Selasa, 1 Jun 2021

Kerabu Pucuk Beko

Lama tak makan lauk tradisi orang Kelantan ni, kerabu pucuk beko. Awak pernah rasa?  Perghhhh sedap sangat. 

Dua ke tiga hari lepas, ada orang yang baik hati bagi kami pucuk beko. Orang yang baik hati tu ialah jiran sebelah rumah kami. Lalu, Pak Hencik minta Mak Hencik buatkan kerabu. Masa tu Mak Hencik dok sibuk bercinta menyiapkan tugasan untuk TTMIP. Jadi Mak Hencik pun dengan lembut gigi dari lidah meminta supaya simpankan dulu.. nanti saya buatkan lah..

Tengahari tadi, bila buka peti sejuk, Mak Hencik tengok memang elok lagi daunnya. 

Awak kenal pucuk beko?

Ni lah daun pucuk beko. Pucuk beko ni boleh dimakan. Selain pucuk, pokok beko ni pun ada buah, iaitu buah beko. Pucuk dan buah beko keduanya boleh dijadikan lauk hidangan untuk dimakan bersama nasi putih.

Jomlah kita buat kerabu pucuk beko.

RESEPI KERABU PUCUK BEKO

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan

2 cekak pucuk beko

1/2 biji bawang merah besar

1 sudu kecil lada hitam - ditumbuk halus

1 cawan santan pekat - didihkan atas api sebentar

2 ekor ikan sardin atau apa-apa jenis ikan yang sesuai - dipanggang kemudian ambil isinya lalu ditumbuk halus

1/2 cawan kelapa parut - disangai kemudian ditumbuk halus.

1 biji limau kerat lintamg. (Mak Hencik guna lemon 🍋 sahaja)

Garam dan gula secukupnya.


Cara-cara menyediakannya.

Jom..jom..jom..


💮Siang daun pucuk beko. Ambil batang dan daun yang lembut sahaja.

💮Basuh bersih. 


💮Masukkan ke dalam periuk dan celur bersama sedikit air dan sedikit garam. Orang kata petua nak kurangkan rasa pahit pucuk beko kena bubuh sedikit garam semasa mencelur.


💮Bila pucuk beko dah layu, matikan api dan angkat. Toskan dan biarkan sejuk.


💮Bila sudah sejuk, perah pucuk beko tu tadi. Selepas itu, dipotong kasar.


💮 Masukkan ke dalam bekas dan Ketepikan 

Seterusnya..


💮Panggang 3 ekor ikan sardin sehingga masak. Tapi guna 2 ekor jer sebab saiz besar dan isi banyak.

💮Bila dah masak, sejukkan dan asingkan isi dengan tulang.


💮Lepas tu tumbuk sehingga lumat. Kalau nak guna pengisar kering pun boleh. Lagi cepat dan mudah.

💮Dah lumat, masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan.

Seterusnya..


💮Goreng tanpa minyak segenggam kelapa parut dengan api perlahan. Kelapa ni perlu dikacau selalu supaya tidak hangus.


💮Bila warnanya sudah berubah keperangan, tutup api. Terus alih masukkan ke dalam mangkuk.
Bukan apa, jika kita biarkan dalam kuali dikhuatiri haba panas dari kuali akan menyebabkan kelapa jadi hangus.


💮Bila dah sejuk sikit, bolehlah kita tumbuk kelapa kering sehingga lumat dan halus, tapi jangan rajin sangat sampai keluar minyak yea.

💮Nak blend kering pun boleh, lagi cepat kerja kita..

💮Dah siap, Ketepikan.


💮Ni pula 1 sudu kecil lada hitam dan bawang merah.

💮Tumbuk lada hitam sehingga lumat diikuti oleh bawang merah. Ketepikan.

Seterusnya..


💮Didihkan 1 1/2 cawan santan. Bila dah mendidih tutup api dan tuang ke dalam bekas. Ketepikan.


💮Ni antara bahan-bahan yang disediakan tadi. Ada santan, bawang dan lada hitam tumbuk, kelapa parut tumbuk dan limau nipis atau lemon. Seeloknya limau kerat lintamg kerana aroma dia perghhhh.. 

💮Ikan bakar tumbuk atau kisar halus jangan dilupa pula..

Operasi seterusnya..


💮Ambil bekas yang berisi pucuk beko tadi.

💮 Masukkan lada hitam dan bawang tumbuk, isi ikan bakar yang ditumbuk halus, garam, sedikit gula dan santan.


💮 Perahkan sebijik atau secukupnya jus limau nipis atau lemon atau limau kerat lintang.


💮Akhir sekali kelapa parut kisar.


💮Gaul hingga rata dan sebati.


💮Dah gaul rata dan sebati, bolehlah rasa. Baiki rasa kerabu sehingga sempurna seperti citarasa masing-masing.


💮 Masukkan dalam mangkuk hidang dan sedia untuk dinikmati dengan nasi putih dan lauk-pauk yang lain.

💮Jemput makan kawan-kawan..

💮 Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan