Memaparkan catatan dengan label Resepi mee. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi mee. Papar semua catatan

Jumaat, 11 Jun 2021

Mee Sizzling Simple

Cara nak buat mee sizzling ni memang simple giler  tapi rasanya fullamak.. meletops sedap gais!


Kalau pandai masak mee sizzling ni jangan pendamkan bakat tu. Open order dalam group-group taman atau kampung untuk berniaga. Mee Sizzling ni ramai peminatnya, kalau kena cara pengurusan dan pemasaran, rezeki akan datang bergolek-golek.

Sebab ini adalah pengalaman seorang rakan yang cuba-cuba belajar berniaga untuk membantu suami. Hasil penat-lelah dan gigihnya bertahun-tahun tu akhirnya dia berjaya menyewa lot gerai di pusat beli-belah. You know what guys! Dia dapat 30k sebulan hasil jualan ni. Best dengar kan.. 💪💪. Itulah yang diceritakan.. Cerita benar ni.. Kalau dia tipu, maka Mak Hencik pun tipu lah ni...😆😆😆


RESEPI YEE MEE SIZZLING
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

8 ulas bawang putih, dihiris
5 keping halia, dihiris
10 tangkai cili kering, dipotong 3 (boleh kurang atau tambah ikut kepedasan masing-masing)

6 cawan air
4 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap masin/manis
3 sudu besar kicap cair 
2 ketul kiub ayam
garam dan gula secukupnya

3 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
1 sudu besar minyak bijan

Sawi Jepun
Yee mee
Telur
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya.

Jom.. jom kita ke dapur.


🤍Basuh bersih cendawan shitake kemudian rendam  cendawan sehingga lembut.

🤍Kalau suka cendawan ni, bubuh banyak-banyak pun ok, tak ada orang marah rasanya.


🤍Potong cendawan shitake ikut suka korang. Mak Hencik potong nipis. 

🤍Air rendaman tu simpan. Tambah air untuk cukupkan 6 cawan.


🤍Sediakan bahan-bahan lain seperti bawang putih hiris, halia hiris, cili kering dipotong tiga dan dibasuh bersih, isi ayam dipotong kecil dan sawi Jepun.


🤍 Bahan-bahan lain, kita ada 2 ketul kiub ayam, 1 sudu besar serbuk lada hitam kasar dan 1 sudu besar minyak bijan.

🤍Dalam mangkuk kecil tu adalah bancuhan tepung jagung dengan sedikit air.

Dah sedia bahan segala mari kita mulakan..


🤍 Panaskan sedikit minyak masak, tumis cili kering potong diikuti oleh halia hiris dan bawang putih hiris.


🤍Bila bahan tumisan dah garing, masukkan isi ayam. Kacau seketika sehingga isi ayam masak.


🤍Bila isi ayam sudah masak, masukkan air rendaman cendawan dan air berjumlah 6 cawan. Biarkan sehingga mendidih.


🤍Bila kuah sudah mendidih, masukkan cendawan shitake. 

🤍Masukkan juga bahan perasa seperti garam, gula, kiub ayam, sos tiram, serbuk lada hitam kasar dan kicap manis atau masin. Mak Hencik guna kicap manis jer sebabnya budak-budak ni tak makan kicap masin.

🤍Jangan lupa, masukkan juga garam dan gula secukup rasa.

🤍Biarkan seketika sambil dikacau sekali-sekala.


🤍Bila cendawan shitake tu agak-agak dah masak, tuang bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah.

🤍Akhir sekali masukkan 1 sudu besar minyak bijan. Kacau sehingga rata.


🤍Rasakan dulu kuahnya biar sempurna. Mesti kita bak rasa yang sedap meletops kan. Ha3

🤍Bila rasa dah sempurna, kuah pun dah pekat elok, maka bolehlah kita tutup api.

Sebab Mak Hencik nak terus makan gitu ajer, jadi Mak Hencik celur dulu sayur sawi Jepun.


🤍Sawi jepun sebelum dicelur.


🤍Sawi jepun selepas dicelur. (Buruknya. 😆😆😆)

Lepas tu operasi mencelur yee mee pula..


🤍Kami nak makan terus, jadi Mak Hencik celur yee mee sehingga lembut. 

🤍Kalau nak guna hot plate, yee mee dan sawi tu tak payah dicelur.


🤍Ni hasilnya 5 keping yee mee yang dah siap dicelur.

Akhirnya.. bolehlah dihidangkan.


🤍Untuk satu hidangan, masukkan yee mee ke dalam pinggan, sendukkah kuah dan letakkan sawi jepun celur. 

🤍Jemput makan kawan-kawan semua..

🤍 Bismillah..

Kalau guna hot plate, letak hot plate atas dapur, tuang satu senduk kuah lepas tu letak seketul yee mee. Buka api. Kemudian letakkan lagi kuah atas yee mee, diikuti oleh sawi jepun dan pecahkan sebiji telur. Bila yee mee dah separuh lembut, tutup api. Ready to serve.❤️❤️

Selasa, 24 April 2018

Mee Goreng Telur

Mee goreng mamak satu! Teh tarik gelas besar satu! 🍝🍺

Ooi! ooi! Ingat ni kedai mamak ke? Sedapnya mengorder..

😋😋😋


MEE GORENG TELUR YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

400gm mee kuning
4 biji bawang putih - diketuk
3 sudu besar cili kering kisar
2 ketul ayam - dipotong kecil
2 biji telur ayam
1 cawan tauge
1 biji lada merah - dipotong serong
1 sudu kecil serbuk pati ikan bilis
5 sudu besar kicap
5 sudu besar cili sos
1/2 cawan air
Minyak secukupnya untuk menumis
Daun sup dihiris dan bawang goreng secukupnya sebagai hiasan

Cara-cara membuatnya


Mi kuning, basuh bersih dan toskan.


Antara bahan yang digunakan iaitu tauge, bawang putih, telur dan ayam yang dipotong kecil.


Langkah 1
Panaskan minyak. Tumiskan bawang putih dan cili kering kisar. Kacau sehingga kekuningan.


Langkah 2
Bila sudah garing, masukkan isi ayam. Kacau sehingga rata.


Langkah 3
Kacau sehingga isi ayam masak, kemudian masukkan air. Biarkan sehingga air mendidih sambil dikacau seketika.


Langkah 4
Masukkan mi kuning.


Masukkan sos cili, kicap dan serbuk pati ikan bilis. Kacau sehingga rata. Kalau tak cukup sos cili, tambah sos cili. Kalau tak cukup kicap, tambahlah kicap. Semahu-mahunya.


Langkah 5
Masukkan pula tauge dan lada merah. Kacau lagi sehingga rata.


Langkah 6
Tepikan mee ke tepi kuali. Masukkan dua besar minyak masak.


Langkah 7
Masukkan telur, biar seketika kemudian kacau.


Kacau telur bersama dengan mee. Biarkan mee dan telur melekat antara satu dengan lain. Seperti bertemu jodoh, berpisah tiada. Cheewaaahhh!


Perah jus limau kasturi. Biji tu dibuang ya.


Langkah 8
Masukkan jus limau kasturi ke dalam mee. Gaul lagi sehingga sebati.


Bila dah siap, tutup api.


Langkah 9
Hiaskan mee goreng telur kita hari ini dengan daun sup hiris dan bawang goreng.

Jemput makan semua..

Bismillah..

Sabtu, 31 Mac 2018

Bihun Goreng Kicap yang Mudah dan Sedap

Hari ni rasa malas pula nak keluar untuk bersarapan di luar. Suami pun sama. "Saya goreng bihunlah pagi ni. Nak tak?"
"Boleh."


Pernah dulu Mak Hencik beli bihun, bila digoreng jadi lembik. Ingatkan salah masak. Kali yang lain goreng bihun yang sama, jadi lembek juga. Nak nangis rasa.

Selidik punya selidik rupa-rupanya bihun dari beras wangi. 😭😭


RESEPI BIHUN GORENG KICAP YANG MUDAH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 1/2 keping bihun
1 ketul ayam - dipotong kecil
2 ulas bawang putih - diketuk
2 sudu besar cili kering kisar
1 biji lada hijau - dipotong serong
Sedikit kubis - dipotong halus memanjang
Sedikit karot - dipotong halus panjang 2 inci
2 cawan air
2 sudu besar gula, jika suka
1 sudu kecil garam atau secukupnya
1 sudu kecil serbuk ikan bilis
Kicap secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Jom jom kita memasak


Sediakan bawang putih ketuk, ayam yang dipotong halus, cili kering kisar dan lada hijau yang dipotong serong.

Nangis orang kulinari kalau tengok ni. Mana boleh letak sekali bahan basah dan bawang lada.. boleh berlaku pencemaran silang ni.. 😭😭😭 Ampuni daku..


Karot dan kubis yang telah dihiris

 

Bihun direndam sekejap dalam air supaya lembut kemudian toskan air.


Langkah 1
Panaskan minyak. Tumis bawang putih yang diketuk bersama cili kering kisar.


Langkah 2
Apabila bahan tumisan sudah hampir garing, masukkan isi ayam. Kacau sehingga rata, sehingga isi ayam masak.


Langkah 3
Kemudian masukkan air. Jumlah air ni terpulang kepada banyak mana bihun dan juga jenis bihun. Kadang-kadang bihunnya jenis lembut, jadi bubuh sikit jer laa air. Ikut ragam bihunlah senang cerita.

Masa ni, kita boleh masukkan garam, gula dan serbuk ikan bilis.

Mak Hencik masukkan bihun tu apabila air mendidih. Kemudian kacau sehingga rata.


Langkah 4
Masukkan pula sayur-sayuran seperti kubis dan karot. Lada hijau juga.


Gaul sehingga rata. Kalau ikutkan Mak Hencik tak suka sangat bihun kicap. Suka yang macam ni 👆👆jer. Tapi anak-anak suka yang ada kicap.


Langkah 5
Jadi, kita renjislah sedikit kicap. Biar ada warna gelap sikit. Kalau banyak sangat nanti jadi bihun warga aprika pula. 😂😂😂
Selepas itu kita gaul.. gaul.. gaul.. sehingga rata.


Dah masak, dah sedap rasa dia.. bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam pinggan hidangan dan taburkan sedikit daun sup yang telah dihiris serta bawang goreng.


Jom sarapan kawan-kawan.. bihun dengan keropok keping dan air teh. Kawan  Mak Hencik dari Indonesia panggil teh susu. Kalau air teh tu maksud air teh O. Ooo.. gitu dehhh..

Bismillah..

Sabtu, 6 Januari 2018

Yee Mee Sizling ringkas

Mmm.. rasanya boleh tahan sedap. 



Tengok rakan-rakan fb yang membuat yee mee tanpa hot plate, Mak Hencik pun terpengaruh juga. Mak Hencik pun tak ada hot plate ker apa nama tu. Mak Hencik juga gunakan bahan yang mana ada kat dapur jer. Seperti biasa ler. Kicap pekat, kicap masin tak pernah maujud dalam kabinet dapur ku. Semua tu Mak Hencik skip. Ingat! Setiap masakan kita adalah unik! So, no problemo. Hihihi


YEE MEE SIZLING RINGKAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 keping yee mee
3 ketul ayam - dipotong kecil. 
4 ulas bawang putih - diketuk sedikit
5 tangkai cili kering - dibuang biji dan dipotong panjang seinci
2 hiris halia - dihiris halus
1/2 cawan sos tiram
1/3 cawan kicap manis
1 ketul kiub ayam
3 sudu kecil serbuk lada hitam
1500 ml air
6 biji cendawan butang segar - dihiris nipis
Sedikit sawi - dipotong 1 inci panjang ( Mak Hencik tiada stok sawi, Mak Hencik gantikan dengan kobis dan brokoli. Kihkihkih)
3 sudu besar minyak masak untuk menumis
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 1/2 cawan air

Cara-cara membuatnya

Meh ler kita ke dapur..


Ayam dipotong kecil, dibersihkan dan ditoskan.


Antara bahan-bahan yang digunakan


Langkah 1
Panaskan minyak, masukkan bawang putih, halia dan cili kering.


Langkah 2
Bila bahan tumis sudah hampir garing, masukkan ayam. Kacau sekali sekala sehingga isi ayam masak.


Langkah 3
Bila isi ayam sudah masak, masukkan air. Masukkan sos tiram, kicap manis dan kiub ayam. Biarkan sehingga mendidih.


Masukkan serbuk lada hitam. Hampir-hampir jer terlupa. Hehe


Langkah 4
Kemudian masukkan cendawan, brokoli dan bunga kobis. Ya ampunnnn Mak Hencik menderhaka!


Biarkan sehingga mendidih.


Langkah 5
Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau sehingga pekat.


Bila sudah pekat elok dan sedap rasanya bolehlah tutup api.

Cara-cara menghidang



Sediakan yee mee dan telur


Ambil pan atau kuali leper, masukkan 3 senduk kuah sizzling. Buka api.


Masukkan yee mee. Biar dia lembut sedikit. Kalau ada sawi, bolehlah masukkan sekarang. Tapi Mak Hencik dah menderhaka tadi, masukkan sayuq awai-awai lagi. Hihihi


Lastly, pecahkan sebiji telur. Bila dah separuh masak telur tu, tutup api.


Lepas tu pindahkan yee mee sizzling ke dalam pinggan hidangan. Ambil sudu, ambil garpu dan ngappp! Mmm sedap rasanya. Tapi lain kali Mak Hencik nak gi beli hot plate lah. Rasa tak lengkap pula makan yee mee ni tanpa hot plate.


Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

************************

Setelah beberapa hari, Mak Hencik kebetulan pergi Nilai 3 sebab nak beli soap dispenser untuk bilik air. Tiba-tiba anak dara tunjukkan kat satu benda. Omaigod...

Ada 2 pilihan bentuk iaitu bujur dan bulat. Yang bujur rm29 dan yang bulat rm22. 




Mak Hencik pilih yang bulat. Tak tahulah kenapa, kononnya lebih senang nak letak atas dapur karang. Hehe