Ahad, 20 Oktober 2019

Kerabu Jantung Pisang yang Sedap

Sedap sungguh kata orang. Kita? Kita pun kata sedap sungguh juga!


Masakan kerabu ni adalah masakan kegemaran mak. Kalau ada lauk kerabu, dia akan berselera untuk makan.

Banyak jenis kerabu yang biasa mak buat semasa mak masih sihat. Antaranya kerabu pucuk beko, buah beko, kerabu bunga nipah, kerabu buah nipah, kerabu pucuk paku dan kerabu jantung pisang.

Petang semalam mak ada menyebut nak makan kerabu jantung pisang. Jadi kami telah pergi ke pasar untuk mencari jantung pisang. Mak Cik yang jual tu beri harga rm3. 00 untuk sebiji jantung pisang. Katanya jantung pisang gegala. Betul ke namanya pisang gegala? Huhuhu


RESEPI KERABU JANTUNG PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji jantung pisang - dihiris, direbus sehingga lembut, ditoskan dan diperah airnya.

3 ekor ikan sardin - dipanggang dan diasingkan isi dengan tulang, ditumbuk halus

1/3 cawan kelapa parut - disangai dan ditumbuk halus

1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk

3 biji bawang merah kecil - ditumbuk

1 cawan santan pekat - dididihkan

Garam, gula dan jus limau nipis secukupnya.


Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom.. Masuk dapur.


Jantung pisang dihiris dan direbus sehingga lembut.


Bila sudah lembut, toskan airnya dan bila sudah sejuk bolehlah kita perah untuk buang airnya.


Kelapa parut yang telah disangai sehingga perang dan garing kemudiannya ditumbuk sehingga halus tetapi tidak perlu keluar minyak seperti yang kita buat kerisik tu.


Secawan santan tu kita didihkan sekejap supaya kerabu lambat basi.


Panggang ikan sardin atau ikan lain pun boleh juga kemudian kita asingkan isi dan tulang. Tumbuk isi ikan sehingga lumat.


Bawang merah kecil dan lada hitam.


Tumbuk lada hitam dan bawang merah sehingga lumat. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan tumbuk sehingga halus.

Di dalam bekas, masukkan jantung pisang yang diperah tadi, santan yang telah dididihkan, isi ikan tumbuk, segala bahan tumbuk tadi dan kelapa parut sangai yang juga telah ditumbuk tadi. (gambar hilang pula)

Perah jus limau nipis ke dalamnya. Kalau ada asam kerat lintang tu lagi baik ya kerana asam kerat lintang ni menghasilkan aroma limau yang sangat memukau.

Gaullah sehingga sebati. Lepas tu rasa kan dulu kesedapannya. Tambah lah rasa yang mana kurang tu ya.


Siaplah kerabu jantung pisang hari ni. Bolehlah dihidangkan.

Saya hidangkan untuk mak hari ni. Semoga mak segera sembuh seperti sediakala. Aamiin ya Rab.

Jemput kawan-kawan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan