Jumaat, 8 November 2019

Tepung Boko Ubi Kayu Gula Merah

Lemak dan manis. Seiring rasa.


Jangan lepaskan peluang untuk buat kuih yang mudah ini. Buat sendiri lebih jimat. Ingat.. Buat sendiri lebih jimat. Eh eh eh.. Macam buat iklan pulak nih. 😂😂😂

Ubi kayu ni saya bawa dari kampung. Ini adalah hasil cucuk tanam mak yang terakhir. Semoga Allah meletakkan mak di kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin.

Adik ipar dan abang ipar gali ubi ni. Mulanya cuma ambil 2 pohon sahaja. Isinya banyak, Jadi kami offer kepada Mak Su Jah, jiran mak.

Mak Su Jah cadangkan supaya pohon-pohon ubi kayu yang lain pun digali semua. Sebabnya sikit-sikit lagi musim hujan nanti ubi akan rosak ditenggelami air.

Jadi, tanpa lengah Pak Su Di dan Abang Man pun memulakan operasi. Selepas menggali ubi-ubi kayu yang mak tanam, saya tengok mereka mencucuk semula batang-batang ubi kayu.

Hasil yang dituai agak banyak dan disedekahkan kepada jiran-jiran mak. Saya ambil beberapa batang untuk dibawa balik ke rumah saya.

Ubi-ubi kayu tu saya parut dan masukkan ke dalam plastik saiz sedang. Saya frozenkan dalam peti sejuk. Bila nak masak kuih, baharulah saya keluarkan.



TEPUNG BOKO UBI KAYU
 (VERSI GULA MERAH)
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan ubi kayu parut
1 sudu besar tepung ubi - tak letak pun takper
*2 sudu besar gula merah timbang - nak bagi warna gelap dan cantik
*2 keping nisan kerek saiz kecil
*1/4 cawan gula putih
*2 1/2 cawan air
*2 helai daun pandan - disimpul
Bahan-bahan bertanda * dimasak dan disejukkan

Bahan-bahan lapisan santan

1 cawan santan kotak
1 1/2 cawan air
1/2 cawan tepung beras
1 sudu kecil garam


Cara-cara menyediakannya.

Jom.. Jom.. kita ke dapur.



Ubi kayu segar dari ladang.



Kopek kulit ubi kayu dan basuh bersih.



Parut ubi kayu. Mak Hencik guna mesin parut kelapa saiz mini.



Nisan. Bukan batu nisan. Ia sejenis manisan yang dibuat daripada nira kelapa. Rasanya manis. Nisse.. Orang Kelantan panggil..



2 kerek atau ketul nisan dimasak dengan air sehingga hancur. Bila sudah masak, sejukkan.



Apabila air nisan sudah sejuk, campurkan dengan ubi kayu yang telah diparut tadi. Gaul sehingga rata.



Masukkan ke dalam bekas kecil. Bubuh dalam separuh penuh sahaja.



Kukus selama 20 minit, atau sehingga masak. Ikut pengukus masing-masing.

Sementara itu kita sediakan lapisan atas, iaitu lapisan santan.



Masukkan santan, air, tepung beras dan sedikit garam. Kacau sehingga likat. Lepas tu tutup api.

Kita kembali kepada pengukus.



Bila lapisan ubi kayu sudah masak, keluarkan dari kukusan.



Cedokkan santan dan tuang ke atas lapisan ubi kayu tadi.



Lepas tu bolehlah ambil penutup dan tutup bekas plastik.

Nak makan terus boleh.. Nak simpan dalam peti sejuk dulu pun boleh..

Jom makan.

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan