Selasa, 27 Oktober 2020

Nasi Dagang Kelantan

Nasi dagang Kelantan terkenal dengan keenakannya. Malah ia menjadi ikon makanan tradsional orang Kelantan. Apa yang istimewa mengenainya?


Sudah tentulah terletak pada beras perangnya yang tidak terdapat di negeri lain. Susah nak dapat beras ni..

Mak Hencik beli beras ni semasa pulang ke kampung tempohari, beli di pasar Siti Khadijah, Tumpat, Kelantan. Beras ni kena terus guna tau.. sebabnya kalau simpan lama-lama nanti jadi malas pula tukang yang nak membuatnya. 😆😆😆


Nasi dagang ni paling sedap dimakan dengan gulai. Paling femes ialah gulai ikan tongkol. Tapi boleh sahaja kita pelbagaikan gulai tu ikut citarasa kita contohnya dimakan dengan gulai ayam atau gulai udang.


RESEPI NASI DAGANG 
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Nasi Dagang

2 cawan beras perang nasi dagang
2 cawan beras wangi
1 cawan santan sederhana pekat - campurkan dengan sedikit garam dan gula
3 biji bawang merah - dimayang
2 biji bawang putih - dimayang 
3 hiris halia - dihiris halus
1 sudu kecil halba

CARA-CARA MEMBUATNYA

Jom.. jom kita mulakan.


Langkah 1
Beras dibasuh bersih dan direndam semalaman. 

Kalau tak rendam beras tu boleh tak? Boleh, itupun kalau korang nak makan nasi yang keras. Nak kerrr?

Jadi tujuan kita rendam beras tu adalah untuk melembutkannya.



Keesokan harinya, dengan semangat berkobar-kobar kita pun teruskan misi.

Langkah 2
Toskan beras dan masukkan ke dalam loyang. Mak Hencik guna loyang sebab guna pengukus elekrik.


Langkah 3
Masukkan loyang yang mengandungi beras tadi ke dalam pengukus elektrik. Letak timer 40 minit. Biarkan dia mengukus..


Sementara itu kita sediakan bawang merah, bawang putih dan halia.


Langkah 4
Hiris halus bawang putih, bawang merah dan halia.

Halba pula dibasuh bersih.

Campur semua bahan tu dan gaul rata.


Sediakan bekas besar untuk mengharung santan nanti ya.


Langkah 5

Bila nasi dalam pengukus sudah cukup tempohnya, keluarkan dari pengukus dan masukkan ke dalam bekas yang besar tadi.

Taburkan separuh bahan hiris (bawang putih, bawang merah, halia hiris dan halba) ke dalam bekas nasi tadi. Tuang santan sedikit demi sedikit dan digaul dengan cermat menggunakan sudip kayu.

Kena gaul dengan cermat supaya biji nasi tu tak patah, baharulah cantik.


Dah siap arung nasi dengan santan Dan Bahan hiris, masukkan semula ke dalam loyang.

Taburkan kat atasnya dengan separuh lagi bahan hiris tadi.


Langkah 6

Masukkan loyang nasi ke dalam pengukus dan setkan timer selama 40 minit. Pastikan air pengukus cukup. Biarkan sehingga masak.

Sementara itu kita boleh memasak gulai. Hari ni Mak Hencik sediakan gulai ayam.


GULAI KARI AYAM
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ekor ayam - dipotong 12
1 biji telur, jika suka. ( Direbus sehingga masak dan dikupas kulit)

♥️1 biji bawang merah besar saiz besar
♥️2 biji bawang putih
♥️3 hiris halia
Bahan bertanda ♥️ dikisar halus

1/3 cawan rempah kari - dibancuh dengan 1 cawan air.
1/2 kg santan

1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih

3 tangkai lada besar hijau
Sedikit air asam jawa
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis

CARA-CARA MEMBUATNYA

1. Panaskan sedikit minyak. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih serta bahan kisar. Kacau sehingga naik bau dan bahan tumis bertukar ke warna kekuningan.

2. Bila sudah kekuningan, masukkan bancuhan rempah kari. Kacau selalu sehingga naik minyak atau airnya jadi kering.

3. Masukkan pula ayam yang telah dibasuh bersih tadi. Gaul sehingga rata.

4. Masukkan pula air asam jawa. Gaul lagi sehingga sedikit kering. Kemudian baharulah masukkan santan.

5. Biarkan kuah merenih dan pekat. Sambil tu, masukkan garam dan gula ikut sedap mulut sendiri.

Kalau ikutkan rasa original gulai ni,  mesti ada rasa manis sikit.

6. Bila sudah hampir masak, masukkan telur rebus dan lada besar hijau. 

7. Bila dah pekat kuah dia dan sedap rasa dia, bolehlah tutup api. Siap!

Tak lengkap nasi dagang ni kalau tiada acar timun. Kalau ada acar timun ni sebenarnya jadi lagi sedap sebab hilangkan muak.

Jom sediakan.


ACAR TIMUN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 batang timun jepun - buang kulit dan hiris serong
2 inci karot - disagat panjang
1 tangkai lada merah besar - dihiris serong
3 sudu besar cuka
3 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam

CARA-CARA MEMBUATNYA

1. Dalam sebuah bekas, masukkan cuka, garam dan gula. Kacau sehingga gula hancur.

2. Masukkan timun potong, karot sagat dan lada merah hiris. Gaul sehingga sebati. Siap!

Ni dia.. Nasi dagang dah masak. Aroma halba dan bahan hiris tadi..fuhhhh!


Membangkitkan aroma nasi dagang.


Siap hidangan nasi dagang. Ada ekstra lauk istimewa.

Jom menikmatinya..

Bismillah..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan