Sabtu, 6 Januari 2018

Yee Mee Sizling ringkas

Mmm.. rasanya boleh tahan sedap. 



Tengok rakan-rakan fb yang membuat yee mee tanpa hot plate, Mak Hencik pun terpengaruh juga. Mak Hencik pun tak ada hot plate ker apa nama tu. Mak Hencik juga gunakan bahan yang mana ada kat dapur jer. Seperti biasa ler. Kicap pekat, kicap masin tak pernah maujud dalam kabinet dapur ku. Semua tu Mak Hencik skip. Ingat! Setiap masakan kita adalah unik! So, no problemo. Hihihi


YEE MEE SIZLING RINGKAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 keping yee mee
3 ketul ayam - dipotong kecil. 
4 ulas bawang putih - diketuk sedikit
5 tangkai cili kering - dibuang biji dan dipotong panjang seinci
2 hiris halia - dihiris halus
1/2 cawan sos tiram
1/3 cawan kicap manis
1 ketul kiub ayam
3 sudu kecil serbuk lada hitam
1500 ml air
6 biji cendawan butang segar - dihiris nipis
Sedikit sawi - dipotong 1 inci panjang ( Mak Hencik tiada stok sawi, Mak Hencik gantikan dengan kobis dan brokoli. Kihkihkih)
3 sudu besar minyak masak untuk menumis
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 1/2 cawan air

Cara-cara membuatnya

Meh ler kita ke dapur..


Ayam dipotong kecil, dibersihkan dan ditoskan.


Antara bahan-bahan yang digunakan


Langkah 1
Panaskan minyak, masukkan bawang putih, halia dan cili kering.


Langkah 2
Bila bahan tumis sudah hampir garing, masukkan ayam. Kacau sekali sekala sehingga isi ayam masak.


Langkah 3
Bila isi ayam sudah masak, masukkan air. Masukkan sos tiram, kicap manis dan kiub ayam. Biarkan sehingga mendidih.


Masukkan serbuk lada hitam. Hampir-hampir jer terlupa. Hehe


Langkah 4
Kemudian masukkan cendawan, brokoli dan bunga kobis. Ya ampunnnn Mak Hencik menderhaka!


Biarkan sehingga mendidih.


Langkah 5
Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau sehingga pekat.


Bila sudah pekat elok dan sedap rasanya bolehlah tutup api.

Cara-cara menghidang



Sediakan yee mee dan telur


Ambil pan atau kuali leper, masukkan 3 senduk kuah sizzling. Buka api.


Masukkan yee mee. Biar dia lembut sedikit. Kalau ada sawi, bolehlah masukkan sekarang. Tapi Mak Hencik dah menderhaka tadi, masukkan sayuq awai-awai lagi. Hihihi


Lastly, pecahkan sebiji telur. Bila dah separuh masak telur tu, tutup api.


Lepas tu pindahkan yee mee sizzling ke dalam pinggan hidangan. Ambil sudu, ambil garpu dan ngappp! Mmm sedap rasanya. Tapi lain kali Mak Hencik nak gi beli hot plate lah. Rasa tak lengkap pula makan yee mee ni tanpa hot plate.


Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

************************

Setelah beberapa hari, Mak Hencik kebetulan pergi Nilai 3 sebab nak beli soap dispenser untuk bilik air. Tiba-tiba anak dara tunjukkan kat satu benda. Omaigod...

Ada 2 pilihan bentuk iaitu bujur dan bulat. Yang bujur rm29 dan yang bulat rm22. 




Mak Hencik pilih yang bulat. Tak tahulah kenapa, kononnya lebih senang nak letak atas dapur karang. Hehe

Cempedak goreng rangup

Puas hati kalau buat sendiri. Bancuh tepung goreng pisang segera dengan sedikit tepung beras dan air. Masukkan sedikit garam. Kacau sebati. Terus boleh goreng.



Susah juga nak membeli buah cempedak ni. Kadang-kadang baunya kuat, bila dibeli dan dikopek di rumah, ada lima enam ulas sahaja. Tak berbaloi dengan harga. Tapi itulah rezeki kita, terima sahajalah. Kalau bernasib baik pula dapat isi yang penuh tersusun. Itulah rezeki kita..

Terima kasih Kak Ani beri kita cempedak nih. Besar ulasnya, manis pula rasanya.

Kak Ani tu adalah jiranku. Selalu bagi pisang, rambutan, durian, petai, lauk-pauk, roti canai, murtabak, pau, laksa, mi goreng, ikan tenggiri, mi kari oiii banyaknya kak... Dan macam-macam lagilah. Terima kasih, kak. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Korang hadow jiran baik cenggitu? Hihihi. Pasti ada juga kan.


RESEPI CEMPEDAK GORENG RANGUP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

20 biji cempedak
1 cawan tepung goreng pisang segera
1/3 cawan tepung beras
1 cawan air
Sedikit garam
Minyak masak untuk menggoreng

Cara-cara menyediakannya

Jom kita menggoreng. Jom


Isi cempedak


Di dalam mangkuk adunan, campurkan tepung goreng pisang segera, tepung beras dan sedikit garam.


Kacau rata dan sebati.


Adunan agak pekat jugalah supaya mudah disalut dengan cempedak. Pandai-pandailah korang ya.


Panaskan minyak yang banyak dan bolehlah menggoreng cempedak. Balikkan cempedak bila sudah masak.


Apabila sudah masak, angkat dan toskan minyaknya.

Teruskan menggoreng cempedak seterusnya sehingga habis.


Masukkan dalam pinggan hidangan.


Bersedia untuk dimakan. Ya ampunnnn sedapnya. Rangup. Manis pula. Isi pun tebal. Ditemani pula dengan teh o panas. Tak sedar dah habis sepinggan. Hihihi. Jemput makan kawan-kawan.

Bismillah

Khamis, 4 Januari 2018

Gulai Kuning Ikan Tongkol

Gulai kuning ikan tongkol sedap dimakan bersama sambal belacan dan ulam-ulaman. Sangat mudah untuk menyediakannya.




Nasi berlauk Kelantan ada pilihan gulai ikan atau gulai ayam atau gulai serati. Gulai ikan sudah semestinya dari jenis ikan tongkol atau nama panggilan penduduk tempatan, ikan aya.

Ada pelbagai cara memasak gulai nasi berlauk. Salah satunya ialah gulai kuning.
Ini adalah gulai kuning yang paling mudah. Paling asas. Tapi kesedapannya tidak dapat dinafikan. Sedap dan memikat rasa.



GULAI KUNING IKAN TONGKOL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

*3 potong ikan tongkol
*2 keping asam gelugur
*1/2 sudu kecil garam atau secukupnya
Bahan bertanda * direbus

**4 tangkai cili kering
**1 biji bawang merah besar
**1 biji bawang putih
**3 hiris lengkuas
**1/2 inci kunyit atau 1 sudu kecil serbuk kunyit
Bahan bertanda ** diikisar halus

4 cawan santan
1 keping asam gelugur
1 biji lada hijau atau lada merah
Garam dan gula secukupnya.

Cara-cara menyediakannya

Jom kita ke dapur. Jom.




Mula-mula kita rebus ikan. Ambil periuk, taburkan sedikit garam, masukkan ikan. Taburkan sedikit garam di atas ikan tadi. Masukkan asa gelugur dan air hampir menenggelami ikan.

Hurm.. merah mata ikan ni. Ko pakai contact lense kan? Huhu


Tutup periuk dan buka api. Biarkan sehingga air hampir kering.


Bila air hampir kering, tutup api.


Antara bahan-bahan untuk memasak.
Kita kisar dulu cili kering, bawang putih, bawang merah, kunyit hidup kalau guna kunyit hidup dan lengkuas.


Di dalam periuk, masukkan santan, bahan kisar, lada merah dan asam gelugur. Kalau tak guna kunyit hidup, bolehlah masukkan serbuk kunyit sekarang. Buka api.


Kacau selalu supaya santan tidak berketul. Sambil tu bolehlah dimasukkan garam dan gula secukupnya. Kacau. Kacau sehingga mendidih.


Apabila kuah sudah mendidih, masukkan ikan tongkol rebus tadi. Kacau berhati-hati supaya ikan tidak hancur.


Biarkan mendidih seketika. Sambil tu bolehlah rasa kejadian gulainya. Tambahlah rasa yang kurang. Biar jadi sedap. Penat-penat masak mestila nak sedap kan.


Apabila rasa sudah sedap, kuah pun sudah pekat elok, bolehlah tutup api.


Hidangkan gulai kuning ikan tongkol kita. Sediakan sambal belacan dan ulam-ulaman. Jemput makan semua..

Bismillah..

Kuih Lompang Lesung Pipit yang mudah dan sedap

Resepi kuih lompang yang menggunakan tepung beras tanpa tepung ubi. Sangat mudah.




Siapa bilang gadis Melayu tak menawan.. tak menarik hati.. tiada memikat..

Gadis Melayu memang menawan, memang menarik hati.. memang memikat.. Apatah lagi yang mempunyai lesung pipit di pipi. Menambahkan manis, menambahkan seri..



Untuk kuih lompang lesung pipit pula, mesti dihiasi dengan kelapa parut untuk menambahkan seri, memikat rasa dan menambah kesedapan. Tanpa kelapa parut, siapalah si kuih lompang...



KUIH LOMPANG LESUNG PIPIT
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Azie Kitchen

Bahan-bahan

2 cawan tepung beras
*1/2 sudu teh kapur makan
*2 sudu besar air
Bahan bertanda * dicampur sebati kemudian ditapis.

**1/2 cawan gula
**1/2 cawan gula merah
**4 cawan air
Bahan bertanda ** dimasak sehingga gula hancur, sejukkan dan tapis.

1 biji kelapa parut dicampur dengan sedikit garam.

Cara-cara memasak

Jom kita ke dapur




Langkah 1
Di dalam mangkuk adunan, masukkan tepung beras, air gula yang telah disejukkan disukat betul-betul 4 cawan dan air kapur yang telah ditapis.




Kacau sehingga rata. Kemudian tapis. Biarkan dulu.
Kalau guna pengukus tradisional, dah boleh panaskan kukusan tu. Kalau guna pengukus elektrik tak apalah sebab dia terus panas.


Langkah 2
Sapu minyak pada acuan lompang. Susun elok-elok di dalam bekas kukusan. Mak Hencik punya pengukus tu bawahnya tidak rata, jadi Mak Hencik masukkan dalam bekas macam kat atas. Idea sendiri jer, tak payah ikutlah. Hehe



Langkah 3
Tuangkan adunan tepung tadi ke dalam acuan dan terus dikukus. Tuang sampai penuh acuan tau. 



Untuk menghasilkan lubang di tengah kuih lompang, Mak Hencik tidak membalut penutup kukusan dengan kain. Mak Hencik biarkan sahaja tidak berbalut. Mak Hencik letak timer 25 minit.



Langkah 5
Bila dah cukup masa, Mak Hencik pun cepat-cepat membuka tudung pengukus. Takut pula tak jadi kuih lompang ni. Sebabnya banyak air berkumpul di tengah-tengah kuih. Takut tak masak pun ya juga. Maklumlah kali pertama buat kuih ni nih. Tapi nampaknya macam jadi.

Keluarkan kuih lompang dari pengukus.


Langkah 6
Air di tengah kuih tadi Mak Hencik buang. Mak Hencik terbalikkan sikit acuan tu.. terus laju air mengalir keluar. Macam tau-tau sahaja kita tak hendak dia kan. Haha



Langkah 7
Kelapa parut yang digaul garam tadi dikukus sekejap supaya tahan lama, supaya tidak mudah basi. Mak Hencik tak tutup pun masa mengukus tadi, terbuka jer dia. Suka agaknya bersauna di dalam pengukus. Pastu keluarkan dari pengukus dan sedia untuk menemani si kuih lompang lesung pipit.





Langkah 8
Bila kuih lompang sudah sejuk, bolehlah dikeluarkan dari acuan. Mmm.. cantik bentuknya. Tak sangka jadi juga kuih lompang Mak Hencik nih. Sukanya. Akhir sekali, Bubuhlah kelapa parut di atasnya atau disalut badannya pun boleh. Mana-manalah yang korang suka..

Bolehlah menjamu selera. Jom makan kawan-kawan..

Bismillah..