Pau goreng yang sangat mudah dibuat, mudah dimakan dan mudah habis! Habis cerita.. 😃😃😃
Biasa di kampung, kami panggil benda alah 👆👆 roti goreng. Bila berpindah ke sini, barulah kami tahu namanya tak sama. Orang belah sini memanggilnya dengan nama panggilan pau goreng. Ada yang panggil nama lain tak selain pau goreng atau roti goreng?
RESEPI PAU GORENG KACANG MERAH
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
(Menghasilkan 32 biji saiz sedang)
5 cawan tepung gandum
5 sudu besar minyak
1 sudu kecil bread softener
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu teh garam
*4 sudu besar gula, boleh tambah atau kurangkan ikut selera
*2 sudu besar susu pekat manis
*1 sudu besar yis
*1 1/4 cawan air suam
Semua bahan bertanda * dicampur, dikacau sehingga sebati dan dibiarkan sehingga berbuih.
Inti kacang merah secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
Cara-cara menyediakannya
Jom kita memasak..
Kita sediakan larutan yis. Ambil satu bekas, masukkan satu suku cawan air, 4 sudu besar gula, 2 sudu besar susu pekat manis, dan 1 sudu besar yis. Kacau sehingga sebati. Kemudian, biarkan sehingga ia berbuih dan kembang. 👆👆 Mungkin 15 hingga 30 minit kottt.
Sementara itu, di dalam mangkuk adunan atau bekas yang sesuai, masukkan tepung gandum, minyak masak, bread softener, baking powder dan sedikit garam. Ratakan menggunakan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.
Kemudian buatkan lubang di tengah-tengah tepung. Selepas itu barulah tuang larutan yis yang sudah kembang dan berbuih tadi.
Uli sehingga membentuk adunan seperti 👆👆. Kalau adunan lembik, sila tambah sikit tepung dan jika lebih tepung, tambahlah sedikit air. Kalau dah elok, jangan gatai tambah apa-apa lagi. Doh tu tak perlu licin, sekadar tidak melekat di tangan.
Kemudian tutup mangkuk adunan dengan kain maslin. Mak Hencik tutup dengan tuala 'good morning' jer. 😃😃😃
Biarkan sehingga adunan kembang.
Ini contoh adunan tadi, yang telah kembang semangkuk. 😆😆😆
Kemudian penyekkan adunan, untuk buang angin katanya..
Bahagikan doh kepada bentuk yang kecil.
Sediakan inti kacang merah. Yang ini Mak Hencik beli siap di kedai bakeri, senang. Bulat-bulatkan supaya senang diproses nanti.
Ambil sebiji doh kecil, leperkan di tapak tangan dan letakkan sebiji inti kacang merah.
Tutup roti dengan cermat supaya tidak terbuka dan gentel supaya bulat.
Kemudian tekan doh bulat tadi supaya leper sedikit.
Susun doh yang telah siap dan biarkan ia kembang sekali lagi. Mungkin ambil masa 15 minit. Seeloknya doh itu ditutup.
Bila doh sudah kembang, bolehlah panaskan minyak untuk menggoreng.
Bila sudah keperangan, bolehlah balikkan pau goreng tersebut.
Bila sudah masak, angkat pau goreng dan toskan minyak.
Gorenglah sampai habis..
Haaaa... dapat sebekas penuh. Ni ada lagi dalam kuali ni.. yang selebihnya Mak Hencik goreng sehingga sedikit kekuningan. Kemudian Mak Hencik masukkan ke dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk beku. Nanti boleh digoreng lagi apabila diperlukan.
Sementara itu marilah kita menjamah pau goreng yang kita buat tadi. Masih panas lagi ni. Jom makan!
Bismillah..