Sabtu, 9 Disember 2017

Resepi Chicken Chop Homemade yang Ringkas dan sedap.

Nak masak Chicken Chop yang mudah? Cuba cara yang ringkas ini..

Hari-hari makan nasi pasti rasa jemu juga kan. Sekali sekala kita makan makanan barat pula.

Makanan hidangan sepinggan lengkap cara barat ini memberikan kita semua nutrien yang diperlukan oleh badan.

Kenyang ke weh?
Kenyang sangat sebab rasanya sedap beb..


RESEPI CHICKEN CHOP HOMEMADE
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan A, B, C dan D

A : Ayam krispi

4 ketul dada ayam - potong nipis dapat 3 keping bagi seketul ayam.
*1 sudu besar lada hitam
*1 sudu besar lada sulah
Bahan bertanda* dilumur pada ayam dan perap sebentar
2 cawan serbuk roti
3 cawan minyak masak untuk menggoreng

Sedikit daun salad sebagai hiasan

B : Jagung manis

1/2 kg isi jagung
2 sudu besar mentega
2 sudu besar susu pekat manis - optional
1/2 cawan susu sejat / susu segar
1/2 sudu kecil garam

C : Kentang goreng

1/2 kg fun fries
Minyak untuk menggoreng

D : Sos lada hitam

2 sudu besar mentega
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1/2 biji bawang besar Holland, dicincang halus
2 sudu besar tepung gandum
1 ketul kiub ayam
4 cawan air
1/2 cawan sos lada hitam
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
1 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu besar gula - optional
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis


Cara membuatnya

Jom jom jom


Langkah 1
Isi ayam yang dihiris nipis diketuk-ketuk sedikit menggunakan alat yang sesuai.

Ada orang Mak Hencik tengok guna alu lesung sahaja. Gunalah apa sahaja yang sesuai. Bontot botol ke.. bontot cawan ke.. Bagi Mak Hencik, beresss. Kita yang nak masak kan. Kita juga yang nak makan nanti.




Langkah 2
Lumurkan isi ayam dengan serbuk lada hitam dan serbuk lada putih. Bubuh dalam bekas, tutup dan biarkan sebentar.


Langkah 3
Sediakan bawang putih cincang dan tepung gandum.


Langkah 4
Panaskan kuali, masukkan mentega.


Langkah 5
Masukkan bawang putih dan bawang besar Holland yang dicincang. Kacau.


Langkah 6
Bila bawang putih dan bawang besar Holland sudah kekuningan, terus masukkan tepung gandum. Kacau  rata sehingga tepung berwarna kekuningan.


Langkah 7
Apabila tepung sudah kekuningan, masukkan air dan terus dikacau menggunakan whisk sehingga tidak berketul.


Langkah 8
Masukkan kiub ayam, gula, sos lada hitam, serbuk kasar lada hitam, serbuk lada putih, sos tiram dan kicap manis. Kacau lagi sehingga  sos lada hitam memekat. Kalau nak warna lebih gelap, boleh tambah kicap.


Langkah 9
Apabila sos sudah pekat seperti yang dikehendaki, boleh tutup api dan masukkan dalam mangkuk. Ketepikan.




Langkah 10
Sediakan jagung manis.

a. Basuh dan toskan jagung.
b. Masukkan jagung ke dalam periuk, masukkan air lebih sedikit dari aras jagung.
c. Rebus jagung.
d. Bila jagung sudah masak, toskan jagung dan masukkan ke dalam bekas.
e. Di dalam bekas jagung, masukkan susu pekat, susu sejat atau susu segar, sedikit garam dan mentega. Gaul rata hingga sebati. Ketepikan.




Langkah 11
Goreng fun fries di dalam minyak panas. Bila masak angkat dan toskan. Ketepikan.


Langkah 12
Semasa menggoreng kentang tadi, kita sediakan serbuk roti. Ayam perap dikeluarkan.


Langkah 13
Salut isi ayam dengan serbuk roti.
Apabila kentang goreng telah masak, kita goreng ayam pula.


Langkah 14
Bila ayam sudah masak, toskan minyak.

Goreng ayam krispi sehingga habis.


Langkah 15
Masa untuk menghidang.. Di dalam pinggan, masukkan seketul isi ayam krispi, sedikit kentang goreng dan jagung manis. Tuangkan sos lada hitam di atas ayam. Mmm... Sedapnya.. Jemput makan semua..

Bismillah..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan