Rabu, 23 Oktober 2019

Sambal Penyek yang Sedap

Pedas dan sedap!


Lama dah nak buat, tapi tak buat - buat juga sehinggalah menu ni lalu di wall FB. Melihat kenkawan berkongsi menu hidangan memberikan satu semangat dan inspirasi untuk membuatnya.

Sebenarnya hari ni, saya rasa sedih dan sayu sebab mak sangat tidak sihat. Keadaan mak sangat lemah.


Hari ni saya naik ambulans buat kali pertama menemani mak yang sakit tenat menuju ke hospital Raja Perempuan Zainab II.

Ya Allah.. Permudahkan urusan untuk mak. Kasihanilah mak sebagaimana mak mengasihi kami sejak kecil lagi.

Kurniakanlah redhaMu kepada ibuku wahai Allah..


RESEPI SAMBAL PENYEK
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Saidatul Akhmar via FB Bila Dapurku Berasap

Bahan-bahan

10 tangkai lada besar merah (Mak Hencik tambah 2 tangkai lada besar hijau)
12 biji cili padi - kalau nak pedas bolehlah tambah lagi
3 biji bawang putih
3 biji bawang merah besar - dibelah enam
3 biji tomato - dibelah enam
1 inci belacan - dibakar. (Mak Hencik tak letak)
3 sudu besar gula merah
1 ketul kiub ayam
Sedikit air asam jawa
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya.

Jom menyambal..!

Mula-mula kita sediakan bahan-bahannya.


Lada besar, cili padi, bawang putih, bawang merah dan tomato.


Sedikit garam, gula merah, seketul kiub ayam dan air asam jawa.


Bahan-bahan yang dipotong-potong.

Dah siapkan bahan semua, dah bolehlah ambil kuali tenggekkan kat atas dapur.


Bubuh sedikit minyak dan campak bahan-bahan yang telah dipotong tadi. Amboii..bahasa. Sopan sikit ya, nak.

Bila bahan-bahan yang digoreng sudah kelihatan layu, mati kan api.

Angkat bahan-bahan tersebut dan toskan minyak.

Minyak tu jangan dibuang. Sekejap lagi kita guna untuk menumis pula.


Kemudian kita kisar bahan-bahan guna lebihan mintak tadi. Kisar tu tak perlu halus sangat.

Kalau nak lebih sedap, kenalah tumbuk. Ada bran?


Masukkan bahan kisar atau bahan tumbuk ke dalam bekas.


Seterusnya panaskan lebihan minyak tadi dan tumis bahan-bahan kisar atau tumbuk sehingga  garing.


Kacau selalu supaya tidak hangus.


Kemudian masukkan gula merah, kiub ayam dan sedikit garam. 


Kacau lagi sehingga naik minyak. Sempurnakan rasa dan tutup api.


Boleh dinikmati.. Lebihnya kita simpan dalam peti sejuk. Kalau nak makan, keluarkan dan panaskan guna microwave.

Jangan kutuk pula bila nampak minyak yang banyak ☝️☝️ macam boleh dibuat berenang tu ya. Keluarkan sahaja semua minyak tu..


Jom makan untuk hari ini..

Bismillah.. 😋😋😋

Selasa, 22 Oktober 2019

Seri muka pelangi

Katanya seri muka pelangi. Tapi tengok lah dah jadi seri muka apa.. Apa nak kata.. Ku ketawa ajer laaa.. 😆😆😆 Korang pun marilah join ketawa sekali. 😂😂😂




Semua ni mungkin kerana Mak Hencik masukkan secawan air daun pandan menggantikan air. Jadinya warna merah dah jadi cekelat. Hihihi 😆😆😆

Tapi rasanya tetap sedap memukau selera. Ya ek? 😋😋😋 Cuba lah..



Terima kasih saudari Aznati Azhar yang mengepost seri muka pelangi nya yang sangat cantik memikat pandangan mata di FBnya beberapa hari lepas. Awak beri saya inspirasi... Tapi I punya kuih talam tak cantik lakkk. Kalau awak tertengok nanti mesti awak tergelak. Sebelum tu biar saya gelak dulu lah ya. 😂😂😂



RESEPI SERI MUKA PELANGI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Lapisan bawah

2 cawan beras pulut
1 cawan santan
1 sudu kecil garam

Lapisan atas

2 cawan santan pekat
1 cawan air (Mak Hencik guna air daun pandan)
1 cawan gula
3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung kastard
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
1/2 sudu kecil garam
3 pewarna pelangi pilihan

Cara-cara membuatnya

Jom kita menalam hari ini..



Beras pulut direndam 2 jam.



Toskan beras pulut dan masukkan ke dalam besen kecil. Masukkan 1 cawan setengah santan dan 1 sudu kecil garam. Gaul sehingga sebati.



Masukkan ke dalam loyang yang telah dioles dengan minyak dan dialas dengan plastik. Santan tu lebih sikit-sikit jer dari aras pulut.



Kukus pulut selama 20 minit.

Sementara itu kita buat lapisan atas.



Di dalam besen kecil, masukkan 2 cawan santan pekat dan 1 cawan air. Masukkan juga 3/4 cawan tepung gandum, 1/4 cawan tepung kastard, sebiji telur, Secubit garam dan esen vanilla. Kacau sehingga rata.



Sediakan kuali yang sesuai. Masukkan satu cawan gula. Kemudian kita tapis bancuhan tadi ke dalam kuali.

Buka api. Masak dan kacau bancuhan tadi menggunakan whisk sehingga naik wap. Tutup api. Biarkan dahulu sebentar.

Sementara itu pulut tadi sudah masak.



Angkat loyang yang mengandungi pulut dan keluarkan dari pengukus. Tekan pulut menggunakan alat yang sesuai supaya kemas.

Sesudah pulut sudah ditekan elok, masukkan semula loyang ke dalam pengukus tapi jangan pasang suis dahulu.

Kita sambung penyediaan untuk lapisan atas.



Bahagikan adunan kepada 3 bekas dengan 3 warna pilihan. Mak Hencik pilih warna hijau, kuning dan merah.



Tuang warna hijau. Tutup pengukus dengan penutup yang dibalut dengan kain. Kukus 10 minit.



Tuang pula lapisan kuning. Tutup pengukus. Kukus lagi 10 minit.



Akhir sekali tuang warna merah pula. Next time Mak Hencik kena bubuh pewarna merah banyak sikit supaya lebih menyerlah. Warna macam di atas tu☝️☝️nampak pudar dan tak menarik. 😅😅😅

Tutup pengukus dan kukus lagi 10 minit.



Akhir sekali, bila sudah masak  buka tutup pengukus dan kukus lagi 5 minit tanpa penutup supaya kuih talam kita lambat basi.



Bila sudah cukup 5 minit, tutup suis pengukus elektrik dan keluarkan dari pengukus. Sejukkan.



Tunggu kuih betul-betul sejuk baharulah boleh dipotong menggunakan pisau plastik.



Siaplah kuih kita hari ini. Walaupun ada kesilapan warna, tapi it's all right..kita kan tidak sempurna.. 😅😅😅

Jom rasa sikit sorang..

Bismillah.. 😋😋😋

Isnin, 21 Oktober 2019

Biskut Tat Nenas

Gebu, tidak berderai, lembut dan lemak. Oh! Saya suka.

Adakah awak sama macam saya? 


Rasa masam manis jem nenas pun punyalah sedap. Padahal jem nenas tu bukan kubuat.. ku beli jer.

Alamak! Tercakap pula. Bocor rahsia.. 😂😂😂



Kebetulan petang tadi singgah di kedai bakeri sebab nak beli bread improver. Tiba-tiba ternampak jem nanas. Dan tiba-tiba I rasa teringin nak makan tat nanas. Ish! Mengidam ker I ni?! 😜😜😜



RESEPI TAT NENAS
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : FB Azlina Ina Fan

Bahan-bahan

250 gm mentega
3 sudu besar susu pekat manis
3 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar minyak sapi
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanila
Sedikit pewarna kuning

Hiasan

1 biji putih telur dicampur dengan beberapa titis pewarna kuning

Cara-cara membuatnya

Jom kita buat tat nanas..  Sekejap nenas.. Sekejap nanas.. Yang mana satu betul nih?!



Jem nenas tu kita gentel siap-siap supaya mudah dan cepat proses membuatnya nanti.



Dalam bekas yang sesuai, masukkan satu ketul mentega, 3 sudu besar susu pekat manis, 1 biji kuning telur, 2 sudu besar minyak sapi dan 1 sudu kecil esen vanila. Kacau sehingga rata. Guna sudip ya. Tak payah susah-susah pakai mixer bagai.



Bila sudah rata, masukkan pula 2 sudu besar tepung jagung dan 2 sudu besar tepung kastard. Kacau rata.

Kemudian masukkan 3 1/2 cawan tepung gandum sedikit demi sedikit. Kacau lagi sehingga rata. Bila sudah berat, guna jari pula untuk mengadun.



Adunan Mak Hencik tadi lembik sikit,  Jadi Mak Hencik tambah sedikit tepung gandum. Kalai dah elok adunan, jangan tambah dah ya. Adunan jangan keras ya nanti bengkak pula jari nak menekan.



Acuan yang digunakan. Acuan plastik jer. Itu pun kakak yang bagi. 😁😁😁



Ambil sikit adunan, masukkan dalam acuan dan tekan. Buat panjang-panjang sikit agak-agak boleh gulung. Heeeee

Lepas tu letak jem nenas yang digentel di atasnya dan gulung.



Dapatlah dua dulang tapi satu penuh dan satu lagi suku penuh jer.



Telur putih dicampur dengan pewarna kuning sebagai hiasan.

Masa ni boleh panaskan oven 180 C selama 10 minit.



Sapu putih telur tadi di atas tat nenas.



Bakar dalam oven 180 C selama 20 minit atau ikut oven masing-masing



Bila sudah masak, keluarkan dari oven.



Sejukkan sebentar sebelum di masukkan ke dalam balang.



Simpan dalam balang atau bekas kedap udara.

Jom menikmatinya sambil tengok TV.

Bismillah..

Ahad, 20 Oktober 2019

Kerabu Jantung Pisang yang Sedap

Sedap sungguh kata orang. Kita? Kita pun kata sedap sungguh juga!


Masakan kerabu ni adalah masakan kegemaran mak. Kalau ada lauk kerabu, dia akan berselera untuk makan.

Banyak jenis kerabu yang biasa mak buat semasa mak masih sihat. Antaranya kerabu pucuk beko, buah beko, kerabu bunga nipah, kerabu buah nipah, kerabu pucuk paku dan kerabu jantung pisang.

Petang semalam mak ada menyebut nak makan kerabu jantung pisang. Jadi kami telah pergi ke pasar untuk mencari jantung pisang. Mak Cik yang jual tu beri harga rm3. 00 untuk sebiji jantung pisang. Katanya jantung pisang gegala. Betul ke namanya pisang gegala? Huhuhu


RESEPI KERABU JANTUNG PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji jantung pisang - dihiris, direbus sehingga lembut, ditoskan dan diperah airnya.

3 ekor ikan sardin - dipanggang dan diasingkan isi dengan tulang, ditumbuk halus

1/3 cawan kelapa parut - disangai dan ditumbuk halus

1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk

3 biji bawang merah kecil - ditumbuk

1 cawan santan pekat - dididihkan

Garam, gula dan jus limau nipis secukupnya.


Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom.. Masuk dapur.


Jantung pisang dihiris dan direbus sehingga lembut.


Bila sudah lembut, toskan airnya dan bila sudah sejuk bolehlah kita perah untuk buang airnya.


Kelapa parut yang telah disangai sehingga perang dan garing kemudiannya ditumbuk sehingga halus tetapi tidak perlu keluar minyak seperti yang kita buat kerisik tu.


Secawan santan tu kita didihkan sekejap supaya kerabu lambat basi.


Panggang ikan sardin atau ikan lain pun boleh juga kemudian kita asingkan isi dan tulang. Tumbuk isi ikan sehingga lumat.


Bawang merah kecil dan lada hitam.


Tumbuk lada hitam dan bawang merah sehingga lumat. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan tumbuk sehingga halus.

Di dalam bekas, masukkan jantung pisang yang diperah tadi, santan yang telah dididihkan, isi ikan tumbuk, segala bahan tumbuk tadi dan kelapa parut sangai yang juga telah ditumbuk tadi. (gambar hilang pula)

Perah jus limau nipis ke dalamnya. Kalau ada asam kerat lintang tu lagi baik ya kerana asam kerat lintang ni menghasilkan aroma limau yang sangat memukau.

Gaullah sehingga sebati. Lepas tu rasa kan dulu kesedapannya. Tambah lah rasa yang mana kurang tu ya.


Siaplah kerabu jantung pisang hari ni. Bolehlah dihidangkan.

Saya hidangkan untuk mak hari ni. Semoga mak segera sembuh seperti sediakala. Aamiin ya Rab.

Jemput kawan-kawan..

Bismillah..