Untuk rasa kuah spaghetti bolognese yang sedap, kita gunakan isi ayam segar yang dikisar. Letak sedikit garam dan lada sulah. Rasa asin-asin sikit apabila menggigit ayam. Rasa nak kunyah lagi. Lagi dan lagi. Sungguh sedap!
Antara hidangan yang menjadi pilihan tetamu untuk jamuan atau rumah terbuka ialah spaghetti 🍝. Anak-anaklah yang paling menggemarinya. Hidangan itulah yang akan dihadapnya terlebih dahulu. Dua tiga kali diulang makan makanan yang sama.
Anak-anak nih boleh pulak makan benda alah ni dari pagi sampai ke malam kalau kita masak di rumah. Pastu bertambah-tambah pula. Kalau masak nasi, boleh pula ditanya, ada lauk lain tak? Kalau boleh tengahari nak lauk lain. Malam pulak nak lauk lain. Hadoiii
RESEPI SPAGHETTI BOLOGNESE AYAM YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
1 paket spaghetti - dicelur dan toskan.
2 keping isi dada ayam - dikisar dengan sedikit garam dan lada sulah
2 sudu besar mentega
3 sudu besar tepung gandum
1 biji bawang putih - dicincang
1 biji bawang holand sederhana besar - dicincang
1500 ml air
1 tin cendawan butang - dipotong nipis - Mak Hencik guna 7 biji cendawan butang segar
1/2 biji lada benggala ( capsicum) - dipotong dadu
1 tin besar tomato puri
1/2 cawan sos cili
1/2 cawan whipping cream
2 keping keju slice
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1/2 sudu kecil serbuk oregano
1/2 sudu kecil serbuk parsley
Garam dan gula secukupnya
Cara-cara menyediakannya
Jom jom jom.. Jom ke dapur
Langkah 1
Rebus spaghetti hingga lembut. Semasa merebus, masukkan dua sudu besar minyak zaitun. Rebus sehingga lembut.
Bila sudah masak, toskan airnya. Renjis sedikit minyak zaitun supaya ia tidak melekat antara satu dengan yang lain.
Langkah 2
Cincang bawang putih dan bawang holand. Ketepikan.
Langkah 3
Masukkan isi ayam yang dipotong dadu ke dalam pengisar. Masukkan sedikit garam dan lada sulah. Kisar sehingga lumat. Masukkan dalam mangkuk kecil. Ketepikan.
Isi ayam kisar ni kita boleh tukar dengan daging atau ayam kisar yang boleh dibeli di kedai atau pasaraya. Kadang-kadang Mak Hencik gunakan juga daging burger atau daging ayam burger. Hancurkan jer.
Rupa isi ayam yang dikisar halus.
Langkah 4
Panaskan kuali. Masukkan mentega.Bila cair sedikit, terus masukkan bawang putih dan bawang besar Holand. Kacau sehingga layu.
Langkah 5
Masukkan tepung gandum. Terus dikacau menggunakan whisk. Kacau sehingga tepung bertukar ke warna keperangan.
Langkah 6
Bila tepung sudah keperangan, masukkan isi ayam kisar tadi. Kacau rata sehingga isi ayam masak.
Langkah 7
Kemudian, masukkan tomato puri. Kacau lagi sehingga rata.
Langkah 8
Kemudian masukkan air secukupnya. Kacau lagi. Sambil sambil itu boleh masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian boleh biarkan seketika.
Sementara itu, hiris cendawan butang dan capsicum.
Langkah 9
Masukkan capsicum dan cendawan butang yang dihiris tadi. Kacau rata.
Sediakan serbuk oregano dan serbuk parsley.
Sediakan whipping cream.
Langkah 10
Masukkan serbuk oregano, parsley dan whipping cream. Oh jangan lupa pada cheese keping. Carik-carikkan cheese dan masukkan sekali ke dalam kuah. Kacau lagi biar semua bahan bergaul dan bermesraan sesama sendiri.
Selepas tu, bolehlah rasa kesedapan masakan sendiri.. huhu
Pasangan spaghetti dua sejoli,
Duduk bersanding di atas singgahsana;
Sudah siap hidangan kita hari ini,
Jemputlah makan, rasai kesedapannya..
Jemput makan semua kenkawan..
Bismillah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan