Khamis, 5 September 2019

Nasi Dagang Terengganu

Makanan yang dicari apabila pergi ke Terengganu.. Nasi Dagang.. Gulai ikan tongkol.. Berair mulut terr...!



Apabila memasak nasi dagang, Mak Hencik akan masak gulai dahulu diikuti dengan memasak nasi dagang. Ada orang masak nasi dagang dulu. Eh suka hati kita lah nak buat yang mana dulu kan. πŸ˜†πŸ˜†πŸ˜†

Nasi dagang Terengganu ni kita gunakan beras wangi. Tak perlu campur dengan beras pulut.

Kalau kita guna beras pulut, kita mesti icampur dengan beras biasa, mesti dicampur dengan nisbah 1:3, iaitu 1 cawan beras pulut dicampur dengan 3 cawan beras biasa.

Terpulanglah kepada kita nak guna beras apa. Sebab yang nak makan tu kita. Hahahahaha.. 

NASI DAGANG TERENGGANU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan beras wangi, dibasuh bersih dan direndam sekurang-kurangnya 3 jam. Biasanya Mak Hencik rendam semalaman.
1 cawan santan sederhana pekat
3 ulas bawang putih, dihiris nipis
1 biji bawang merah besar, dihiris nipis
4 hiris halia - dipotong halus memanjang
1 sudu besar halba
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya.



Basuh bersih beras wangi dan rendam sekurang-kurangnya 3 jam. Biasanya Mak Hencik akan rendam semalaman. Kalau esok nak masak nasi dagang, malam ni Mak Hencik akan rendam beras wangi.



Beras wangi ditos dan dimasukkan ke dalam loyang atau bekas yang sesuai dan tutup pengukus.



Kukus selama 40 minit.



Sementara itu, kita sediakan bawang putih hiris, bawang merah besar hiris, halia hiris halus memanjang dan halba. Campur dalam satu bekas dan gaul sebati. Bahagi pula kepada dua bahagian.

Satu bekas untuk digaul bersama nasi nanti dan satu bekas lagi untuk ditabur di atasnya.



Secawan santan sederhana pekat diperasakan dengan garam dan gula. Biar ada rasa masin dan sedikit manis.



Apabila sudah cukup 40 minit, tutup suis pengukus elektrik dan masukkan nasi yang separuh masak ke dalam mangkuk adunan.



Ambil santan yang telah diperasa tadi dan tuang sedikit demi sedikit ke dalam bekas adunan nasi diselang-seli dengan campuran bawang, halia dan halba.



Gaul sebati menggunakan sudip kayu. Gaul dengan hati-hati supaya biji nasi tidak patah.



Akhir sekali, masukkan semula nasi yang telah diarung dengan santan tadi ke dalam loyang. Tabur diatasnya dengan campuran hirisan bawang, halia dan halba.



Tutup pengukus dan kukus sehingga masak, lebih kurang 40 minit.

Lepas tu kita masak gulai pula. Jom masak gulai ikan tongkol.

GULAI IKAN TONGKOL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 ketul ikan tongkol, direbus
2 biji bawang putih, dihiris halus
1 biji bawang merah besar, dihiris halus
1/2 inci halia, dimayang
1 sudu besar cili kering kisar
4 sudu besar rempah gulai nasi dagang, dicampur dengan sedikit air
1 sudu besar rempah gulai masak
1 cawan santan pekat
2 cawan air atau secukupnya
1 sudu kecil kerisik
Sedikit air asam jawa
Segenggam cili akar
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya



Ikan tongkol direbus bersama air, asam keping dan garam secukup rasa. Sesudah masak, toskan air rebusan.



Rempah gulai nasi dagang yang terkenal di Terengganu. Ada dua jenis iaitu rempah gulai dan rempah masak.



4 sudu besar rempah gulai dicampur dengan sedikit air.



Bawang putih, bawang merah dan halia yang dihiris untuk menumis serta cili akar untuk di masukkan di akhir masakan. 



Langkah 1
Panaskan minyak masak dan tumis bahan hiris sehingga kekuningan bersama 1 sudu besar cili kering kisar. 

Kacau rata sehingga cili kering masak dan bahan tumis layu. 



Langkah 2
Kemudian, masukkan bancuhan rempah gulai. Kacau sehingga rata dan naik minyak.



Langkah 3
Masukkan pula santan pekat dan air secukupnya. Kacau lagi dan tunggu sehingga kuah mendidih.



Langkah 4
Bila kuah sudah mendidih, masukkan pula air asam jawa.



Langkah 5
Masukkan ikan tongkol yang telah ditoskan airnya tadi. Perasakan dengan garam dan gula.



Langkah 6
Kacau lagi sehingga kuah mendidih dan masukkan satu sudu besar rempah masak tadi. 

Bila kuah sudah hampir pekat, masukkan 1 sudu kecil kerisik. 

Akhir sekali masukkan segenggam cili akar. Kacau sekali sekali dan biarkan kuah menjadi pekat.



Langkah 7
Bila kuah sudah pekat, rasa pun sudah sedap maka bolehlah tutup api.

Jadi, siaplah menu kita hari ini. Nasi dagang dan gulai ikan tongkol. Nak lagi terangkat, buatkan acar timun.

Pak Seman pergi berdagang,
Balik berdagang urat berketul;
Jom kita semua makan nasi dagang,
Dengan lauk gulai ikan tongkol.

πŸ˜‹πŸ˜‹πŸ˜‹πŸ˜‹πŸ˜‹

Bismillah..

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum. Tumpang kongsi resepi ini ye.

    BalasPadam
  2. Terima kasih share resepi. 1st time buat dan menjadi sangat2. Semoga Allah murahkan rezeki Cik Cempaka sekeluarga...

    BalasPadam