Ahad, 22 September 2019

Kek Minyak

Lembut, gebu, lembab dan sedap!


Tertawan hati melihat wajahnya. Badan pun nampak gebu di sebalik make up warna-warni bak pelangi. Aduhhh! Tak keruan bila dia lalu-lalang di depan mata. 😍😍😍



Banyak kali tengok kawan Facebook, Siti Fatimah post kek minyak untuk tempahan. Rasa sangat nak tempah dan memberi sokongan kepada perniagaannya, tetapi apakan daya dia duduk jauh sangat kat utara tanah air. Hu hu hu

Bila dah teliur tengok kek minyak Timah ni, maka Mak Hencik pun carilah resepinya di internet. Terima kasih Timah.. Jadi sumber isnpirasi untuk masak kek ni. Dan inilah hasilnya hari ini.



KEK MINYAK
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Kemma81 di MyResepi

Bahan-bahan

*2 cawan tepung gandum
*1 sudu kecil baking powder
Bahan beranda * diayak
(Mak Hencik guna tepung naik sendiri dan tak perlu campur serta ayak dengan baking powder)

5 biji telur gred B
3/4 cawan gula halus
1 cawan susu pekat manis, boleh kurang kan sikit kalau tak suka manis.
1 cawan minyak
1 sudu besar ovallete
1 sudu kecil esen vanilla
Beberapa titis perisa pisang
Beberapa pewarna pilihan

Cara-cara menyediakannya.

Jom kita membuat kek hari ni..



Sediakan acuan pilihan saiz 8"X8". Oleskan dasar dan tepi loyang dengan minyak.
Alaskan dasarnya dengan baking paper.



Di dalam mangkuk adunan, putar gula, ovallete dan telur sehingga kembang dan gebu.



Masukkan susu pekat manis dan esen vanilla. Putar sehingga sebati.



Masukkan minyak masak dan beberapa titis esen pisang. Putar lagi sehingga sebati.



Masukkan tepung gandum yang telah diayak atau tepung naik sendiri sedikit demi sedikit dan dikaup-balik menggunakan sudip kayu.



Kaup-balik sehingga sebati.



Bahagian adunan tepung kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut warna pilihan.

Masa ni dah boleh panaskan oven pada suhu 180°C selama 15 minit.



Ambil loyang yang telah dialas dengan baking paper tadi dan tuangkan adunan tepung berwarna sesenduk demi sesenduk.

Contohnya masukkan satu senduk warna pink di tengah loyang. Tuangkan satu senduk warna biru di atas warna pink. Ambil warna lain pula dan tuang tindan ke atas warna biru. Ulang langkah tersebut sehingga semua adunan habis.



Lorekkan adunan dalam loyang. Kalau tak lorek pun tak apa. Ikut suka lah..



Akhir sekali bakar dalam oven yang terlebih dahulu telah di panaskan tadi pada suhu 180C selama 1 jam.

Tips: sekiranya kek belum masak tetapi bahagian atasnya kelihatan hangus, letakkan atas kek sekeping aluminium foil dan terus bakar dalam oven.



Apabila kek sudah masak, keluarkan dari oven dan cucuk di tengah kek dengan lidi. Apabila lidi licin, tandanya kek sudah masak.

Sekiranya lidi masih diselaputi oleh adunan tepung, masukkan semula kek ke dalam oven dan tambah masa membakar.



Kek yang telah masak dikeluarkan dari loyang dan disejukkan sebentar di atas redai sebelum dipindahkan ke dalam pinggan.



Potong sekeping. Hurm.. Nampak elok dan gebu.

Jom rasa kawan-kawan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan