Sabtu, 31 Mac 2018

Bihun Goreng Kicap yang Mudah dan Sedap

Hari ni rasa malas pula nak keluar untuk bersarapan di luar. Suami pun sama. "Saya goreng bihunlah pagi ni. Nak tak?"
"Boleh."


Pernah dulu Mak Hencik beli bihun, bila digoreng jadi lembik. Ingatkan salah masak. Kali yang lain goreng bihun yang sama, jadi lembek juga. Nak nangis rasa.

Selidik punya selidik rupa-rupanya bihun dari beras wangi. 😭😭


RESEPI BIHUN GORENG KICAP YANG MUDAH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 1/2 keping bihun
1 ketul ayam - dipotong kecil
2 ulas bawang putih - diketuk
2 sudu besar cili kering kisar
1 biji lada hijau - dipotong serong
Sedikit kubis - dipotong halus memanjang
Sedikit karot - dipotong halus panjang 2 inci
2 cawan air
2 sudu besar gula, jika suka
1 sudu kecil garam atau secukupnya
1 sudu kecil serbuk ikan bilis
Kicap secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Jom jom kita memasak


Sediakan bawang putih ketuk, ayam yang dipotong halus, cili kering kisar dan lada hijau yang dipotong serong.

Nangis orang kulinari kalau tengok ni. Mana boleh letak sekali bahan basah dan bawang lada.. boleh berlaku pencemaran silang ni.. 😭😭😭 Ampuni daku..


Karot dan kubis yang telah dihiris

 

Bihun direndam sekejap dalam air supaya lembut kemudian toskan air.


Langkah 1
Panaskan minyak. Tumis bawang putih yang diketuk bersama cili kering kisar.


Langkah 2
Apabila bahan tumisan sudah hampir garing, masukkan isi ayam. Kacau sehingga rata, sehingga isi ayam masak.


Langkah 3
Kemudian masukkan air. Jumlah air ni terpulang kepada banyak mana bihun dan juga jenis bihun. Kadang-kadang bihunnya jenis lembut, jadi bubuh sikit jer laa air. Ikut ragam bihunlah senang cerita.

Masa ni, kita boleh masukkan garam, gula dan serbuk ikan bilis.

Mak Hencik masukkan bihun tu apabila air mendidih. Kemudian kacau sehingga rata.


Langkah 4
Masukkan pula sayur-sayuran seperti kubis dan karot. Lada hijau juga.


Gaul sehingga rata. Kalau ikutkan Mak Hencik tak suka sangat bihun kicap. Suka yang macam ni πŸ‘†πŸ‘†jer. Tapi anak-anak suka yang ada kicap.


Langkah 5
Jadi, kita renjislah sedikit kicap. Biar ada warna gelap sikit. Kalau banyak sangat nanti jadi bihun warga aprika pula. πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚
Selepas itu kita gaul.. gaul.. gaul.. sehingga rata.


Dah masak, dah sedap rasa dia.. bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam pinggan hidangan dan taburkan sedikit daun sup yang telah dihiris serta bawang goreng.


Jom sarapan kawan-kawan.. bihun dengan keropok keping dan air teh. Kawan  Mak Hencik dari Indonesia panggil teh susu. Kalau air teh tu maksud air teh O. Ooo.. gitu dehhh..

Bismillah..

Khamis, 29 Mac 2018

Sup Tulang yang Mudah dan Sedap

Malam tadi sudah rebus tulang lembu dalam periuk nasi elektrik. Esoknya nanti balik kerja terus boleh masak sup. Nak keluarkan pressure cooker dari stor pun malas. Tu pasalla guna periuk nasi elektrik.

Pagi tadi semasa bersiap untuk pergi bekerja, sempat panaskan rebusan tulang tu. Bukan apa.. takut basi..

Balik dari kerja tadi, anak-anak dah mengadu lapar. Biasa sempat masak dulu sebelum pergi bekerja, tapi tadi ada kursus pula yang perlu dihadiri, kenala keluar awal dari rumah.


RESEPI SUP TULANG YANG MUDAH DAN SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

*1/2 kg tulang lembu
*1 liter air atau secukupnya
*3 biji bawang putih - diketuk
*1 inci halia - diketuk
Semua bahan bertanda * direbus sehingga daging empuk.

**3 biji bawang putih - dihiris
**1 biji bawang merah besar - dihiris
**1 kuntum bunga lawang
**3 biji buah pelaga
**3 tangkai bunga cengkih
**2 inci kulit kayu manis
**1 sudu kecil lada hitam
Sedikit minyak untuk menumis
Semua bahan bertanda ** ditumis

1 biji tomato - dibelah 4
3 tangkai daun sup - dihiris kasar
3 sudu besar rempah serbuk sup
1/2 biji bawang besar
2 biji cili padi - nak pedas, lebihkan
1 sudu besar jus limau nipis
Garam dan serbuk perasa secukupnya
Sedikit daun sup dan daun bawang serta bawang goreng sebagai hiasan

Cara-cara menyediakannya

Jom kita memasak


Rebus dulu tulang lembu di dalam periuk nasi elektrik. Bila sudah empuk, pindahkan tulang dan air rebusan daging dari periuk nasi elektrik ke dalam kuali atau periuk. Buang dulu ler lemak tu ya. Nanti tersumbat pula salur darah kita.. huhu

Kalau nak masak terus dalam periuk nasi elektrik pun boleh. Mak Hencik sebenarnya nak masak nasi guna rice cooker tu. πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚


Buka api. Biar sampai mendidih.


Masukkan tomato, daun sup, garam dan serbuk perasa. Biarkan dia mereneh.


Sediakan bahan untuk menumis dan rempah sup serbuk.


Di dalam kuali, panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan, iaitu bunga lawang, kulit kayu manis, bunga cengkih dan buah pelaga. Lada hitam pun masuk sekali. Lepas tu masukkan bawang putih dan bawang merah. Goreng sehingga kekuningan. Kemudian tutup api.


Masukkan bahan tumis yang ditoskan minyak ke dalam kuah sup yang sedang mendidih.


Masukkan pula rempah sup serbuk ke dalam kuah.


Masukkan juga jus limau nipis.


Akhir sekali masukkan bawang besar. Biarkan sekejap kemudian tutup api.


Bolehlah masukkan ke dalam mangkuk hidangan.


Beginilah hidangan ringkas Mak Hencik untuk dinikmati enam ahli keluarga kami. Jemput makan..

Bismillah..

Rabu, 28 Mac 2018

Pengat Pisang Durian yang Lemak berkrim dan Sedap

Sedapnya makan pengat pisang 🍌🍌🍌 yang dicampur dengan durian ni.. makan pula selepas disejukkan dalam peti ais. Nyaman.. 🌼🌼🌼


RESEPI PENGAT PISANG DURIAN LEMAK BERKRIM
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

6 biji pisang - dipotong serong
10 ulas durian atau secukupnya
4 cawan santan
1 cawan susu sejat
1/3 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
Gula melaka secukupnya


Pisang lebihan goreng petang tadi ada enam biji. Ni pisang apa ya? Pisang ni jiran yang bagi. Katanya boleh dimakan begitu sahaja dan boleh juga digoreng. Tadi sudah goreng, sekarang mari kita cuba buat pengat pula.


Pisang dipotong serong. Satu biji dapat empat keping. Mmm.. banyak pula dapat pisang ni.


Durian ni suami beli di pasar malam. Katanya durian dari Muar. Harga adalah berpatutan, RM36 dapat 6 biji.

Cara-cara menyediakannya


Langkah 1
Dalam periuk, masukkan santan, susu cair, gula melaka, gula dan garam. Masukkan juga isi durian. Buka api dan kacau sekali-sekala.


Langkah 2
Masukkan pisang. Kacau lagi dan tunggu sehingga kuah mendidih.


Langkah 3
Bila sudah mendidih, isi durian pun sudah bercerai dengan isinya, bolehlah tutup api.

Bolehlah dihidangkan. Jemput makan..

Bismillah..

Ya ampunnn sedapnya pisang ni. Lemak dan manis asli buah pisang. Pisang apa ni ya. Boleh cari benih dan tanam ni.


Yang ini pula kita simpan dalam peti sejuk untuk bekalan mulut di hari esok. πŸ˜€πŸ˜€πŸ˜€

Isnin, 26 Mac 2018

Ikan Cencaru Bakar Perisa Tom Yam

Segar dan besar. Geram tengok. Elok betul rupa bentuk ikan cencaru yang suami beli. Sedap dimasak apa agaknya.

Pi mai pi mai dok pikiaq nak masa apa, timbullah idea ini. Terima kasih wahai Allah. Mudah sangat caranya. Cepat pula boleh melantak. Amboii kasaq no bahasa diri ku ini. πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚


RESEPI IKAN CENCARU BAKAR PERISA TOM YAM
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ekor ikan cencaru saiz besar
*2 sudu besar paste tom yam
*1 sudu kecil garam
*1 batang serai dihiris halus
Bahan bertanda * dicampur gaul dan disapu pada ikan.
3 helai daun limau purut - dihiris halus
Daun pisang secukupnya
Aluminium foil secukupnya

Cara-cara menyediakannya


Langkah 1
Ikan cencaru disiang belah belakang dan dibersihkan. Serai hiris, garam dan paste tom yam digaul.


Langkah 2
Lumur atau sapu paste tom yam ke atas ikan di bahagian luar dan dalam.


Ikan cencaru yang sudah disapu rata.


Langkah 3
Hiriskan daun limau purut dan tabur di atas daun pisang yang dialas dengan aluminium foil.


Letakkan ikan di atasnya, dan balut dengan aluminium foil.


Langkah 4
Bolehlah kita bakar ikan cencaru kita tu. Mak Hencik panggang dia atas kuali leper jer ler. Dah itu jer yang hadow.. huhuhu

Balikkan ikan bila sudah masak supaya kedua belah isi ikan masak sekata.

Bila ikan dan masak, bolehlah tutup api.


Ikan bakar ni mesti ada pencicahnya. Nak cicah dengan apa ya? Air asam boleh, sambal lada boleh, sambal kicap pun boleh.
Korang nak cicah dengan apa? Mak Hencik pilih sambal kicap.. πŸ‘…πŸ’¦πŸ’¦πŸ’¦

Bismillah..

Ahad, 25 Mac 2018

Bubur Kacang Hijau Ais Krim Durian yang Sedap

Ada makanan manis tak? Rasa macam nak makan bubur kacang pula. Kalau ada bubur kacang ni sedap ni.. ngomel si dia petang tadi.


Aku pun pergilah ke dapur, buka pintu kabinet cari balang berisi kacang hijau. Kot-kot ada. Ooo ada ni sepaket kecil. Santan pun ada. Jadi boleh on lah buat bubur kacang.


BUBUR KACANG HIJAU AISKRIM DURIAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

200g kacang hijau
1 cawan santan pekat
2 cawan air atau secukupnya
1 cawan susu sejat
2 kerek manisan saiz kecil - kalau tiada, ganti dengan gula melaka
1/3 cawan gula atau secukupnya
1/2 sudu kecil garam
1 batang ais krim durian - kalau ada banyak, bubuhlah banyak.
Sehelai daun pandan disimpul

Cara-cara membuatnya


Kacang hijau dibasuh bersih.


Godek ais krim dalam peti sejuk, ada sebatang jer. Beberapa hari lepas beli ais  krim beberapa batang untuk bebetapa jenis. Nak perisa durian lima batang  tapi dapat satu jer. Dah habis, kata abang Bangla jual ais krim motor.


Pergi jenguk ke luar pintu dapur, nak ambil sehelai dua daun pandan. Tapi nampaknya tak ada rezeki kita.. togel daunnya diragut encik moooooo..


Bubuh kacang hijau di dalam periuk, masukkan air secukupnya dan tutup periuk. Buka api dan rebus kacang hijau tersebut sehingga empuk.


Sesudah empuk, masukkan santan pekat, air, susu cair, garam, manisan kerek dan gula. Masukkan daun pandan jika ada.


Masukkan juga ais krim durian. Bubuh sebatang ni tak ada rasa mana. So, uols boleh bubuh secukupnya.


Biarkan bubur mendidih seketika sambil dikacau. Apabila sudah masak, boleh tutup api.


Jom menjamu selera.. jemput kawan-kawan..

Bismillah