Jumaat, 9 Mac 2018

Ikan Siakap Masak Ala Kaprau Hitam Legam

Selain daging dan ayam, kita cuba masak kaprau ikan pula. Sebab sedapla rasa dia. Mudah sangat. 💓💓


Bila masak ikan kaprau ni, anak-anak datang bertanya. Masak tom yam ke ni? Mereka terhidu bau tom yam yang diperap dengan ikan tu agaknya. Kembang-kuncup hidungnya. Mmm..


RESEPI IKAN SIAKAP KAPRAU YANG MUDAH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

1 ekor ikan siakap
2 sudu besar tom yam paste
3 biji cili hijau - ditumbuk kasar
2 biji cili padi - diketuk
(Resepi asal guna semua cili padi)
3 sudu besar sos cili Thai
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
1/2 cawan air
5 helai daun limau purut
Minyak masak untuk menumis dan menggoreng ikan.

Cara-cara menyediakannya...

Jom jom jom


Langkah 1
Ikan disiang, dibersihkan dan ditoskan. Ambil 2 sudu besar tom yam paste dan sapu pada badan ikan di sebelah dalam dan juga luar ikan. Perap seketika.


Ikan yang sudah disapu dengan tom yam paste.



Mak Hencik masukkan dalam bekas tipuware kedai 2 hengget dan masukkan dalam peti sejuk. Petang karang bila balik kerja kita masak dia.. tunggu ya ikan..

Langkah 2
Goreng ikan siakap dengan api yang perlahan dan minyak yang sedikit supaya isi ikan masak dan bahagian luarnya tidak hangus. Balikkan ikan supaya kedua belah ikan masak dengan baik. Sudah masak ikan goreng, angkat dan toskan minyak. Kemudian masukkan ke dalam pinggan hidangan.

Kulit ikan tu hitam legam la sebab ada paste tom yam agaknya, tapi tak ada rasa hangus. Nasib baik! Phewww...


Langkah 3
Tumbuk kasar lada hijau. Ketuk cili padi. Potong wedges bawang besar Holand.


Langkah 4
Tumis bahan tumbuk, cili padi dan bawang besar Holand.


Langkah 5
Bila bahan tumis sudah layu, masukkan kicap manis dan sos cili Thai. Kacau sekejap kemudian masukkan 1/2 cawan air.


Langkah 6
Masukkan garam dan gula serta daun limau purut yang diramas kasar. Kalau nak ramas manja pun boleh. Hihi. Kacau sehingga pekat kemudian boleh tutup api.


Langkah 7
Tuang kuah pekat yang baru masak tadi ke atas ikan hitam legam yang telah digoreng tadi. Oleh kerana petang ni nak cepat, jadi kepada hiasan bawang goreng dan daun sup hiris, Mak Hencik ucapkan selamat tinggal.

Yok menjamu selera..

Bismillah..

Rabu, 7 Mac 2018

Resepi Sambal Belacan Semangkuk Kecil

Kalau suka sambal belacan, boleh cuba cara paling mudah ini. Dapat semangkuk kecil begini, cukuplah untuk hidangan satu hari. 😍😍


SAMBAL BELACAN SEMANGKUK KECIL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

11 biji cili padi - buang tangkai dan basuh.
1 biji lada hijau
1 biji bawang putih - dibakar
1/4 biji bawang besar Holand - dibakar
1 biji tomato 🍅  - dipotong kiub saiz kecil
1 inci belacan - dibakar
1 1/2 sudu kecil garam
3 sudu besar gula
1/2 biji lemon 🍋
Sedikit air

Cara-cara menyediakannya.


Masukkan semua benda alah yang ada tu dalam pengisar dan kisar sehingga agak-agak lumat. Kalau nak lumat halus pun boleh. Terpulanglah.

Kalau tak nak bakar bawang putih, bawang besar dan belacan pun tak apa. Terus jer blend. Tapi bawang dan belacan yang dibakar ni memberi aroma yang menggoda nafsu makan, menggegar air liur. 👅💦💦💦

Mak Hencik bakar bawang dan belacan dengan cara paling mudah. Mak Hencik cucuk bawang dengan lidi satay yang dibasahkan, kemudian layur atas api gas.

Kalau nak buat banyak, gandakan sahaja bahan-bahannya ya uols. Kalau nak lebih pedas pun tambahlah cili sepedas yang kita mahukan.. biar berasap uols. 😘😘


Isnin, 5 Mac 2018

Kari Ayam Nasi Berlauk

Melepas kerinduan pada nasi berlauk ayam dengan masakan ini. 😍😍


Terima kasih Azy belikan rempah gulai kari ayam dan daging ni di Pasar Machang. Rempah kari ni betul-betul rasa gulai Kelantan.

Kalau uols berkunjung ke Kelantan, bolehlah beli rempah kari cenggini yang biasanya dijual di pasar. Ia dijual secara timbang. Nak berapa ringgit, nanti penjual akan timbang.

Rempah yang dijual bukan hanya kari sahaja tetapi merangkumi pelbagai rempah masakan lain seperti kerutub, kurma, kari ikan, gulai dalca, gulai darat, kuzi, gulai terung dan lain-lain lagi lah. Kita cuma kena sediakan duit sahaja. 😊😊


RESEPI KARI AYAM NASI BERLAUK
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 ekor ayam
4 sudu besar menimbun serbuk kari - dibancuh dengan sedikit air
2 biji bawang putih - dihiris
7 biji bawang merah - dihiris
1/2 inci halia - dihiris halus
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 inci kulit kayu manis
1 cawan santan pekat
3 cawan air
2 biji lada hijau
Garam dan manisan kerek secukupnya.
Sekiranya tiada manisan kerek, boleh ganti dengan gula.
Air asam jawa secukupnya
Minyak untuk menumis

Jom sedia bahan-bahan

Antara bahan-bahan untuk memasak.


Rempah tiga sekawan seperti kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih. 
Bawang putih, bawang merah dan halia hiris.


Serbuk rempah kari dicampur dengan sedikit air


Air asam jawa

Cara-cara menyediakannya


Langkah 1
Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih.


Langkah 2
Tumiskan pula bawang putih, bawang merah dan halia sehingga layu.


Langkah 3
Masukkan pula bancuhan serbuk kari. Kacau seketika sehingga kering air.


Langkah 4
Masukkan pula ayam. Kacau sedikit biar ayam menyaluti kari.


Langkah 5
Apabila air ayam sudah hampir kering, masukkan air asam jawa. Gaul rata.



Langkah 6
Akhir sekali masukkan santan, garam, gula dan lada hijau. Biarkan kuah mendidih merenih sehingga isi ayam masak dan kuah pekat.


Langkah 7
Bila sudah masak, bolehlah tutup api dan hidangkan. Nasi berlauk ayam ni sedap dimakan dengan sambal belacan dan ulam timun.

Bismillah..

Nenek tua suka menganyam,
Datuk pula memburu rusa;
Makan nasi berlauk ayam,
Pastinya sedap memikat rasa.

Ahad, 4 Mac 2018

Nasi Impit Kuah Kacang Satey Ayam Goreng

Sungguh sedap rasanya. Resepi dari mak mentua. Mak mentua pula kata resepi ni hasil ide dari ayah mentua. 😂😂


Asalnya suami Mak Hencik minta Mak Hencik buatkan. Katanya letak daging dalam kuah kacang. Jadi Mak Hencik pun tumis bahan dan masukkan daging cincang. Dah siap dan makan, dia kata bukan macam ni. Bukan macam ni.. Rasa gini 😢😢 juga tau..

Suatu hari selepas Hari Raya Haji, singgah rumah mak mentua. Dia hidangkan nasi impit kuah kacang satey daging goreng. Ooo gini rupanya cara nak menyediakannya.. Lepas tu berhempas-pulaslah Mak Hencik membuatnya terutamanya sebagai juadah Hari Raya. Terima kasih mak.


RESEPI KUAH KACANG SATAY AYAM GORENG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Kuah Kacang

1/2 kg kacang tanah - disangai kemudian dikisar sederhana lumat.
*10 tangkai cili kering - kalau nak pedas, lebihkan.
*4 biji bawang putih
*1 biji bawang merah besar
Bahan bertanda * dikisar halus
2 batang serai - diketuk

**1 sudu kecil jintan manis - disangai
**1 sudu kecil jintan putih - disangai
Bahan bertanda ** ditumbuk halus

2 cawan santan pekat
3 cawan air atau tambah ikut nak kuah banyak mana
Air asam jawa secukupnya
Minyak untuk menumis secukupnya

Bahan-bahan Satay Ayam Goreng

3 ketul isi ayam saiz besar - dipotong kiub kecil
*1 biji bawang putih
*2 biji bawang merah
*1 sudu kecil jintan manis
*1 sudu kecil jintan putih
*1 sudu kecil ketumbar
*1 inci kunyit
*2 batang serai
Semua bahan bertanda * dikisar halus.

1/2 cawan gula
1/4 cawan gula perang
1 1/2 sudu kecil garam

Cara-cara menyediakannya

Mula-mula kita rebus nasi impit. Sambil tunggu nasi impit masak, kita sediakan kuah kacang. Lepas tu kita sediakan satay ayam goreng. Atau seeloknya kita sediakan satay ayam goreng dulu. Perap. Kemudian barulah kuah kacang. Eh eh suka hati laa nak buat yang mana dulu. 😉😉

Jom buat kuah kacang.


Kacang tanah disangai atau digoreng tanpa minyak. Apabila masak, sejukkan dan buang kulitnya.

Kalau ada badang, gosokkan kacang ke badang nanti kulitnya akan tanggal. Lepas tu tampi pulak untuk asingkan kulit dan isi kacang. Berterbangan kulit-kulit kacang tersebut. Tu zaman dulu.. 😁😁 er er badang bukan orang tau. Ia sejenis dulang diperbuat daripada buluh.

Zaman sekarang ni, caranya sangat mudah. Masukkan sajer kacang ke dalam bekas yang ada lubang-lubang kecil. Lepas tu ramas kacang-kacang tu. Nanti kulitnya akan keluar ikut lubang-lubang bekas tu.

Dah siap nanti kisar kacang-kacang tersebut sehingga hancur. Ketepikan dulu.


Sangai jintan manis, jintan putih kemudian tumbuk kasar. Ketepikan.


Cili kering, bawang putih dan bawang merah dikisar halus.


Mula-mula tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.

Kemudian masukkan bahan tumbuk, iaitu jintan manis dan jintan putih.


Lepas tu masukkan kacang kisar.


Tambah santan dan air secukupnya.


Masukkan gula, gula merah dan garam. Masukkan juga serai yang diketuk.


Kacau seketika.


Masukkan air asam jawa. Biarkan kuah mendidih dan mereneh sehingga kuah pekat.

Kuah kacang ni Mak Hencik suka ada rasa manis, masam sikit dan masin sikit. Barulah aummmm..


Dah siap kuah kacangnya. Senang ajer kan. Tutuplah api.

Cara buat satay ayam goreng


Isi ayam dipotong kiub saiz kecil, dibasuh dan ditoskan.


Bahan untuk dikisar seperti bawang putih, bawang merah, kunyit, halia, serai, jintan manis, jintan putih dan ketumbar.


Kisar hingga hancur berkecai.


Isi ayam yang ditoskan tadi dimasukkan ke dalam besen kecil. Kemudian, tuang bahan kisar ke dalam bekas isi ayam.


Masukkan garam, gula dan gula merah. Gaul sebati.


Perap sebentar. Semakin lama kita perap semakin sedap jadinya. Jadi, simpan sekejap dalam peti sejuk.


Keluarkan dari peti sejuk.


 Panaskan sedikit minyak.


Goreng ayam satay sehingga masak atau sehingga garing.



Apabila sudah masak, bolehlah kita masukkan satay ayam goreng ke dalam kuah kacang.  Siaplah kuah kacang satay ayam goreng. Sedia untuk dimakan.


Nasi impit yang telah direbus awal-awal lagi. Kalau nak cepat, gunalah pressure cooker pelbagai fungsi. Kikiki

Jemput makan..

Bismillah