Memaparkan catatan dengan label Resepi lauk sayuran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi lauk sayuran. Papar semua catatan

Khamis, 2 Januari 2020

Kangkung Goreng Belacan

Hurm.. Sedapnya! Ditambah lagi dengan aroma belacan segar.. Meleleh..



Gara-gara ter'order' kangkung goreng belacan di restoran Thai tempohari, tetiba sahaja si kakak request nak makan masakan tersebut.

Kebetulan pula stok belacan ada banyak lagi. Belacan pemberian dari kawan sekerja, Nazrawati ni sangat sedap sebab ia segar lagi. Warna dia pun pink-pink gitu. Kualiti belacan yang baik menjadikan hasil masakan lebih sedap.


RESEPI KANGKUNG GORENG BELACAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ikat sayur kangkung
1 ketul isi ayam - dipotong kecil
2 ulas bawang putih
1 sudu besar cili kering kisar
1 inci belacan
1/4 bawang besar Holland - dihiris besar
1 biji lada merah - dipotong serong
2 sudu besar minyak masak
Garam, gula dan serbuk perasa

Cara-cara memasak.

Jom.. Jomlah kita ke dapur.


Sayur kangkung dipotong, direndam dan ditoskan.


Isi ayam dipotong kecil. Basuh bersih.


Belacan, bawang putih, cili kering kisar, bawang Holland dan lada merah.

Cara-cara menyediakannya.


🔗Panaskan minyak.

🔗Masukkan bawang putih yang diketuk dan belacan.

🔗Tumis sampai belacan garing.


🔗Apabila sudah garing, masukkan cili kering kisar.

🔗Tumis sampai garing.


🔗Kemudian masukkan ayam.

🔗Tunggu sehingga isi ayam masak sambil dikacau.


🔗Seterusnya masukkan kangkung.

🔗Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa, jika suka.


🔗Kacau sehingga sebati.

🔗Bila kangkung sudah layu sedikit dan rasa pun sudah sempurna, tutup lah api.


🔗Masukkan ke dalam pinggan hidang. Sedia untuk dinikmati.

🔗Bismillah..

Khamis, 26 Disember 2019

Bayam Brazil Masak Lemak Putih

Cara masak bayam Brazil? Boleh cuba masak lemak putih.



Tak nak guna bayam Brazil pun boleh. Boleh ganti dengan sawi, bayam hijau, pegaga, daun belalai gajah dan lain-lain.

Kebetulannya kat rumah ni ada tanam bayam Brazil. Kalau nak makan ulam, boleh terus petik kat belakang dapur ni haa.


Benihnya adalah anak pokok daripada pemberian jiran depan rumah. Subur sangat pokok bayam Brazil ni. Kalau petik daunnya nanti ia akan bertambah subur. Jadi, baik sangat lah kalau kita petik. Ya dak? 😂😂😂😂


RESEPI SAYUR LEMAK CAMPUR BAYAM BRAZIL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 tangkai bayam Brazil
5 batang anak jagung - dibelah dua
1 cawan tauge
1/2 batang karot - disagat
1 biji lada merah - dipotong panjang

1/2 biji bawang merah besar - ditumbuk
1 ekor ikan selayang - panggang, ambil isi dan tumbuk

3 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya

Marilah kita ke dapur. Jommm...


👛Bayam Brazil dibasuh bersih dan ditoskan.


👛Sayuran yang digunakan dalam masakan ini.


👛Santan pekat 1 cawan dicampur dengan 2 cawan air menghasilkan 3 cawan santan.


👛Isi ikan yang diasingkan isi dengan tulang.


👛Tumbuk bawang merah besar sehingga lumat. Kemudian masukkan isi ikan tadi dan tumbuk lagi sehingga lumat.


👛Potong kiub tauhu.

Cara memasak.


👛Dalam periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, lada merah dan anak jagung.

👛Buka api.


👛Kacau selalu supaya santan tidak berketul.

👛Tunggu sehingga anak jagung masak.


👛Bila anak jagung sudah masak, masukkan bayam Brazil, karot dan tauge.


👛Masukkan pula tauhu, garam dan gula sesedap rasa.


👛Kacau sehingga rata dan biarkan sayuran layu.


👛Bila dah masak, bolehlah tutup api.


👛Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Sedia untuk menjamu selera.


👛Hidangan hari ini seadanya. Jemput makan sahabat..

👛Bismillah.. 😋😋😋

Sabtu, 7 September 2019

Sayur Lemak Putih Daun Ranti

Rasa lemak-lemak pahit. Kepada yang gemar, ohohoho terangkat!




Kali pertama makan daun ranti ni Semasa bekerja di Tanjong Sepat, Kuala Langat selangor. Pelik juga pada mulanya tapi dah tak ada pilihan lain, maka cuba lah dulu. Dah namanya lauk untuk dimakan, maka kita try la kan..



Inilah rupa daun ranti. Saya ingat pokoknya besar macam pokok rambutan ke.. dokong ke.. Tapi kak Ros kata pokoknya renek sahaja. Renek macamana tak pasti la pula. Cuma boleh bayangkan sahaja dalam kepala otak nih. 😁😁😁




SAYUR LEMAK DAUN RANTI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ikat daun ranti
1/2 biji bawang merah besar
1 sudu kecil lada hitam
1 cawan santan pekat
2 cawan air
1 biji lada merah, dihiris serong
Sedikit ikan bilis

Cara-cara membuatnya

Persediaan bahan..



Siang daun ranti. Ambil daun yang muda termasuk pucuk. Kalau daun keras jangan diambil.




Dah siap, ambil daun ranti tadi pergi basuh kat sinki. Kemudian toskan airnya.



Seterusnya kita sediakan bawang merah, ikan bilis, lada hitam, lada merah dan santan.



Kita tumbuk lada hitam sehingga hancur. Lepas tu masukkan bawang merah dan tumbuk lagi sehingga lumat.

Jom masak pula..



Masukkan santan dan air ke dalam periuk yang sesuai. Masukkan juga bahan tumbuk, ikan bilis dan lada merah yang dihiris serong tadi.

Buka api dan kacau selalu sehingga kuah mendidih.



Bila kuah telah mendidih, masukkan daun ranti. Kacau lagi. Sambil itu masukkan juga bahan perkasa seperti garam secukupnya. Kalau biasa masak suka letak gula, letaklah. Rasa ni boleh ubahsuai ikut kehendak atau mulut sendiri.



Bila daun ranti tu sudah layu, bolehlah tutup api. Lepas tu bolehlah masukkan sayur lemak putih daun ranti ke dalam mangkuk hidang.



Hidangan tengahari ini.. Kami orang kampung makan lauk biasa jer. Dah ada lauk pun alhamdulillah..

Jemput makan semua..

Bismillah..

Isnin, 5 Ogos 2019

Masak Lemak Sayur Cekur Manis dan Labu

Lauk kampung yang bahaya. Lebih-lebih lagi kalau diregukan dengan ikan masin dan sambal belacan. Sahhhhh...! Menambah nasi berpinggan-pinggan. 😂😂😂



Kalau tak nak makan bertambah, makanlah ramai-ramai. Misalnya makan dengan mak dan pak mentua. Ada ipar-duai sekali. Kalau tak tau malu, tak tahulah.. 😂😂😂


MASAK LEMAK PUTIH CEKUR MANIS DENGAN LABU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Daun cekur manis, diambil yang muda
1 biji bawang merah sederhana besar, ditumbuk atau dikisar halus
1 ekor ikan selar saiz kecil, dipanggang, diasingkan isi dan tulang dan ditumbuk atau dikisar halus
3 cawan santan
2 hiris labu kuning, dipotong dadu dan direbus
1 biji lada merah, dipotong serong


Cara-cara membuatnya

Jom menyayur hari ini..


Daun cekur manis,, ambil yang muda, dibasuh bersih dan ditoskan.


Labu kuning, dipotong dadu dan direbus separuh masak.


Tumbuk bawang merah diikuti dengan isi ikan sampai lumat.


Satukan santan, bahan yang ditumbuk tadi dan cili merah di dalam periuk. Buka api.


Kacau selalu sehingga kuah mendidih. Apabila kuah sudah mendidih, masukkan daun Cekur manis.


Kacau selalu supaya santan tidak berketul. Apabila daun sudah layu sedikit, masukkan pula labu tadi. Perisakan dengan garam dan gula secukupnya.


Kacau sekali sekala sehingga buah labu masak sepenuhnya. Rasa kan kuahnya. Bila sudah sedap, bolehlah tutup api.


Hidangkan dalam mangkuk hidang. Siap!

Jemput makan semua..

Bismillah..

Ahad, 23 September 2018

Gulai Tempoyak Pucuk Ubi

Gunakan tempoyak yang segar baharulah rasa sedapnya sentiasa segar di ingatan!




Setelah empat hari menggantung periuk kerana pergi berkursus di Bandar Tenggara, Kulai, Johor Darul Takzim, hari ni kita dah tak sabar memasak.

Pagi-pagi lagi selepas bersarapan di medan selera Desa Cempaka, ajak suami pergi ke pasar Nilai. Nak beli santan segar untuk stok minggu ini. Santan di situ tak campur air..



Bila sampai di pasar, santan, beli ikan keli untuk buat lauk, beli ikan sardin nak buat laksa dan sedikit sayur-sayuran kampung, termasuklah pucuk ubi. Stok tempoyak sudah ada di rumah lagi pula baru lepas musim durian. Segar lagi.

Gulai ni Mak Hencik buat stail bubuh bawang. Ada yang satu lagi jenis tak bubuh bawang. Jangan bergaduh pula kata tak payah bubuh bawang. Ikut sukalah ya. Stail masing-masing..kata orang, kita raikan persamaan, kita raikan juga perbezaan..
🤗🤗🤗



GULAI TEMPOYAK PUCUK UBI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 ikat pucuk ubi
1 cawan tempoyak

*3 biji cili padi, kalau nak pedas tambahlah lagi ikut selera
*1 biji bawang putih
*1/2 biji bawang besar merah saiz sederhana
*2 inci kunyit
*1 cawan air
Bahan bertanda * dikisar halus

Sedikit ikan bilis
1 cawan santan pekat
1 biji cili merah, dipotong serong
Garam secukup rasa
Kalau korang suka gula bubuhlah
Kalau korang biasa letak serbuk perasa pun letaklah

Cara-cara menyediakannya..

Jom..



Pucuk ubi beli di pasar tadi. Satu ikat lima puluh sen sahaja. Mak Hencik beli empat.



Pucuk ubi dihiris sederhana halus, basuh bersih, bilas dan toskan airnya. Kalau uols nak potong halus macam bunga rampai pun boleh. Kalau tak nak potong boleh? Boleh aihhh... cuma batang tu jangan ambil ya.. 😂😂😂



Antara bahan-bahan yang akan digunakan. Ikan bilis, lada merah, santan dan bahan kisar.

Kisar bawang putih, bawang merah, kunyit hidup dan  cili padi sehingga lumat.



Bahan paling istimewa, tempoyak.



Langkah 1
Dalam kuali yang sesuai atau periuk, masukkan santan, bahan kisar, tempoyak dan ikan bilis. Buka api.



Kacau selalu sehingga menggelegak. Sambil itu masukkan garam secukupnya. 



Langkah 2
Bila kuah sudah menggelegak, masukkan pucuk ubi dan cili merah yang dipotong serong tadi.



Kacau sehingga daun pucuk ubi layu. Biarkan kuah menggelegak dan pekat, sebati dengan pucuk ubi.



Langkah 3
Bila kuah sudah pekat, bolehlah tutup api. Ambillah mangkuk hidang untuk menghidang.. Jeng jeng jeng



Inilah rupamu wahai gulai tempoyak pucuk ubi..



Hidangan hari ni menemani gulai tempoyak, ayam goreng bawang putih halia, ikan keli berlada, sambal belacan dan dalam perjalanan ialah ikan belanak masin.

Jemput kawan-kawan..

Bismillah..