labu - dipotong dadu dan direbus hingga lembut

Lapisan atas / Lapisan kuning

1 cawan santan kotak
2 cawan air
1 1/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung kastard
(kalau tiada tepung kastard boleh sahaja ditukar dengan tepung gandum sepenuhnya dengan sukatan 1 1/2 cawan tepung gandum)
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil pewarna kuning

Cara-cara membuatnya

Jom kita menalam hari ini. Mula-mula kita sediakan loyang dan bahan-bahannya dahulu.

Sediakan loyang 10"X10" yang dioles dengan sedikit minyak  masak kemudian dialas pula dengan plastik yang besar sedikit saiznya.

Kemaskan plastik supaya melekat sempurna pada loyang.

Masukkan loyang ke dalam pengukus elektrik. Biarkan dulu di situ.


Buah labu dikupas kulit dan dipotong dadu kemudian direbus sehingga empuk. Bila dah masak, angkat dan toskan airnya.


Di dalam sebuah bekas, masukkan santan, air dan tepung gandum. Kacau hingga rata menggunakan whisk.

Letakkan kuali atas dapur dan masukkan satu cawan gula.

Tapiskan bancuhan di dalam bekas tadi terus ke dalam kuali yang mengandungi gula itu tadi.


Buka api dan panaskan sehingga naik wap sambil dikacau selalu. Bila sudah naik wap, tutup api.


Seterusnya tuang adunan santan putih tadi ke dalam loyang yang telah tersedia di dalam pengukus.


Ambil labu yang telah ditoskan tadi dan taburkan ke dalam lapisan bawah.


Balut tutup pengukus dengan kain dan pasang suis pengukus. Kukus selama 20 minit.

Sambil menunggu lapisan bawah masak, kita teruskan dengan menyediakan bahan untuk lapisan atas pula.


Di dalam sebuah bekas, kita bancuhan tepung gandum dan tepung kastard bersama santan, air dan garam. Kacau dengan whisk sehingga rata.


Kemudian kita tapiskan ke dalam kuali. Buka api dan panaskan sehingga naik wap sambil dikacau selalu. Bila sudah naik wap, terus tutup api. Biarkan dahulu.


Bila pengukus sudah berbunyi ting! Buka tutup pengukus. Ambil garpu dan gores kat atasnya.


Sesudah selesai menggores, bolehlah kita tuangkan lapisan kuning tadi di atasnya.


Kemudian kita ambil tutup pengukus dan kukus selama 20 minit.


Selepas 20 minit, kuih talam sudah pun masak. Namun begitu kita Kukus lagi sekali selama 5.minit tanpa tutup pengukus untuk menjadikan lapisan atas kering dan menjadikannya lambat basi.


Tu dia aihhhh...!


Keluarkan dari pengukus dan sejukkan sebelum dipotong dengan pisau plastik.

Jemput ambil piring dan air teh o panas.

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan