Selasa, 9 Januari 2018

Telur Bistik Ayam yang Sedap

Di dalam telur ada isi ayam. Sedap apabila digigit. 



Suatu petang, aku dan seorang kawan pergi ke gerai berhampiran asrama, dekat Seksyen 17 Petaling Jaya. Yang nak marahnya, dia tak boleh masak masakan lain melainkan telur bistik sahaja. Aku ni tak suka telur, tapi perut sudah lapar, jadi kami bersetuju sahajalah.

Bila balik ke asrama, kami pun makan. Mak aihhhhh sedapnya. Di dalam telur tu ada daging sikit dengan karot dadu, jagung dan kacang peas. Sos dia tu secukup rasa. Aummm..


RESEPI TELUR BISTIK AYAM YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 biji telur
*1 ketul isi ayam - dicincang halus
*Sedikit serbuk lada sulah
*Sedikit serbuk lada hitam
Bahan bertanda * digaul sebati dan digoreng dengan sedikit minyak. Sejukkan.

2 biji bawang putih - diketuk
1/3 cawan sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 biji tomato - dibelah 4
1/2 biji bawang besar - dihiris
1 biji lada hijau - dipotong serong
Sedikit karot - dipotong dadu
1 liter air
Sedikit minyak untuk menggoreng
1 sudu besar tepung jagung dicampur dengan sedikit air
Sedikit daun sup dihiris - untuk hiasan
Sedikit bawang goreng - untuk hiasan

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom

Cara membuat telur bistik


Mula-mula kita gaulkan isi ayam cincang dengan serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah.


Panaskan sedikit minyak dan goreng ayam tadi sehingga masak. Tak perlu garing ya. Cukup sekadar masak.


Ayam cincang yang sudah masak disejukkan.


Basuh bersih telur ayam.


Pecahkan sebiji di dalam mangkuk kecil. Masukkan sedikit isi ayam tadi. Pukul sedikit dengan sudu.


Panaskan minyak dan goreng telur yang dipukul tadi.


Lipat atau gulung telur supaya isi ayam tidak terkeluar.


Balikkan telur apabila telah masak.


Bila telah masak, angkat dan masukkan dalam pinggan hidangan.

Ulangi langkah menggoreng telur bistik sampai habis.


Biarkan dahulu telur bistik. Jom sediakan kuah sos dia pula.

Cara-cara menyediakan kuah sos telur bistik.


Bawang putih, tomato, lada hijau, bawang holand dan karot.


Sos cili, sos tiram dan sos tomato. Hahaha. Gambarnya sos cili sahaja.


Mula-mula, kita panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih.


Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Kacau sebati.


Kemudian, masukkan lada hijau, karot, tomato dan bawang holand. Kacau kacau sikit.


Lepas tu masukkan air. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa.


 Biarkan sehingga mendidih.


Sementara itu, sediakan bancuhan tepung jagung.


Kemudian tuang bancuhan tepung jagung ke dalam sos yang sedang mendidih di dalam kuali.


Apabila kuah sudah pekat elok, bolehlah tutup api.


Tuang sos ke atas telur bistik yang telah digoreng tadi.


Yeayyyy!! Beginilah rupa telur bistik ayam kita hari ini. Tabur sedikit hirisan daun bawang dan bawang goreng. Sangat sedap dimakan dengan nasi dan lauk lain seperti tom yam. Jemput makan semua...

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan