Isnin, 6 April 2020

Resepi Nasi Bujang Ringkas Tapi Sedap

Hanya ada nasi putih, kuah sup daging, telur dadar,  seeping timun dan sambal belacan. Perghhh.. Sedap rupanya.



Harga yang biasa orang jual ialah Rm2. 50 sen sebungkus. Budak-budak asrama ramai yang beli. Kalau ikutkan lauk asrama tu gred A, tapi itulah.. Nak jugak makan kat luar. Nak jugak makan nasi bujang ni.. Sedap bak hang, kata depa.. 😂 😂


Mula-mula kita masak nasi dulu.

Bahan-bahan  Nasi

3 cawan beras
3 1/2 cawan air, air ni ikut beras korang ya..

Masak macam biasa jer. Kalau nak bagi wangi, boleh letak dua atau tiga helai daun pandan. Kalau tak letak pun tak per.

Cara masak sup bujang



Bahan-bahan  Sup Bujang

1 genggam daging tetel
1 liter air
2 biji bawang putih - dihiris
2 biji bawang merah kecil - dihiris
1 inci halia - diketuk
1/2 sudu kecil lada hitam - tumbuk halus

1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Garam, gula dan serbuk perasa
Sedikit minyak untuk menumis

Hirisan daun sup - hiasan
Bawang goreng - hiasan

Cara-cara membuatnya

1. Rebus daging tetel dengan 1 liter air dan halia yang diketuk. Biarkan daging empuk. Tambah air jika perlu.

2. Dalam kuali, panaskan minyak masak. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.

3. Masukkan pula bawang putih dan bawang merah. Kacau sehingga keperangan.

4. Bila sudah kekuningan terus tutup api.

5. Masukkan bahan tumis beserta minyak ke dalam air rebusan daging.

6. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. Biarkan sehingga ia mendidih.

7. Bila daging sudah empuk, rasa pun sudah sedap bolehlah kita matikan api.

8. Tabur kan daun sup hiris dan bawang goreng. Siap.

Jom goreng telur dadar pula.



Telur Dadar Bujang

Bahan-bahan

1 biji telur
1 sudu kecil lada kering kisar
1 hiris bawang besar Holland
Sedikit garam
Mintak masak untuk menggoreng secukupnya.

Cara-cara menyediakannya

1. Pecahkan sebiji telur ke dalam sebuah mangkuk. Masukkan 1 sudu kecil cili kering kisar, sehiris bawang besar Holland dan sedikit garam secukup rasa. Godek guna whisk.

2. Panaskan minyak. Pastikan minyak betul-betul panas baharulah di masukkan telur yang digodek tadi.

3. Cara masukkan telur ialah tuang dari bawah kemudian naikkan ke atas.

4. Bila sudah garing bahagian bawah, balikkan telur supaya masak sekata..

5. Sudah masak, angkat.

6. Goreng pula telur dadar yang kedua, ketiga, keempat dan ulangi proses sehingga habis.

Cara buat sambal belacan.


Resepi Sambal Belacan Bujang

Bahan-bahan

20 tangkai cili padi
1/2 biji tomato - di potong dadu
2 inci belacan
1 sudu besar jus limau nipis
Sangat sedikit air
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya

Kisar jer semua bahan di atas sehingga hancur lumat.

Masukkan ke dalam mangkuk hidang.

Cara hidangan


Nak bagi sedap, better bungkus nasi dengan daun pisang.

Bubuh nasi, bubuh telur dadar bubuh sambal belacan.

Kalau ada timun, bubuh sekali. Lepas tu bungkus kemas-kemas.


Ni 6 bungkus untuk 6 ahli.


Oleh kerana kami makan kat rumah, sup tu kami bubuh dalam mangkuk besar. Kalau jual pastilah sup dibungkus asing, kan. 😁😁😁

Jemput makan semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan