Selasa, 22 Mei 2018

Lepat Pisang Sukatan Cawan Mudah Giler

Sedap juga lepat pisang kalau ianya lembut. Nak bagi lembut perlulah letak pisang secukupnya. Kalau nak bagi keras, letaklah tepung lebih! 😂😂😂

Lepat stail ni adalah kegemaran suami berbanding yang berintikan kelapa. Eh tak ori ler kalau camtu! Habis... Nak buat camana.. dah suka gaya gini.. 😁😁😁


RESEPI LEPAT PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 1/2 cawan pisang lenyek - tak perlu hancur sangat
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan kelapa parut putih muda
2 sudu besar gula
2 sudu besar gula merah
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil esen pisang

Cara-cara menyediakannya


Di dalam bekas, masukkan pisang lenyek kasar, tepung gandum, kelapa parut putih (seeloknya dari kelapa muda), gula, gula merah, garam dan esen pisang.


Gaul sehingga sebati. 👆👆 Ketepikan dahulu.


Daun pisang dilayur atau lalukan atas api untyk melembutkannya dan tak pecah bila dilipat.
Kalau malas nak layur, korang gosok ngan seterika. Hihi.

Setelah dilayur, belah daun pisang kepada saiz kecil yang dikehendaki.


Letak daun pisang di tempat rata dan sudukan satu atau dua sudu besar ke atasnya.


Mak Hencik gulung jer. 👆👆. Pastikan kemas dan daun pisang tidak pecah.


Lipat hujung kiri dan kanan dengan kemas. Pastikan adunan pisang tidak terkeluar.


Buat sampai habis dan susun di dalam pengukus.


Kukus selama 20 minit.


Sudah masak lepat pisang kita hari ini. Cuba kita buka satu. Mmm.. sedang elok lembutnya. Sedap.

Jemput makan kawan-kawan.


Bismillah..

Isnin, 21 Mei 2018

Tepung Pelita Percubaan Pertama...

Pelita apa yang tiada api?
Pelita apa yang boleh dimakan?

Hurm... Tepung pelitalah.. 😂😂😂

Kalau makan kuih ni, usus kita akan bercahaya terang, pasal pelita sudah berada dalam perut. Huhuhu

Ini adalah percubaan pertama yang Mak Hencik buat. Ada satu masalah yang perlu diatasi iaitu apabila kita tuang adunan santan untuk lapisan kedua, lapisan hijau tu naik ke atas dan bercampur dengan yang putih. Canner tu? Kena masak sekejap atas dapur ke adunannya..? Atau akukah yang gopoh dan tergesa-gesa. Hurmm...

Tapi rasanya.. fullamak datuk datin!! Sedap secukup rasa dengan lemaknya.. dengan manisnya yang sederhana.👍👍



RESEPI TEPUNG PELITA
Oleh Dapur Cempakasari
Terima kasih penyumbang resepi : Rarra Sakura via FB

Bahan-bahan

Lapisan bawah hijau pandan

1 cawan tepung gandum
2  1/2 cawan santan cair - Mak hencik guna 1/2 cawan santan pekat + 2 cawan air
1 cawan air daun pandan - daun pandan dikisar dengan secawan air dan tapis. Sukat betul-betul satu cawan. Hehe
4 sudu besar gula
1 sudu kecil pewarna hijau

Lapisan atas putih santan

2 cawan santan pekat - Mak Hencik guna 2 cawan santan kotak
1 cawan air
3 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil garam

Cara membuatnya

Jom buat.. caranya sangat mudah.



Oleh kerana tak reti nak buat kelonsong daun pisang, maka Mak Hencik guna bekas plastik kecil. Mak Hencik alas dengan daun pisang untuk dapatkan rasa asli tepung pelita serta aromanya.

Kemudian masukkan satu sudu besar gula ke dalam setiap bekas.



Campurkan tepung gandum, air daun pandan, santan cair dan gula. Kisar supaya adunan sebati. Tak ada ketul-ketul dah..



Susun bekas yang sudah dimasukkan gula ke dalam pengukus.



Tuang adunan pandan sebagai lapisan pertama.



Tutup pengukus dengan tudungnya. Sebelum tu lebih baik balut tudung pengukus tu dengan kain untuk menghindari wap air menitik masuk ke dalam kuih.

Atau boleh juga tutup bekas kuih dengan aluminium foil. Mak Hencik guna cara ini.

Biarkan selama 20-30 minit.



Seterusnya kita buat lapisan santan pula. Di dalam besen kecil kita campurkan santan, garam dan tepung gandum. Kisar sehingga sebati atau kacau menggunakan whisk. Pastikan adunan tidak berbintil.



Apabila lapisan hijau pandan sudah masak, tuangkan lapisan putih santan perlahan-lahan.



Dah habis semua tuang bahagian putih, tutup dengan aluminium foil kalau tak balut penutup dengan kain, pastu tutup dan kukus selama 20-30 minit atau sehingga masak.


Bila dah masak, angkat. 


Inilah rupa antara yang jadi sempurna.



Sudu sikit.



Bismillah..

Mmm... Sedapnya.. jemput makan kawan-kawan semua..

Sedap sungguh si tepung pelita,
Mari dimakan di petang hari;
Betulkah sedap bagai yang dikata,
Boleh sahaja cuba buat sendiri..

Okbai

Jumaat, 18 Mei 2018

Pulut Bangkok atau Pulut Pisang

Lama sangat dah nak buat pulut Bangkok ni. Tapi itu la.. bila nak buat pisang tak ada laa. Beras pulut habis laa. Santan tak cukup laa. Kelapa parut tak beli laa. Uihhh banyaknya kau punya laaa.. 😂😂😂




Nampak keadaan bentuk badan dia.. dengan warna dia.. tengok pun rasa macam dah sedappp jer. Menggoda you.. hahaha. Sangat sesuai sekali untuk sesiapa yang gemarkan menu pulut. 👍👍




RESEPI PULUT BANGKOK @ PULUT PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 biji pisang, kukus separuh masak
*2 cawan beras pulut
*1 keping asam gelugur
*2 cawan air atau secukupnya
*1 sudu kecil pewarna hijau 
Bahan bertanda * direndam kurang lebih 30 minit.

1 cawan santan
1/2 cawan santan
1 sudu kecil garam
2 helai daun pandan - dipotong 3 inci panjang atau disimpul

Kelapa parut manis untuk disalut pada pulut pisang

1/2 biji kelapa parut
1/2 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
1 helai daun pandan - dipotong 3 inci panjang atau disimpul
sedikit air atau 1/8 cawan air

Cara-cara membuatnya

Marilah kita membuat kuih hari ini.. Jom..



Rendam beras pulut dengan air dan asam gelugur selama lebih kurang 30 minit.


Bila warna hijau sudah melekat cantik kat beras pulut, buang air rendaman dan masukkan beras pulut ke dalam periuk untuk ditanak. Mak Hencik tanak atas gas sahaja.

Kalau nak kukus pun boleh, lagi cantik kejadiannya.


Masukkan 1 cawan santan dan daun pandan yang telah dipotong.
.

Tutup periuk dan buka api perlahan. Tanak pulut sehingga separuh masak.


Bila sudah hampir kering, buka tudung periuk. Tutup api.


Tuang ke dalam periuk 1/2 cawan santan lagi. Gaul rata menggunakan sudip kayu.



Kemudian tutup lagi periuk dengan tudung periuk dan buka api perlahan. Tunggu sehingga pulut masak sempurna.


Bila sudah masak, tutup api dan sejukkan sekejap. 


Alas dengan plastik, letakkan pulut, tekan-tekan dan ratakannya untuk memuatkan sebiji pisang. Pisang hendaklah yang masak tetapi jangan ranum. Pilih pisang yang manis.


Gulung elok-elok, biar pulut tu padat. Lepas tu letak dalam bekas dan ulangi lagi sehingga pisang habis.

Seeloknya ikat kiri dan kanan plastik tu. Dan kalau ada daun pisang, lebih baik guna daun pisang. Semulajadi dan aroma yang sedap. 


Panaskan pengukus dan kukus pulut pisang yang dibalut dengan plastik lebih kurang 30 minit atau agak-agak pisang tu masak. Bila dah masak, tutup api dan sejukkan.

Biarkan dulu bab kukus-mengukus ni sambil kita buat kelapa parut manis untuk disalut pada pulut pisang.


Di dalam kuali, masukkan 1/2 cawan gula, sedikit garam, daun pandan dan air. Sebelum tu sediakan kelapa parut di dalam bekas yang sesuai.


Buka api dan kacau sehingga gula hancur, kemudian tutup api.


Tuangkan air gula panas itu ke dalam bekas kelapa parut.


Gaul sehingga rata dan sebati.


Ambil sebatang pulut pisang yang sudah disejukkan terlebih dahulu dan salutkan dengan kelapa parut manis.


Macam gitulah lebih kurang gayanya..Salutlah kesemua pulut pisang kita tu. Lepas tu bolehlah kita potong dan hidangkan. Mak aihhh banyak pulalah jadinya bila dipotong ni..


Letak dan susun di dalam pinggan hidang untuk dinikmati.. 

Jemput makan semua..

Bismillah..

Tapi hari ni first day puasa.. mana boleh makan lagi ni. Tunggu azan maghrib dulu. Hihihi. Okebai..!

Isnin, 14 Mei 2018

Sayur Lemak Putih Labu

Ada sebiji labu tergolek kat tepi tangga dapur. Bentuk lonjong pula. Budak-budak ni yang taburkan biji labu bulan Jan hari tu, sekarang bulan lima, sudah boleh dipetik buahnya.




Diorang ni pun main-main sahaja tabur benih. Tak sangka pula, menjadi juga.
Kalau berbudi pada tanah, adalah hasilnya.



RESEPI SAYUR LEMAK PUTIH LABU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/4 biji labu saiz sederhana - dikopek kulit dan dipotong kiub
7 tangkai pucuk labu - dipotong
1/2 biji bawang merah - ditumbuk
1/2 sudu kecil lada hitam - ditumbuk
4 cawan santan
1 ekor ikan kembung kecil - dipanggang dan diasingkan isi dengan tulang
2 sudu kecil garam atau secukupnya
2 sudu kecil gula, jika suka

Cara menyediakannya

Marilah kita ke dapur..



Inilah rupanya labu bentuk lonjong.



Isi labu yang telah dipotong kiub.



Pucuk labu yang baru dipetik tadi.



Kobis tu tumpang ajer yea.. nak tunjuk gambar si pucuk labu yang segar dari ladang ni..



Ikan kembung diasingkan isinya. Nak guna ikan lain pun boleh contohnya ikan sardin atau selayang, pealing dan lain-lain. 



Tumbuk lada hitam sehingga lumat. Kemudian, masukkan bawang merah dan isi ikan. Tumbuk lagi sehingga lumat.



Di atas dapur, masukkan santan dan bahan tumbuk. Kacau selalu supaya santan tidak berketul. Kacau sehingga kuah mendidih.

Sambil itu masukkan garam secukupnya dan gula jika suka.



Apabila kuah sudah mendidih, masukkan buah labu. Kacau selalu sambil menantikan buah labu empuk.



Kemudian, masukkan pula pucuk labu. Biarkan sehingga ia layu.



Bila sudah layu, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api.



Masukkan dalam mangkuk hidang. Bolehlah dinikmati dengan nasi dan lauk-lauk lain yang mana ada..

Jemput makan..

Bismillah..