Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Udang bukan sebarang udang,
Gulai dengan pucuk paku enak sekali.
Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Gulai pucuk paku dengan udang,
Makan dengan sambal belacan, maunya tambah berkali-kali.
Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Sama-sama saling pandang-memandang,
Tengok nasi di pinggan licin lagi.
Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Kalau suka makan udang,
Gulai dengan pucuk paku mudah sekali.
RESEPI GULAI LEMAK PUCUK PAKU DENGAN UDANG
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
1 ikat pucuk paku - dipotong, dibersihkan dan ditos
5 ekor udang saiz besar
*1 ulas bawang putih
*2 biji bawang merah
*2 tangkai cili kering
*1 biji cili padi - kalau nak pedas, tambah lagi cili.
*1 hiris lengkuas
Bahan yang bertanda * dikisar sehingga halus
1 sudu kecil kunyit serbuk - kalau ada kunyit hidup lagi sedap
3 cawan santan
2 hiris karot - dipotong memanjang
1 keping asam gelugur
2 sudu kecil garam atau secukupnya
2 sudu kecil gula atau secukupnya
Cara-cara membuatnya
Jom.. jom.. jom..
Antara bahan-bahan untuk memasak pada hari ini ialah pucuk paku, udang, lada hijau, bawang putih, bawang merah, cili kering dan cili padi.
Hiris serong lada hijau. Yang hitam tu asam gelugur.
Mula-mula masukkan santan dalam kuali. Masukkan bahan kisar, asam gelugur, lada hijau, garam dan gula. Buka api tuuu.
Kacau selalu supaya kuah tidak berketul. Kacau perlahan-lahan sehingga kuah mendidih.
Apabila kuah sudah menggelegak, masukkan udang.
Hiris karot. Jika tak bubuh pun tak apa. Mak Hencik bubuh ni sebab nak bagi pelbagai warna.
Kacau lagi perlahan-lahan sehingga udang masak.
Akhir sekali masukkan pucuk paku. Kacau sehingga sebati dan pucuk paku layu.
Bila sudah masak, tutup api.
Masukkan ke dalam mangkuk hidangan.
Jom menikmati hidangan serba sederhana ini. Gulai lemak pucuk paku dengan udang, ayam goreng kunyit sos black pepper, ikan tenggiri goreng kunyit, telur itik asin dan sambal without belacan. Sila..sila..
Bismillah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan