Jumaat, 6 September 2019

Nasi Goreng Pattaya

Dah puas makan nasi berlauk, kita tukar menu. Kita masak nasi goreng pula. Tengahari ni kita masak nasi goreng pattaya. Sedappp...


Teka-teki.. Sila jawab ya.

Nasi apa boleh bergerak?

Alahhh..soalan senang pun kena jawab ke..? Mestila nasi goreng pattaya (pattaya = empat tayar)
😂😂😂


NASI GORENG PATTAYA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Nasi Goreng

2 cawan nasi
2 biji bawang putih, diketuk
1 sudu besar cili kering kisar
1 ketul isi ayam, dipotong halus
1/2 batang karot, disagat
Lada merah, dihiris serong
2 sudu besar minyak masak

Cara-cara membuatnya


1. Panaskan minyak masak. Tumiskan bawang putih ketuk dan cili kering kisar sehingga naik bau.

2. Masukkan isi ayam dan gaul rata sehingga isi ayam masak.

3. Masukkan karot yang disagat dan lada merah hiris. Kacau seketika.

4. Masukkan pula nasi putih. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. Gaul sehingga rata.

5. Dah sedap secukup rasa bolehlah tutup api.

Cara buat telur dadar nipis.

1 biji telur
Sedikit minyak masak
Kuali non stick


1. Panaskan kuali dan lengserkan minyak masak.

2. Pecahkan sebiji telur di dalam mangkuk dan pukul sedikit menggunakan sudu.


3. Bila kuali sudah panas, tuang telur yang dipukul tadi di bahagian tengah dahulu. Angkat dan gerakkan kuali sehingga telur memenuhi kuali. Bila sudah masak, angkat dan masukkan ke dalam pinggan.


4. Masukkan nasi goreng dalam bekas yang sesuai. Tekan sehingga rapat.


5. Letakkan nasi di atas telur dadar nipis.


6. Lipat telur membungkus nasi goreng.


7.  Ambil pinggan dan telungkupkan di atas nasi berbungkus telur tadi. (ni cara orang amatur macam Mak Hencik 😂😂😂


8. Terbalikkan pinggan. Hasilnya 👆👆


9. Akhir sekali hias dengan sos cili.


Tiga pinggan untuk 3 anak yang akan balik dari sekolah tengahari nanti.

Nasi goreng pattaya hidangan tengahari,
Jemputlah makan, tunggu apa lagi..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan