Sabtu, 10 November 2018

Kek Mentega Pelangi

Kek dulu-dulu. Tak lekang dek panas. Tak lapuk dek hujan. Segar sepanjang zaman. Rasa kek homemade memang ummphhh sebab tak ada pengawet!



Lama sungguh tak buat kek. Kalau buat pun asyik buat kat kedai sahaja. 😁😁😁

Kebetulan malam ni pula perlu buat operasi. Operasi lipat kain. Kain yang tidak berlipat sudah hampir mencecah siling rumah dah.. 😂😂😂



Inilah kesan pergi bercuti sempena Deepavali. Balik ke rumah bawa balik kenangan.. beserta satu beg penuh pakaian yang belum dicuci. Yang dah sedia ada di rumah pun sudah sebakul. Hurmmm.. Berbakul - bakullah jadinya.

Senyum sahajalah.. Tak perlu kata apa-apa.



Jadi, sebelum operasi melipat, kita buat kek dahulu. Sambil menunggu kek masak, kita pun melipat kain. Nanti kek kita masak, kain pun sudah siap berlipat. 💐💐💐

Resepi ni telah dikongsi dengan kawan setempat kerja, Nor Azyyati bt Che Aladin. Sedapppp kek dia. Dia memang terrer membaking nih. Kek dia buat sedap woii.. 



Resepi telah disalin oleh anak bongsuku pada tahun lepas lagi. Masa tu umurnya 9 tahun sebab dia yang nak buat kek ni. Oleh kerana hasil kejadiannya elok dan rasa dia pun sedap, berderai dan kering sedikit, maka kita abadikan resepinya di sini.

RESEPI KEK MENTEGA PELANGI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan - bahan

1 cawan marjerin (Mak Hencik guna 1 ketul butter jenama Anchor)
1 cawan gula kastor
2 sudu besar susu pekat manis
4 biji telur saiz A
*2 cawan tepung gandum
*1 sudu kecil baking powder
Bahan bertanda * diayak
(sekiranya menggunakan tepung naik sendiri menggantikan tepung gandum, tak perlu masukkan baking powder)
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil pewarna merah dan hijau atau mana-mana warna pilihan.

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom kita mengekek ..



Langkah 1
Putar mentega dan gula sehingga kembang.



Langkah 2
Masukkan susu pekat, esen vanilla dan telur sebiji demi sebiji sambil diputar sehingga kembang.



Langkah 3
Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar sehingga rata.



Langkah 4
Adunan kek dibahagi kepada 3 bahagian dan diwarnakan mengikut warna pilihan. Mak Hencik pilih warna asal, merah jambu dan hijau.



Langkah 5
Oles acuan 8 inci dengan mentega atau minyak dan alas dengan kertas minyak.



Langkah 6
Masukkan satu senduk warna asal..


Letakkan satu senduk warna hijau di atas warna asal tadi.



Ambil satu senduk warna merah jambu dan letakkan atas warna hijau tadi.



Ulangi langkah 6 sehingga adunan habis.



Langkah 7
Bakar selama 25-30 minit pada suhu 170°C atau ikut oven masing-masing.



Selepas 15 minit.



Selepas 25minit.



Langkah 7
Cucuk bahagian tengah kek dengan lidi satay. Bila tiada tepung yang melekat, maka masaklah kek tersebut dan bolehlah kita keluarkan dari oven.



Biarkan seketika sebelum kita keluarkan dari acuan.



Bila sudah sejuk, bolehlah dipotong.



Jemput menikmati hidangan minum petang hari ini, kek pelangi dan teh 0 panas.

Jemput semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan