Rabu, 22 April 2020

Tepung Boko Ubi Kayu Hijau

Sedap. Lemak dan manis!

Ada satu lagi bungkusan ubi kayu parut frozen yang Mak Hencik simpan hari tu. Inilah masa yang sesuai untuk dibuat kuih.

Pasalnya budak-budak ni nampaknya nak makan desert. Sambil-sambil dok tengok TV tu, diorang dok mengangkut makan kat depan TV.

Lagi pula, kalau buat kuih tradisional ni, Pak Hencik lah yang paling suka. 😁😁😁


RESEPI TEPUNG BOKO HIJAU UBI KAYU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Lapisan hijau

3 cawan ubi kayu parut
3 cawan air - kalau tak cukup boleh tambah sikit-sikit
1 cawan gula - tak nak manis, boleh kurangkan
1 sudu kecil pewarna hijau
1/2 sudu kecil garam

Lapisan santan

1 cawan santan pekat (Mak Hencik guna santan kotak kecil)
3 cawan air
1 sudu kecil garam
4 sudu besar tepung beras dibancuh dengan 1/2 cawan air

Cara-cara membuatnya.

Kita buat lapisan hijau dahulu.


Di dalam kuali, masukkan semua bahan seperti ubi kayu, air, pewarna hijau, gula dan sedikit garam. Kacau sehingga rata.


Buka api dapur dan kacau perlahan sehingga warna hijau bertukar ke warna jernih.

Dalam masa dok mengacau tu, jika ubi belum bertukar ke warna jernih, boleh juga kalau nak tambah air sikit.


Bila warna dah bertukar ke warna jernih macam dalam gambar, bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam bekas kecil 1/2 penuh.

Boleh juga jika nak masukkan ke dalam mangkuk hidang. Bila nak makan tinggal cedok ke dalam piring.

Kalau guna bekas kecil tu pula, bila nak makan tinggal ambil sudu dan sudukan ke mulut sahaja.

Dah siap masukkan ke dalam bekas, siaplah buat lapisan hijau.

Jom kita buat lapisan santan pula.


Mula-mula sediakan bancuhan tepung beras. 4 sudu besar tepung beras di bancuh dengan 1/2 cawan air. Ketepikan.


Di dalam kuali, masukkan 1 cawan santan pekat dan 3 cawan air beserta sedikit garam.

Kacau menggunakan whisk sehingga menggelegak.


Bila sudah menggelegak, masukkan bancuhan tepung beras tadi. Biarkan ia pekat sambil dikacau selalu.


Biarkan santan meletup-letup. Kemudian bolehlah tutup api.


Selepas itu bolehlah kita ruang santan pekat ke atas lapisan hijau tadi.


Dapatlah lebih kurang 20 ke 21 bekas.


Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk. Kuih ni sedap dimakan sejuk.


Jemput makan sahabat semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan