Ahad, 18 Februari 2018

Resepi Grilled Chicken Chop dengan Coleslaw Epal Yang Sedap

Apa yang pelik pasal gambar grilled chicken chop ni ya.. macam ada yang tak kena jer. Oh ho ho ho.. tapi rasa memang kena dengan anak tekak ni..  😂😂

Budak-budak zaman sekarang ni memang suka masakan barat, tak macam zaman Mak Hencik dulu. Hari-hari makan nasi lauk kampung sahaja. Mana kenal dengan keju-keju ni. Mozarella, Cheddar, Mascarpone ker apa. Manalah Mak Hencik tahu.. Berbeza sangat dengan anak-anak zaman sains dan teknologi ini, zaman gajet. Burger adalah sesuatu yang lumrah. Cheese sudah jadi hidangan biasa. Pizza Hut, McD dan KFC dan restoran makanan segera yang lain berada di sebelah rumah sahaja. Itulah kehidupan.. Setiap zaman pasti berbeza.. Untukmu anak-anak, mama ikutkan ajer..


RESEPI GRILLED CHICKEN CHOP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Brown Sauce

2 biji bawang putih - dicincang
1/2 biji bawang Holland - dicincang
2 sudu besar mentega
3 sudu besar tepung gandum
3 cawan air
1 cawan susu segar
1/8 cawan kicap manis
1/3 cawan sos lada hitam
1 sudu besar gula
1 ketul kiub ayam
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 sudu kecil serbuk lada hitam kasar

Cara membuatnya Brown Sauce




Cincang bawang putih dan bawang holand.


Panaskan kuali, masukkan mentega. Hati-hati, jangan sampai hangus.


Masukkan bawang putih dan bawang holand. Kacau sehingga layu. Kacau biasa-biasa ajer. tak payah tunjuk rajin dulu. Banyak lagi benda lain nak buat lepas ni.


Sediakan tepung gandum.

Masukkan tepung gandum dan kacau rata. Haa.. yang ni kena rajin. Tepung tu bergentel sikit, itu biasa dong!


Apabila tepung gandum sudah keperangan, masukkan air dan kacau sehingga tidak bergentel. Yang ini kena tunjuk rajin, kacau betul-betul jangan sampai bergentel.


Kemudian masukkan susu segar. Kacau lagi.


 Sediakan gula dan kiub pati ayam.


Sediakan serbuk lada putih dan serbuk lada hitam kasar.


Masukkan gula, kiub pati ayam, sos tiram, kicap dan sos lada hitam.

Kalau suka warna gelap, tambah kicap tu ya. Kalau suka warna cerah, tak payah bubuh kicap.


Masukkan serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam kasar. Kacau kacau sedikit. Biarkan sehingga mendidih.


Apabila sudah mendidih, pekat pun sedang-sedang, rasa pun dah ok, bolehlah ditutup api.


Masukkan dalam mangkuk, letak bawah saji. 😆😆

Bahan-bahan Jagung Rebus

6 batang jagung - dipotong 3
1 sudu kecil atau secukupnya  garam
3 sudu besar atau secukupnya gula
Air secukupnya

Cara-cara



Masukkan jagung dalam periuk, masukkan air sehingga tenggelam jagung. Masukkan sedikit garam dan sedikit gula. Rebus sehingga masak.

Bila masak, keluarkan jagung dan toskan air nya.  Kemudian susun dalam pinggan hidangan. 😊😊

Mak Hencik beli jagung ni kat Pasar Pagi Salak. Selonggok RM10, ada 6 batang jagung saiz besar jugaklah.




Masukkan jagung yang telah siap direbus di dalam pinggan hidangan. Letak bawah saji.      😆😆

Bahan-bahan Coleslaw Epal

2 cawan kobis - disagat
1 cawan karot - disagat
1 biji epal merah - disagat
5 sudu besar atau secukupnya mayonaise
3 sudu besar susu pekat manis
1/2 sudu kecil garam
sedikit jus lemon dari 1/2 biji lemon

Cara-cara membuatnya 



Sagat karot dan kobis.


Sagat epal merah. Nak guna epal hijau pun ok juga. 


Masukkan mayonaise, sedikit garam dan susu pekat manis. Perah sedikit jus lemon.


Gaul rata dan masukkan ke bekas bertutup lalu dimasukkan ke dalam peti sejuk sebentar. Dok diam-diam di situ. Satgi kita ambik awak ya. 
😊😊

Bahan-bahan perap Ayam Grilled

4 ketul dada ayam - dihiris nipis, dibersihkan dan ditos.
*1/2 cawan sos lada hitam
*1/3 cawan sos tiram
*1 sudu kecil serbuk lada putih
*1 sudu kecil serbuk lada hitam 
Campurkan semua bahan yang bertanda*
Sedikit mentega untuk disapu pada kuali

Cara-cara menyediakannya




Isi ayam dipotong nipis, dibasuh bersih dan ditoskan airnya. Kemudian kepingan ayam diketuk dengan tukul bergerigi tu. Apatah nama dia. Hihi. Isi ayam akan menjadi nipis dan rata sekata.


Di dalam bekas kecil, campurkan sos tiram, sos lada hitam, garam, serbuk lada putih dan serbuk lada hitam. Gaul sebati.

Kalau rasa terlampau rajin, perap jer dengan bbq sos. Hahaha. Atau sos perapan ayam yang boleh dibeli di kedai sejuk beku. Mak Hencik tengok ramai orang berniaga beli sos perapan segera ni tau. Ada yang jenis serbuk juga. Pilihlah nak yang mana. Try dulu. Kalau sedap boleh beli lagi. Kalau tak sedap gi beli yang lain pula nanti. Hahaha


Bancuhan sos lada hitam


Ambil sedikit bancuhan sos lada hitam tadi dan lumurkan di atas setiap kepingan ayam. Sapu di kedua belah kepingan ayam. Perlukan kesabaran juga nak membuat benda alah nih. Kalau rasa penat cepat-cepat mengucap dan beristighfar. Jangan malas tau..buat sampai habis. Bila dan siap, perap seketika. Tapi, kalau nak cepat haa terus bakar sahaja. Aku yang nak makan. Apa ko kesah?! Huhu


Cara Mak Hencik ni senang dan ringkas sahaja. Ambil kuali ajaib ke, kuali mistik ke, kuali leper ke.. apa-apa kuali ler semua boleh kecuali kuali tembus.. kita nak grilled atas kuali jer. 

Kalau nak berniaga, saiz kepingan ayam mestilah sama. Tapi oleh kerana kita masak sendiri, nak makan sendiri bab saiz ni kita boleh ambil lebih kurang. 😀😀



Mula-mula sapu mentega sikit atas kuali. Lepas tu letakkan beberapa ketul ayam. Sekejap jer bakar atas kuali ni. Bila dah bertukar ke warna keperangan, bolehlah dibalikkan kepingan ayam tu. Bila dah masak angkat dan masukkan ke dalam pinggan hidangan. Buatlah sampai habis. 😊😊

Jangan malas-malas. Kalau rasa malas, gi beli kedai dari awal tadi.

Grilled Meatball 



Dok melilau tengok nak beli meatball keluaran Ramly tapi hampa. Jadi Mak Hencik petik yang di atas tu. 👆👆. Ok juga sedapnya. Boleh beli lagi.


Jadi, kita bakar dalam kuali juga bebola daging ni. Selalu balik-balikkan supaya masak sekata dan tak hangus. Dah masak angkat dan masukkan ke dalam pinggan hidangan. 
😊😊

Akhirnya... semua sudah tersedia. Ayam grilled, meatball, brown sause, jagung rebus dan coleslaw epal. Dah boleh menghidang ni. Jommmmmmm..


Inilah hasil masakan kita pada hari ini. Kos yang sangat berpatutan dengan rasa yang sungguh lazat. Setanding dengan masakan kat restoran makanan barat nih. Air pula kita buat jus mangga. 

Jemput, jemput makan semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan