Pedas dan sedap!
Lama dah nak buat, tapi tak buat - buat juga sehinggalah menu ni lalu di wall FB. Melihat kenkawan berkongsi menu hidangan memberikan satu semangat dan inspirasi untuk membuatnya.
Sebenarnya hari ni, saya rasa sedih dan sayu sebab mak sangat tidak sihat. Keadaan mak sangat lemah.
Hari ni saya naik ambulans buat kali pertama menemani mak yang sakit tenat menuju ke hospital Raja Perempuan Zainab II.
Ya Allah.. Permudahkan urusan untuk mak. Kasihanilah mak sebagaimana mak mengasihi kami sejak kecil lagi.
Kurniakanlah redhaMu kepada ibuku wahai Allah..
RESEPI SAMBAL PENYEK
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Saidatul Akhmar via FB Bila Dapurku Berasap
Bahan-bahan
10 tangkai lada besar merah (Mak Hencik tambah 2 tangkai lada besar hijau)
12 biji cili padi - kalau nak pedas bolehlah tambah lagi
3 biji bawang putih
3 biji bawang merah besar - dibelah enam
3 biji tomato - dibelah enam
1 inci belacan - dibakar. (Mak Hencik tak letak)
3 sudu besar gula merah
1 ketul kiub ayam
Sedikit air asam jawa
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara membuatnya.
Jom menyambal..!
Mula-mula kita sediakan bahan-bahannya.
Lada besar, cili padi, bawang putih, bawang merah dan tomato.
Sedikit garam, gula merah, seketul kiub ayam dan air asam jawa.
Bahan-bahan yang dipotong-potong.
Dah siapkan bahan semua, dah bolehlah ambil kuali tenggekkan kat atas dapur.
Bubuh sedikit minyak dan campak bahan-bahan yang telah dipotong tadi. Amboii..bahasa. Sopan sikit ya, nak.
Bila bahan-bahan yang digoreng sudah kelihatan layu, mati kan api.
Angkat bahan-bahan tersebut dan toskan minyak.
Minyak tu jangan dibuang. Sekejap lagi kita guna untuk menumis pula.
Kemudian kita kisar bahan-bahan guna lebihan mintak tadi. Kisar tu tak perlu halus sangat.
Kalau nak lebih sedap, kenalah tumbuk. Ada bran?
Masukkan bahan kisar atau bahan tumbuk ke dalam bekas.
Seterusnya panaskan lebihan minyak tadi dan tumis bahan-bahan kisar atau tumbuk sehingga garing.
Kacau selalu supaya tidak hangus.
Kemudian masukkan gula merah, kiub ayam dan sedikit garam.
Kacau lagi sehingga naik minyak. Sempurnakan rasa dan tutup api.
Boleh dinikmati.. Lebihnya kita simpan dalam peti sejuk. Kalau nak makan, keluarkan dan panaskan guna microwave.
Jangan kutuk pula bila nampak minyak yang banyak ☝️☝️ macam boleh dibuat berenang tu ya. Keluarkan sahaja semua minyak tu..
Jom makan untuk hari ini..
Bismillah.. 😋😋😋