Selasa, 1 Mei 2018

Bihun Goreng Cili Kering Ikan Bilis Lantak Korang Ler

Bihun goreng ni ialah antara kegemaran suami saya. Tapi elakkan letak ikan bilis kerana ikan bilis antara bukan kegemarannya. Tapi hari ni dia outstation, jadi kita pun bolehlah buat nakal sikit..

Bersama kicauan burung pada pagi ini, marilah kita masak dan makan bihun goreng. Tak tahulah sama ada ini terpaksa atau sukarela. Biasa keluar sarapan di luar. Tapi hari ini  tidak perlu pergi ke kedai makan sebab tak ada orang yang nak teman. Huhu


RESEPI BIHUN GORENG CILI KERING IKAN BILIS
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 keping bihun - direndam 30 minit, ditoskan
2 biji bawang putih
1 biji bawang merah
3 sudu besar cili kering
2 sudu besar sos cili
1/2 sudu kecil serbuk pati ikan bilis
3/4 cawan air atau secukupnya
1 tangkai lada merah - dipotong serong
sedikit ikan bilis
sedikit karot - dihiris halus memanjang
sedikit kobis - dipotong halus
garam dan gula secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Jom masuk ke dapur!



Ikan bilis, bawang putih dan bawang merah. Cili keringnya mana? Cili keringnya Mak Hencik gunakan cili kering yang Mak Hencik dan siap kisar dan simpan dalam peti sejuk. Senangkan nak masak nanti.



Karot yang dihiris halus-panjang dan kobis yang dipotong halus.



Bihun yang direndam sekejap dengan air biasa jer supaya lembut, kemudian toskan airnya.


Langkah 1
Tumbuk bawang putih dan bawang merah sehingga lumat. Kemudian, masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi. Tak perlu hancur sangat. Kalau nak hancur lumat pun, lantak korang ler..



Langkah 2
Sediakan kuali. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk sehingga naik bau dan hampir garing sambil dikacau selalu supaya tidak hangus. Kalau korang nak hangus pun, lantak korang ler..



Langkah 3
Masukkan pula sayuran seperti kobis dan karot. Gaul rata. Kalau korang nak biar jer macam tu pun, lantak korang ler..



Langkah 4
Masukkan air. Biarkan ia mendidih. Kalau korang nak sampai kering pun, lantak korang ler..



Langkah 5
Sementara menunggu mendidih tu, bolehlah kita masukkan garam, gula dan serbuk ikan bilis secukupnya. Kalau korang nak letak selori pun, lantak korang ler..



Langkah 6
Bila sudah mendidih, barulah kita masukkan bihun yang ditoskan tadi. Gaullah dengan semangat membara. Kalau korang tak nak gaul pun, lantak korang ler..



Langkah 7
Lepas tu masukkanlah sos cili dalam dua sudu besar. Kacau lagi sehingga rata. Kalau Korang nak letak sebotol sos cili pun, lantak korang ler..



Langkah 8
Bila sudah sebati warna dan rasa, bolehlah ditutup api. Kalau korang tak nak tutup api pun lantak korang ler..



Langkah 9
Akhir sekali, bolehlah dimasukkan ke dalam mangkuk hidangan untuk dinikmati dengan keluarga tersayang. Tapi kalau korang nak hidang dengan kuali tu pun, ahhh.. lantak korang ler.. 😝😝😝



Langkah 10

Berbaju askar corak celoreng,
Sayang sekali takutkan lintah;
Mari bersarapan dengan bihun goreng,
Di serambi rumah tepi kebun getah.

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan