Rabu, 17 Januari 2018

Kerang rebus ketuk serai masakan sempoi

Sedapnya kerang ni. Dikopek dan dicicah dengan sos cili Thai atau sambal kicap pedas.



Masa aku mula-mula berkahwin dulu, harga sekilo kerang ialah rm2.50 sahaja. Kalau beli sekilo tak habis dimakan, jadi selalunya beli setengah kilo sahaja. 

Setelah usia perkahwinan meningkat, harga kerang pun turut sama meningkat. Dari rm2.50 naik ke harga rm4. Naik ke harga rm6, rm8 dan rm10. Yang terbaru harganya dah rm12 sekg. Begitulah berharganya kerang dewasa ini.

 
KERANG REBUS KETUK SERAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg kerang
1 biji bawang merah
1 sudu kecil lada hitam
1 batang serai - diketuk
1 liter air atau secukupnya
Garam secukup rasa

Cara-cara membuatnya

Jom jom kita ke dapur




Langkah 1
Bersihkan kerang, toskan airnya.



Bawang merah, serai dan lada hitam



Langkah 2
Tumbuk lada hitam. Bila sudah lumat, masukkan bawang merah. Tumbuk sampai lumat. Ketepikan.


Langkah 3
Di dalam periuk masukkan air, bahan tumbuk dan serai yang diketuk. Masukkan juga garam secukup rasa.

Buka api dan biarkan mendidih.


Langkah 4
Bila air sudah mendidih, masukkan kerang. Kacau rata. Kemudian tunggu air mendidih lagi sekali atau sehingga sebiji dua kerang terbuka. Bolehlah tutup api.


Beginilah rupa kerang rebus kita hari ini. Mak Hencik ambil sebiji dan cuba buka kulitnya. Yaaa.. terus terkopek bila dibuka dengan jari.

Jom bubuh dalam mangkuk. Jom ambil kicap pedas. Jom kopek. Jom makan. Jom.

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan