Sabtu, 23 Disember 2017

Mee Kuah Bebola Daging yang Sedap Terangkat

Rasa sedap mee kuah ini terletak pada bebolanya dan cip cip cip lada sulahnya..




Apabila pulang dari sekolah, rasa terliur sangat untuk makan mee kuah yang dijual di kedai mee. Kedai mee tersebut dimiliki oleh Kak Dah dan Abang Mat. Abang Mat ni merupakan askar pencen dan membantu isterinya Kak Dah. Kak Dahlah tukang masaknya. Mee kuah pun orang panggil mee kuah Kak Dah. Mee kuah yang paling popular di kampung ketika itu.


Kak Dah membuat kuah meenya dari rebusan daging dan tulang lembu. Daging dan tulang lembu direbus lama sehingga lembut. Daging tersebut akan Kak Dah hiris nipis dan diletakkan di dalam mee. Sedapnya mee kuah daging Kak Dah ni.


Kak Dah juga letakkan kobis yang dihiris halus memanjang. Hirisan kobis menjadi lembut apabila direndam dengan kuah daging mee kuah. Kemudian dia akan taburkan sedikit bawang goreng dan daun sup. 


Cip cip cip. Cip cip cip. Bunyi lada sulah yang direnjis ke dalam mee. Akhirnya dia akan tanya nak pedas ke tidak. Kalau nak pedas, dia akan masukkan sesudu kecil air lada, iaitu cili yang dikisar dengan sedikit cuka. Mmm..sedapnya. Pada ketika itu,tahun 80 an, harga yang dijual adalah serendah 30 sen.


RESEPI MEE KUAH BEBOLA DAGING YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

800 gm mee kuning - dicelur dan ditoskan airnya

2 liter air
20 biji bebola daging - dibelah dua
Sedikit ayam bertulang - dipotong kecil

6 ulas bawang putih - diketuk
1 biji bawang merah besar - dimayang

1 sudu kecil lada putih - ditumbuk halus
1 sudu kecil lada hitam - ditumbuk halus

sedikit kobis - dipotong kecil
sedikit karot - dipotong halus memanjang
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

sedikit daun sup dan daun bawang 
sedikit bawang goreng
Kicap pedas kalau suka


Cara membuatnya

Jomlah kita memasak di dapur..


bebola daging


tulang ayam


Langkah 1
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih serta bawang merah.


Langkah 2
Bila bawang sudah layu dan berwarna kekuningan, masukkan isi ayam. Kacau seketika. Biarkan ayam separuh masak.



Langkah 3
Masukkan bebola daging. Kacau seketika.


Langkah 4
Masukkan air. Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa.
Masukkan juga lada hitam dan lada sulah yang ditumbuk. Kacau sebati.
Tunggu sehingga kuah mendidih. Sehingga ayam dan bebola daging masak sempurna.


Langkah 5
Akhir sekali masukkan sayur-sayuran. Mak Hencik guna kobis dan karot. Lada hijau yang dipotong serong pun dimasukkan sekali. Pastu tutup api.

Korang boleh pilih nak sayur apa. Sawi ke, tauge ke, terpulanglah...


Kuah mee kuah bebola daging yang sudah siap. Bersedia untuk berkhidmat mengisi perut makhluk yang kelaparan.


Hidangan untuk mee kuah bebola daging. Jangan lupa cip cip cip lada sulah tu..


Semangkuk mee kuah bebola daging


Gaul dulu sikiiittt


Jemput makan semua..  lagi sedap ya kalau kita letak kicap pedas.. mmm.. terangkat!

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan