Udang goreng ringkas macam ni pun mudah. Yang penting sedap. 😋😋
Masyarakat Melayu bijak membaca apa yang terdapat di sekeliling mereka. Banyak nama diambil daripada alam sekitar. Sotong katak, pokok periuk kera, ubi badak, ubi itik dan banyak lagi.
Hari ini pula kita masak udang harimau. Sebab badan udang tu ada belang-belang kuning, macam harimau kot. Makanya dinamakan udang harimau..
UDANG GORENG RINGKAS
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
*20 ekor udang saiz sederhana - dibuang janggut dan dibersihkan
*1/2 sudu kecil garam
*1/2 sudu teh serbuk kunyit
Bahan bertanda * digaul sebati dan ketepikan
1 biji bawang merah besar - dimayang
1 biji bawang putih - dimayang
1 sudu besar sos tiram
1 biji lada hijau atau lada merah - dipotong serong
1 biji bawang holand - dihiris bulat
Sedikit bunga kobis - dipotong kecil
Sedikit brokoli - dipotong kecil
Sedikit karot - dipotong halus memanjang
Serbuk pati ikan bilis
Sedikit gula (optional)
Cara-cara menyediakannya
Jom jom jom
Udang harimau yang dipotong sedikit muncung dan janggut misainya dibersihkan, ditos dan digaul dengan kunyit serta garam secukupnya. Ketepikan.
Bunga kobis, brokoli, karot, lada merah dan bawang besar. Mak Hencik bubuh sayur yang mana ada dalam peti sejuk jer. Korang boleh bubuh sayur ikut kegemaran masing-masing. Tak nak bubuh sayur pun tak per jer.
Bawang putih dan bawang merah
Bawang putih dan bawang merah dihiris nipis
Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga kekuningan. Kacau rata supaya tidak hangus.
Kemudian masukkan udang. Kacau lagi. Badan udang akan bertukar ke warna merah.
Bila udang sudah separuh masak, masukkan sedikit gula (optional) dan serbuk pati ikan bilis atau yang sama waktu dengannya. Masukkan juga bawang besar dan sos tiram. Kacau sikit.
Masukkan pula sayur-sayuran yang ada.
Tutup sekejap dengan tudung periuk. Atau mana-mana tudung yang sesuai kecuali tudung saji atau tudung bawal dan yang seangkatan dengannya.
Buka tudung periuk dan kacau seketika. Kemudian bolehlah tutup api. Tengok tu.. Udang sedang berehat-rehat di dalam kuali.
Masukkan ke dalam pinggan hidangan. Kita sudah boleh menikmati juadah hari ini. Silakan makan semua.. Sila.. Sila..
Bismillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan