Khamis, 29 Julai 2021

Biskut Butter Abu Ain (yang kacak)

Nak resepi biskut yang sedap tapi mudah nak buat? Ni haa.. boleh try biskut butter ni. Ada rasa macam biskut butter yang dalam tin tu. Dan yang penting ianya sedap dan rangup!


Kali pertama buat biskut ni ialah pada hari raya Aidil Fitri dua tahun lepas. Oleh kerana rupanya tak berapa menarik, anak-anak pun tak makan. Lagi satu mungkin sebab first time buat dan yang keduanya mungkin banyak lagi biskut-biskut lain yang ada yang dah biasa buat dan sedap rasanya.



Saya pun bawa ke tempat kerja. Kawan-kawan ofis cuba makan, terus minta resepi. Sedap kata mereka, rasa macam biskut dalam tin. 😁😁



RESEPI BISKUT BUTTER ABU AIN (YANG KACAK)
Oleh Dapur Cempakasari
Resepi asal: Khairul Hakimin Muhammad

Bahan-bahan

250gm butter @ mentega 
1 cawan gula  halus
2 1/2 cawan tepung gandum. (Mak Hencik tambah lagi 1/2 cawan)
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
2 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla

Piping bag

Cara-cara membuatnya

Jom.. jom.. jom kita membiskut!


💝Ayak tepung gandum, baking powder dan soda bikarbonat. Ketepikan 

💝Dalam sebuah bekas lain, masukkan butter @ mentega, 2 biji telur dan esen vanilla. Kacau sehingga sebati.


💝Tambahkan tepung gandum yang diayak tadi sedikit demi sedikit sambil dikacau menggunakan spatula atau sudip kayu sehingga sebati.

💝Adunan memang sangat lembut atau dengan kata lain - lembik.


💝Bila bahan sudah bergaul mesra, masukkan ke dalam piping bag.

💝 Sediakan loyang. Alas loyang dengan baking paper.

💝Masa ni dah boleh panaskan oven pada suhu 180°C selama 10 minit.

💝Paipkan adunan ke dalam dulang.

💝Tips: simpan dalam peti sejuk selama 1 jam untuk hasil yang lebih rangup.


💗Jika simpan dalam peti sejuk, tunggu adunan lembut sedikit supaya senang dipaip ke dalam dulang pembakar.

💗Jarakkan sedikit antara biskut tu kerana ia akan kembang sekali ganda semasa dibakar.


💗Bakar pada suhu 170°C selama 18 minit atau ikut ragam oven masing-masing.

💗 Apabila sudah masak, keluarkan dari oven dan sejukkan sebentar sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.

💗Semasa masih panas, biskut akan ada rasa lembut di bahagian tengahnya. Walau bagaimana pun, apabila biskut sudah betul-betul sejuk, ia akan menjadi keras dan sangat rangup apabila dikunyah.

💗Jemput makan. Bismillah.. mmm memang sedap.

Jumaat, 23 Julai 2021

Koleh Kacang Tahi Minyak

Antara kuih tempatan yang popular di majlis keramaian. Lemak dan manis sesedap rasa. Tak rugi untuk dicuba!


Mak Hencik tak pasti namanya kole ke koleh? Setau Mak Hencik, kole tu bekas untuk isi air. Manakala koleh pula adalah sejenis kuih. 

Tak kisahlah kan apa nama dia. Yang pasti koleh kacang yang kita nak masak pada hari ini adalah sejenis kuih. Lagi satu.. tahi minyak ni pun halal, bersih dan suci serta boleh dimakan. 😆😆😆


RESEPI KOLEH KACANG TAHI MINYAK

Oleh Dapur Cempakasari

Resepi asal: Eli Bostamam via FB Berkongsi Ilmu Kuih Muih & Masakan


Bahan-bahan

🍂 Tahi Minyak

      2 cawan santan - masak sampai jadi tahi minyak..nak jadi halus-halus kena kacau selalu ye


🍂 Air gula merah

      2 cawan gula merah

      2 cawan air

      4 sudu besar gula

      2 helai daun pandan, disimpul

      ~ masak sampai gula larut, tapis.


🍂Koleh Kacang

      4 cawan santan

      2 cawan tepung kacang hijau 

      air gula merah yang ditapis tadi

     4 sudu besar  minyak dari  tahi

      minyak tadi

     Sedikit garam

     

Cara-cara membuatnya.


Mula-mula kita buat tahi minyak. Senang jer nak buat. Jom..


🌸Masukkan 2 cawan santan ke dalam kuali. Buka api. 


🌸Biarkan dulu sehingga santan mendidih sambil dikacau sekali sekala.


🌸Bila tahi minyak sudah terbentuk, terus kacau supaya tidak hangus.


🌸Bila  warna tahi minyak sudah ke warna hampir perang, terus tutup api.


🌸Asingkan tahi minyak dan minyak supaya tahi minyak tidak hangus. Kalau  tahi minyak dah hangus, nanti rasa dia akan jadi tak sedap.


🌸Toskan tahi minyak. Ketepikan.

Masak air gula merah pula. 


🌸Masak 2 cawan gula merah, 4 sudu besar gula, dua helai daun pandan yang disimpul bersama dua cawan air sehingga gula merah larut.

🌸Bila gula merah sudah larut, tapis dan ketepikan.

Jom buat kole kacang pula.


🌸Dalam sebuah bekas, campurkan 2 cawan tepung kacang hijau, 4 sudu besar minyak tahi minyak bersama 4 cawan santan,  dan sedikit garam. Kacau sehingga sebati.

🌸Tapiskan ke dalam kuali non stick.  Jangan buka api dulu.


🌸Tuang pula air gula merah tadi. Kacau lagi sehingga sebati.


🌸Buka api. Kacau perlahan-lahan. Mula-mula ia ringan lagi sebab masih cair.


🌸 Teruskan mengacau sehingga ia likat. Masa ni dah berat la sikit.


🌸Bila jadi pekat macam ni ☝🏼, bolehlah tutup api.


🌸Sediakan loyang 10"X10" yang disapu dengan minyak dan dialas dengan plastik yang lebih besar dari saiz loyang.


🌸Kaupkan semua adunan ke dalam loyang. Ratakan atasnya.


🌸Tips nak buat bahagian atasnya licin ialah guna sudu atau spatula. Belakang sudu atau spatula tu celup dengan minyak lebihan tahi minyak tadi atau guna minyak masak pun takper.


🌸 Ratakan bahagian atasnya dengan belakang sudu atau spatula yang dicelup minyak.


🌸Lepas tu bolehlah ditabur dengan tahi minyak tadi.

🌸 Tunggu sejuk dahulu baharulah boleh dipotong.


🌸Dah sejuk, bolehlah dipotong dan dihidangkan.

🌸Jemput makan kawan-kawan.. Bismillah..

Selasa, 20 Julai 2021

Biskut Coklat Cip Rangup

Rangup oh rangup sungguh! 

Resepi ni antara resepi chocolate chip cookies yang paling sedap. Orang kata sedapnya tu sampai tak boleh bawa bincang. 😂😂😂  Sesuai dijadikan goodies untuk majlis istimewa!


Selain boleh dihidangkan di hari istimewa seperti hari Raya, ia juga boleh dijadikan kudapan minum petang atau semasa menonton tv. 


RESEPI BISKUT COKLAT CHIP 
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Bahan A - semua bahan ini dkacau rata menggunakan spatula. 

200g mentega (satu buku mentega 250g tu just bahagi 5, then ambil 4 bahagian, Mak Hencik malas nak timbang hi3)
3/4 cawan gula perang
1 cawan gula halus, kalau tak suka manis boleh kurang kepada 3/4 cawan
1 cawan minyak jagung, guna minyak masak pun boleh
1 biji telur
1 sudu besar esen vanila
1/2 sudu kecil garam, Mak Hencik guna sudu metrik tu

Bahan B - bahan kering ni diayak

2 1/4 cawan tepung gandum
2 3/4 cawan tepung red rose
1 sudu besar susu tepung
1/2 sudu kecil serbuk cream of tartar
1/2 sudu kecil emplex
1/2 sudu kecil soda bikarbonat

Bahan C

1 cawan badam cincang, atau boleh guna jenis kekacang lain yang digemari.
1 cawan Coklat chip

Jom kita mulakan.


🌸Dalam sebuah bekas, masukkan semua bahan A seperti mentega, minyak masak, gula perang, gula, esen vanilla, sedikit garam dan sebiji telur.

🌸Kacau sehingga sebati menggunakan spatula. Tak perlu guna mixer ya. Ketepikan.


🌸Dalam bekas lain, ayak bahan B iaitu bahan kering seperti tepung gandum, tepung red rose, cream of tartar, emplex, soda bikarbonat dan susu tepung.

🌸Kemudian masukkan bahan B ke dalam bekas bahan A tadi. Kacau sehingga rata menggunakan spatula.


🌸Akhir sekali masukkan badam cincang dan coklat chip. Mak Hencik takde stok chocolate chip, jadi Mak Hencik patah-patahkan Coklat coin jenama Beryl's.


🌸Gaul lagi sehingga rata dan sebati.


🌸 Masukkan ke dalam piping bag.

🌸Tips: boleh simpan dalam peti sejuk bahagian bawah selama sekurang-kurangnya 1 jam. 

🌸Mak Hencik simpan semalaman. 


🌸Sediakan dulang pembakar yang digris dengan mentega dan dialas dengan baking paper.

🌸Sejam kemudian, bolehlah gunting muncung piping bag dan paipkan bulat-bulat ke atas dulang pembakar.
.
🌸 Sekiranya adunan disimpan dalam peti sejuk, biarkn adunan lembut sedikit sebelum dipaip ke atas dulang pembakar.

🌸Semasa kita memaipkan adunan, masa ni kita dah boleh panaskan oven pada suhu 180°C selama 10 minit.


🌸Bila dah siap, maka bolehlah dibakar dalam oven pada suhu 180™C  selama 18 minit, atau ikut ragam oven masing-masing.


🌸Bila dah masak, keluarkan dari oven dan sejukkan sebentar sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


🌸 Inilah hasilnya. Sedapnya dengan rangupnya memang tak boleh bawa bincang.

🌸 Jemput makan.. Bismillah..


Isnin, 19 Julai 2021

Pucuk Paku Goreng

 Masakan yang simple sangat. Makan nasi panas dengan pucuk paku goreng pun boleh makan bertambah..

Kalau ikutkan, memang senang sangatlah bagi golongan mak-mak atau pak-pak yang terrer memasak untuk masak lauk ni tapi lain pula bagi geng budak-budak baru nak up ni..  memang susah rasanya untuk diorang.  Hahaha.

Tapi takper. Meh sini Mak Hencik payungkan korang dengan cara masak sayur pucuk paku ni. 


RESEPI PUCUK PAKU GORENG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ikat pucuk paku 
1 ketul isi ayam - dipotong nipis
2 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
1 biji bawang merah - ditumbuk kasar
1/2 biji bawang besar Holland saiz kecil ,- dihiris
1 tangkai lada merah - dipotong serong
1 sudu besar kicap manis
1/2 cawan air
Garam, gula dan serbuk perasa megi
2 sudu besar minyak masak untuk menumis

Cara-cara membuatnya.

Mari sini.. kita buat sesama persediaan bahan memasak.


Ni dia sayur pucuk paku nama dia. Jangan risau, nama dia memang ada paku tapi bukan paku besi hak kita dok guna nak cantum kayu tu naaa.

Sayur ni kita ambil bahagian yang lembut sahaja. Kita potong dalam dua inci panjang. Batang yang keras tu jangan diambil tau.

Lepas tu kita basuh bersih dan toskan air. Ketepikan.


Kita sediakan bahan-bahan yang lain. 

Bawang putih dan bawang merah ditumbuk kasar

Isi ayam dihiris nipis. Kalau nak ganti dengan sumber protein yang lain seperti daging ke.. udang ke.. sotong ke.. udang kering ke.. semua boleh. Ikut citarasa memasingla yea.

Lada merah dipotong serong.

Bawang besar Holland dihiris.

Sediakan air setengah cawan.

(Petai tu takde kena mengena ya.) Tersalah letak nak oiii. Adoiii!

Jom kita memasak pula.


💥 Panaskan 2 sudu besar minyak. Tumis bawang yang ditumbuk tadi sehingga keperangan dan naik bau.


💥Lepas tu masukkan isi ayam. Kacau sikit sehingga isi ayam separuh masak. Lepas tu, masukkan setengah cawan air.  Biarkan air menggelegak dan isi ayam masak.


💥Lepas tu masukkan pucuk paku.


💥 Masukkan juga lada merah dan bawang besar Holland hiris tadi 

💥 Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa megi secukup rasa.

💥 Masukkan juga satu sudu besar kicap manis  Gaul sehingga rata.


💥Lepas tu tutup kuali dengan tudung periuk yang tak pandai menari. Kalau guna tudung periuk yang pandai menari macam dalam cerita P.Ramlee tu dikhuatiri tak masak-masaklah pucuk paku goreng ni.. pasal dia dok sibuk menari pula.. 😆😆😆


💥Selepas beberapa minit, tudung periuk tu dibuka. Nampaknya pucuk paku dah layu.

💥Rasakan dahulu sedap ke tidak. Kalau kurang rasa, tambahlah apa-apa yang tak cukup tu supaya sempurna rasanya. Ikut mulut tuan yang memasaklah yea..

💥Dah sedap segala, tutuplah api dan bolehlah dihidangkan.

💥Jemput makan semua.. Bismillah.