Rabu, 28 Oktober 2020

Spaghetti Buttermilk

Menangis orang Italy tengok hasil masakan nih! Pastu menangis keluar air mata berjurai di pipi apabila menikmatinya.. Tak sangka ya, ada juga orang masak gaya gini.. sedappp!

Hasil masakan nih kita buat isi perut di waktu pagi. Kalau ada tetamu datang tergempar untuk membawang pun InsyaaAllah sempat juga untuk kita sediakan kerana menggunakan bahan yang sedia ada di rumah jer.


SPAGHETTI BUTTERMILK

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan

1 bungkus spaghetti-dicelur

1/2 biji bawang besar Holland - dicincang

2 ulas bawang putih - dicincang

6 tangkai cili padi - ditumbuk kasar, nak lagi pedas tambahlah lagi

1 cawan isi ayam kisar

5 batang sosej - dipotong serong

2 ketul kiub ayam

1 sudu kecil serbuk lada sulah

1 sudu kecil serbuk lada hitam

1 sudu kecil serbuk lada hitam kasar

1/2 sudu kecil garam, atau secukup rasa

1 sudu besar gula, jika suka

2 sudu besar mentega, untuk menumis

1 cawan susu sejat atau susu segar

1 cawan air

2 sudu besar tepung gandum

4-5 tangkai daun kari


CARA-CARA MEMBUATNYA

Jom.. jom kita ke dapur.



Rebus spageti bersama sedikit mentega atau minyak zaitun sehingga lembut. Dah lembut, angkat dan toskan.


Potong serong sosej. Kalau nak lagi sedap, panggang dulu sosej atas kuali, kemudian baharulah dipotong serong. Aroma smoked tu jadi laagi sedap.


Isi ayam kisar. Mak Hencik guna isi ayam segar. Jadi Mak Hencik kisar dia bersama sedikit serbuk lada hitam kasar dan sedikit garam.


Cincang bawang besar Holland, bawang putih dan cili padi tu ditumbuk kasar.


Sediakan juga kiub ayam Adabi, serbuk lada hitam, serbuk lada hitam kasar, serbuk lada sulah dan daun kari. 

Jangan lupa sediakan 2 sudu besar tepung gandum.


Langkah 1
Cairkan 2 sudu besar mentega. Masukkan bawang besar cincang, bawang putih cincang dan cili tumbuk. 
Kacau sehingga layu.


Langkah 2
Masukkan isi ayam. Kacau lagi sehingga isi ayam masak.


Kemudian masukkan sosej serong. Kacau lagi sehingga sosej masak.

Kalau guna sosej panggang tadi, takyah tunggu lelama.


Langkah 3
Bila ayam dan sosej sudah masak, masukkan pula 1 cawan susu sejat dan 1 cawan air.


Kacau rata dan biar kuah mendidih. 

Sambil tu, bolehlah masukkan daun kari dan bahan perisa yang lain seperti kiub ayam, sedikit garam, 1 sudu besar gula segala serbuk tu iaitu serbuk lada hitam, serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah.


Langkah 4
Bila sudah mendidih, masukkan pula 2 sudu besar tepung gandum. Terus kacau lagi. Kuah akan jadi pekat.


Langkah 5
Akhirnya bolehlah dimasukkan spaghetti celur tadi.


Gaul sehingga rata. Selepas tu bolehlah tutup api. 


Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Siap!

Jom makan..

Bismillah..


Hurmm.. sedapnya!


Selasa, 27 Oktober 2020

Nasi Dagang Kelantan

Nasi dagang Kelantan terkenal dengan keenakannya. Malah ia menjadi ikon makanan tradsional orang Kelantan. Apa yang istimewa mengenainya?


Sudah tentulah terletak pada beras perangnya yang tidak terdapat di negeri lain. Susah nak dapat beras ni..

Mak Hencik beli beras ni semasa pulang ke kampung tempohari, beli di pasar Siti Khadijah, Tumpat, Kelantan. Beras ni kena terus guna tau.. sebabnya kalau simpan lama-lama nanti jadi malas pula tukang yang nak membuatnya. 😆😆😆


Nasi dagang ni paling sedap dimakan dengan gulai. Paling femes ialah gulai ikan tongkol. Tapi boleh sahaja kita pelbagaikan gulai tu ikut citarasa kita contohnya dimakan dengan gulai ayam atau gulai udang.


RESEPI NASI DAGANG 
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Nasi Dagang

2 cawan beras perang nasi dagang
2 cawan beras wangi
1 cawan santan sederhana pekat - campurkan dengan sedikit garam dan gula
3 biji bawang merah - dimayang
2 biji bawang putih - dimayang 
3 hiris halia - dihiris halus
1 sudu kecil halba

CARA-CARA MEMBUATNYA

Jom.. jom kita mulakan.


Langkah 1
Beras dibasuh bersih dan direndam semalaman. 

Kalau tak rendam beras tu boleh tak? Boleh, itupun kalau korang nak makan nasi yang keras. Nak kerrr?

Jadi tujuan kita rendam beras tu adalah untuk melembutkannya.



Keesokan harinya, dengan semangat berkobar-kobar kita pun teruskan misi.

Langkah 2
Toskan beras dan masukkan ke dalam loyang. Mak Hencik guna loyang sebab guna pengukus elekrik.


Langkah 3
Masukkan loyang yang mengandungi beras tadi ke dalam pengukus elektrik. Letak timer 40 minit. Biarkan dia mengukus..


Sementara itu kita sediakan bawang merah, bawang putih dan halia.


Langkah 4
Hiris halus bawang putih, bawang merah dan halia.

Halba pula dibasuh bersih.

Campur semua bahan tu dan gaul rata.


Sediakan bekas besar untuk mengharung santan nanti ya.


Langkah 5

Bila nasi dalam pengukus sudah cukup tempohnya, keluarkan dari pengukus dan masukkan ke dalam bekas yang besar tadi.

Taburkan separuh bahan hiris (bawang putih, bawang merah, halia hiris dan halba) ke dalam bekas nasi tadi. Tuang santan sedikit demi sedikit dan digaul dengan cermat menggunakan sudip kayu.

Kena gaul dengan cermat supaya biji nasi tu tak patah, baharulah cantik.


Dah siap arung nasi dengan santan Dan Bahan hiris, masukkan semula ke dalam loyang.

Taburkan kat atasnya dengan separuh lagi bahan hiris tadi.


Langkah 6

Masukkan loyang nasi ke dalam pengukus dan setkan timer selama 40 minit. Pastikan air pengukus cukup. Biarkan sehingga masak.

Sementara itu kita boleh memasak gulai. Hari ni Mak Hencik sediakan gulai ayam.


GULAI KARI AYAM
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ekor ayam - dipotong 12
1 biji telur, jika suka. ( Direbus sehingga masak dan dikupas kulit)

♥️1 biji bawang merah besar saiz besar
♥️2 biji bawang putih
♥️3 hiris halia
Bahan bertanda ♥️ dikisar halus

1/3 cawan rempah kari - dibancuh dengan 1 cawan air.
1/2 kg santan

1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih

3 tangkai lada besar hijau
Sedikit air asam jawa
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis

CARA-CARA MEMBUATNYA

1. Panaskan sedikit minyak. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih serta bahan kisar. Kacau sehingga naik bau dan bahan tumis bertukar ke warna kekuningan.

2. Bila sudah kekuningan, masukkan bancuhan rempah kari. Kacau selalu sehingga naik minyak atau airnya jadi kering.

3. Masukkan pula ayam yang telah dibasuh bersih tadi. Gaul sehingga rata.

4. Masukkan pula air asam jawa. Gaul lagi sehingga sedikit kering. Kemudian baharulah masukkan santan.

5. Biarkan kuah merenih dan pekat. Sambil tu, masukkan garam dan gula ikut sedap mulut sendiri.

Kalau ikutkan rasa original gulai ni,  mesti ada rasa manis sikit.

6. Bila sudah hampir masak, masukkan telur rebus dan lada besar hijau. 

7. Bila dah pekat kuah dia dan sedap rasa dia, bolehlah tutup api. Siap!

Tak lengkap nasi dagang ni kalau tiada acar timun. Kalau ada acar timun ni sebenarnya jadi lagi sedap sebab hilangkan muak.

Jom sediakan.


ACAR TIMUN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 batang timun jepun - buang kulit dan hiris serong
2 inci karot - disagat panjang
1 tangkai lada merah besar - dihiris serong
3 sudu besar cuka
3 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam

CARA-CARA MEMBUATNYA

1. Dalam sebuah bekas, masukkan cuka, garam dan gula. Kacau sehingga gula hancur.

2. Masukkan timun potong, karot sagat dan lada merah hiris. Gaul sehingga sebati. Siap!

Ni dia.. Nasi dagang dah masak. Aroma halba dan bahan hiris tadi..fuhhhh!


Membangkitkan aroma nasi dagang.


Siap hidangan nasi dagang. Ada ekstra lauk istimewa.

Jom menikmatinya..

Bismillah..


Ahad, 11 Oktober 2020

Salad buah

Rasa salad yang cukup rasa. Enak sekali!

Malam ni tergesa-gesa nak buat BBQ sebabnya budak-budak ni tak nak makan nasi. Kalau masak nasi dengan lauk kegemaran diorang pun tak berapa nak laris juga. 
 

Kalau buat salad sayur-sayuran pun budak-budak di rumah ni kurang gemar juga. Jadi, Mak Hencik cuba tukar kepada salad buah-buahan.


Nak buat salad buah ni mudah sahaja. Boleh guna apa jenis buah yang kita suka. Epal, lai, pear, anggur seedless, betik, honey honey dew, rock rock melon dan macam-macam lagilah yang boleh kita kita pilih

Kat rumah ni pula, hanya ada buah epal dan lai sahaja. Bolehlaaahhh.. hihihi



RESEPI SALAD BUAH-BUAHAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 biji buah epal merah, dikupas kulit dan dipotong dadu
2 biji buah lai, dikupas kulit dan dipotong dadu
5 sudu besar mayonnaise
1 sudu besar susu pekat manis
1/2 biji lemon, perah ambil jusnya
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara membuatnya

1. Di dalam sebuah bekas yang cantik, masukkan buah yang dipotong dadu.

2. Masukkan mayonnaise, susu pekat, sedikit garam dan jus lemon. Gaul sebati.

3. Rasakan dulu sedap ke idok. Tambahlah yang mana patut.

4. Dah siap bolehlah disimpan dalam peti sejuk. Salad ni sedap dimakan.

Add caption

Hidangan BBQ ringkas malam ni. BBQ ayam untuk 5 mulut sahaja.


Jemput makan semua.

Bismillah..