Jumaat, 8 Disember 2017

Kupang masak pedas bertelur yang sedap

Kupang bersalut sos dan telur yang enak rasanya..

Wahai sang kupang.. biarpun namamu tidak sepopular rakan-rakan lautmu yang lain, kau tetap bertakhta gagah di dalam dada semua peminat setiamu.

Biarpun kulitmu agak keras, isi mu tetap lembut menyapa mulut. Rasa mu manis menyapa lidah. Ditemani dengan telur, rasamu bertambah sedap dan lazat..


KUPANG MASAK PEDAS BERTELUR
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan
600gm kupang
5 sudu besar cili kisar
5 ulas bawang putih
1/2 cawan sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 cawan air
1 biji telur
4 sudu besar minyak masak untuk menumis
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara menyediakannya


Langkah 1
Kupang dimasukkan dalam besen kecil dan direndam dalam air sebentar untuk mengeluarkan kotoran di dalam kupang.

Bila direndam dalam air, Mak Hencik dapati kupang akan terbuka sedikit.


Langkah 2
Toskan kupang yang direndam tadi.


Langkah 3
Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih dan cili kisar. Kacau sekali sekala sehingga masak.


Langkah 4
Apabila bahan tumisan  sudah garing, masukkan sos tiram dan sos tomato. Kacau sehingga sebati.

Kemudian, masukkan secawan air.
Masukkan juga garam dan gula secukup rasa. Biarkan mendidih.


Langkah 5
Sementara itu, pecahkan sebiji telur dan pukul sedikit. Mak Hencik pukul guna garpu jer.


Langkah 6
Apabila sudah mendidih, masukkan telur tadi. Terus kacau supaya bercampur sebati.


Langkah 7
Agak-agak telur di dalam sos tadi sudah masak, bolehlah dimasukkan kupang. Kacau sebati.


Langkah 8
Sediakan bawang holand yang dipotong wedges dan cili padi kalau suka pedas.

Kalau tak suka pedas, tak payah bubuh cili padi, boleh bubuh lada hijau atau lada merah. Ataupun kalau kat dapur kita tak ada sebiji lada pun, tak payah bubuh pun tak apa. Cili kisar pun sudah ada rasa pedas.


Langkah 9
Masukkan ke dalam kuali. Kalau rasa sos bertelur tu pekat sangat, masukkan sikit air. Kalau elok pekatnya, tak payah dah.


Langkah 10
Tutup kuali dengan tudung periuk. Tudung periuk yang tak pandai menari tau..


Langkah 11
Selepas beberapa minit, buka tudung periuk yang tak pandai menari dan kacau kupang dan sos bertelur. Kacau sehingga bergaul mesra.

Lepas tu bolehlah rasa masin manisnya. Rasa isi kupang sekali.. mmm... Sedapnya..


Langkah 12
Masukkan ke dalam mangkuk bergaya atau tak bergaya. Taburkan dengan hirisan daun sup. Kemudian tangkap gambar. Huhu

Hidangan sudah siap. Jemput makan semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan