Ahad, 1 April 2018

Sayur Pedas Bayam Hijau yang Sedap

Terliur tengok lauk sahabat yang menghidangkan lauk sayur pedas petola, ikan rebus goreng, terung bakar dan budu di fb petang semalam. Hari ni aku mulakan operasi... 😎😎


Malangnya aku tak jumpa petola, jadi ku gantikan dengan sayur bayam hijau. Ibuku selalu juga masak sayur pedas bayam ni. Jadi hari ni kita masak lauk tu jer lah.



RESEPI SAYUR PEDAS BAYAM HIJAU YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 ikat sayur bayam hijau - dipotong

*1 ekor ikan selayang atau sardin - dipanggang, diambil isi
*1 biji bawang besar merah saiz kecil
*1 sudu kecil lada hitam
Bahan bertanda * ditumbuk halus

3 cawan air
1 biji kentang - dipotong empat. Lagi sedap kalau bubuh keledek oren.
1 sudu kecil garam atau secukupnya
1 sudu kecil gula atau secukupnya, jika suka
1/2 sudu teh serbuk perasa, jika suka

Cara-cara menyediakannya

Jom.. jom..



Mula-mula mestilah kena panggang ikan dahulu. Bila dah masak kedua belahnya, luar dan dalamnya, boleh tutup api dan sejukkan. Lepas tu bolehlah kita asingkan isi dengan tulang.



Antara bahan-bahan yang digunakan.



Seterusnya kita ambil lesung batu ajaib lagi sakti kita. Kita tumbuklah lada hitam sehingga lumat, kemudian masukkan bawang merah dan akhir sekali isi ikan. Kletang kletung kletang kletung



Dalam periuk atau kuali, masukkan air, bahan tumbuk dan kentang. Buka api dan biarkan sehingga mendidih.



Sambil tunggu kentang empuk, masukkan garam, gula dan serbuk perasa, jika suka.



Sementara itu juga, kita boleh siang dan potong sayur bayam kita. Rendam air seketika dan basuh bersih. Rendam sekejap lagi dan bilas bersih.



Bila kentang sudah empuk, masukkan sayur bayam tadi. Kacau rata sehingga sayur sudah masak.



Bolehlah ditutup api. Sediakan mangkuk, masukkan ke dalam mangkuk tersebut. Sedia untuk dihidangkan.



Siap sudah lauk kita hari ni. Oleh kerana anak-anak sudah kenyang pekena burger tadi, kita goreng 1/2 ekor ikan siakap sebagai pelengkap, sambal belacan dan ulam timun.

Jemput makan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan