Cantik menawan. Lemak, manis, lembut dan gebu.. Rasa tertawan!
Semasa ke pasaraya untuk membeli barang basah tadi. Mak Hencik sudah menanam dalam kepala otak ni untuk membeli agar-agar serbuk. Tup Tup bila sampai di rumah baharulah Mak Hencik teringat. Apakan daya..
Oleh kerana hayat roti pun dah tinggal dua hari lagi, maka projek buat puding roti viral bertukar dengan kreatifnya menjadi puding roti jeli kristal. Tapi caranya jadi lebih mudah. Rasanya pun sedap. Lebih- lebih lagi jika dimakan sejuk. Sedap. Cubalah.
PUDING ROTI JELI KRISTAL
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
12 keping roti sandwich, dicarik atau dipotong kiub
1 tin susu cair atau susu sejat
1/2 tin susu pekat manis
2 sudu besar mentega, dicairkan
3 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
Sedikit kismis
Sedikit badam hiris atau kekacang pilihan lain
1 bungkus jeli kristal perisa strawberi atau perisa lain yang digemari
Cara-cara membuatnya
Jom.. Jom kita memuding hari ni.
Roti keping dicarik-carik. Tapi hari ni Mak Hencik rajin sikit, Jadi Mak Hencik potong kiub.
Mak Hencik gunakan kismis hitam dan badam hiris.
Telur 3 biji
Langkah 1
Di dalam bekas yang sesuai, masukkan susu cair, susu pekat, mentega cair, telur dan esen vanilla. Kacau sehingga rata dan sebati menggunakan whisk. Kita nama kan bancuhan ni sebagai bancuhan telur ya.
Tip: untuk kurangkan hanyir telur, buang benda yang bertali dalam telur tu dulu sebelum digunakan.
Langkah 2
Sediakan acuan atau loyang yang sesuai. Sapu dengan minyak masak atau mentega.
Langkah 3
Tabur separuh daripada roti yang dicarik atau dipotong kiub tadi ke dalam loyang. Ratakan.
Lepas tu taburkan pula separuh kismis dan badam hiris.
Kemudian tuang separuh daripada bancuhan telur ke atas roti yang ditabur kismis dan badam hiris.
Langkah 4
Ulangi langkah 3 untuk lapisan kedua.
Tabur dan ratakan roti.
Tabur pula kismis dan badam hiris ke atas roti tadi.
Tuang bancuhan telur ke atasnya.
Langkah 5
Lepas tuang bancuhan telur, tekan-tekan sikit roti dengan sudu supaya roti tenggelam dalam bancuhan telur.
Langkah 6
Masukkan loyang ke dalam pengukus dan kukus selama 20 minit.
Langkah 7
Bila puding roti sudah masak, kita keluarkan dari pengukus dan sejuk kan sebentar.
Sementara itu kita sediakan jeli kristal.
Caranya ialah ikut sahaja cara-cara yang tercatat di kotak tu. 😁😁😁
Langkah 8
Panaskan 2 cawan air dan masukkan serbuk jeli dan serbuk gula.
Kacau sehingga hancur.
Langkah 9
Bila sudah hancur, tuang bancuhan jeli ke atas puding roti yang disejukkan tadi dengan cermat.
Ini dia hasilnya.
Bila dah sejuk sikit, masukkan ke dalam peti sejuk.
Bila puding roti sudah sejuk, jeli pun sudah beku, maka bolehlah dipotong.
Haaa.. Ambillah dua ketul untuk dirasa.
Jemput makan kawan-kawan.
Bismillah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan