Bau daun pandan yang wangi membangkitkan rasa lapar di pagi hari.
Walaupun hanya sekadar lempeng biasa, tapi bersyukurlah. Ini sahaja lah rezeki yang ada untuk kita nikmati pada pagi yang indah ini.
Lempeng pandan ini kita padankan dengan kuah kari jimat-cermat. Kenapa ya dipanggil kari jimat-cermat? 😀😀😀
Bertemankan lempeng pandan dan kari jimat-cermat ini pula ialah secawan teh O suam, melengkapkan lagi hidangan pagi pada hari yang bermakna ini.
Semoga Perintah Kawalan Pergerakan ini akan berakhir dengan segera.. Aamiin ya Rab.
RESEPI LEMPENG PANDAN
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air daun pandan
1 biji telur
2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil pewarna hijau
Sedikit minyak masak atau mentega untuk dilengser pada kuali
Cara-cara menyediakannya. Semudah ABC!
Sediakan air daun pandan. Caranya ialah kita ambil 5 helai daun pandan, potong kasar dan kisar bersama 2 setengah cawan air.
Lepas tu kita tapiskan dia. Ketepikan.
Sediakan sebuah bekas. Masukkan air daun pandan tadi, 2 cawan tepung gandum, pecahkan sebiji telur, masukkan 2 sudu besar minyak masak, 1 sudu besar gula dan 1 sudu kecil garam. Gaul sebati.
Nak bagi cantik, masukkan 1/2 sudu kecil pewarna hijau.
Kacau lagi sehingga tidak ada tepung yang berbintil.
Sediakan minyak masak atau mentega untuk dilengser pada kuali leper.
Panaskan kuali leper. Lengserkan dengan minyak masak atau mentega.
Ambil 1 senduk bancuhan lempeng dan masukkan ke dalam pan leper.
Pegang tangkai kuali dan pusingkan supaya bancuhan tepung mengalir ke serata pan.
Tunggu sehingga lempeng bertukar warna sepenuhnya seperti di atas☝️.
Kemudian, balikkan dia.
Tunggu lagi sehingga lapisan bertukar ke warna perang-perang sikit, barulah boleh diangkat.
Masukkan ke dalam pinggan.
Buatlah sampai habis.
Kemudian kita buat kuahnya pula. Walaupun kuah kari ni hasil jimat-cermat, tetapi rasanya sedap juga sebab kita bubuh serbuk cukup rasa Maggi. Jangan kata Mak Hencik tak payung!! 😀😀
Jom teruskan.
KARI DAGING JIMAT-CERMAT
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
3 ketul kecil daging lembu (sebab tu lah namanya jimat cermat, guna 3 ketul jek 😀😀😀)
1 biji bawang putih
3 biji bawang merah kecil
1/2 inci halia
1 biji lada besar hijau - dipotong serong
3 cawan air
3 sudu besar serbuk tempah kari daging - dibancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu kecil serbuk cukup rasa maggi
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
(garam, gula bubuh secukup rasa)
1 biji ubi kentang dipotong dadu
1 tangkai daun kari
Sedikit air asam jawa
Cara-cara membuatnya.
Daging dibasuh bersih. Ambil 3 ketul jer. Daging yang selebihnya tu nak dibuat lauk untuk tengahari nanti.
Bukan apa.. Musim ni kena hadkan nak keluar ke pasaraya. Kadang-kadang daging habis pun ada juga.
Kentang dipotong dadu.
Tumbuk bawang putih dan halia, diikuti oleh bawang merah sehingga hancur.
Sediakan 3 sudu besar serbuk rempah kari daging yang dibancuh dengan 1/2 cawan air.
Sediakan air asam jawa secukupnya.
Cara memasak.
Panaskan 3 sudu besar minyak dan tumiskan bahan tumbuk bersama lada besar yang di potong serong.
Tumis sehingga layu dan berwarna kekuningan.
Lepas tu masukkan bancuhan rempah kari. Kacau sehingga kering.
Apabila telah kering, masukkan daging dan kentang yang dipotong dadu.
Masukkan daun kari dan air asam jawa secukupnya.
Kacau sehingga sebati dan rata.
Masukkan pula 2 cawan air.
Masukkan pula bahan perasa sesedap rasa. Kalau tak salah, Mak Hencik bubuh 1 sudu kecil garam, 1 sudu kecil serbuk perasa Maggi dan 1 sudu besar gula.
Biarkan kuah mereneh dan menjadi pekat sedikit.
Bila kuah sudah pekat, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api.
Bolehlah dihidangkan bersama lempeng pandan.
Sedia untuk dinikmati.
Bismillah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan