Isnin, 17 September 2018

Gulai Kuning Ikan Tongkol dengan Belimbing Buluh

Kesian pula kutengok buah belimbing buluh tergolek-terbaring di atas meja. Nampak sangatlah depa kesunyian dan tidak dipedulikan. 😂😂😂



Baik ku carikan mereka pasangan.. Maka tengahari tadi, ku singgah di kedai Acheh untuk membeli ikan dan kelapa parut. Dah sampai di sana, banyak pula barang-barang yang ku beli. Ku beli ikan tongkol saiz sedang seekor, ayam seekor, kelapa parut sebiji, daun salad, daun pegaga dan cili padi. Melayang rm30. 😆😆😆



GULAI KUNING IKAN TONGKOL DENGAN BELIMBING BULUH
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 keping ikan tongkol (boleh tukar kepada jenis ikan lain yang digemari)
3 cawan santan
*1 biji bawang merah sederhana besar
*1 biji bawang putih
*3 tangkai cili kering, kalau nak pedas boleh tambah cili padi
*7 hiris kunyit hidup
*3 hiris lengkuas
Bahan bertanda * dikisar halus
10 biji buah belimbing buluh, dibelah dua
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom.. jom.. jom..



Belimbing buluh ni jiran yang bagi. Terima kasih daun keladi wahai jiranku..

Bila menggulai bubuh belimbing buluh ni, mak kata tak payah letak asam keping dah sebab belimbing buluh ni akan memberi rasa masam.



Mak Hencik potong kiri kanannya kemudian belah dua. Korang potong macammana?



Ikan tongkol dibersihkan dan ditoskan. Tak payah siang dah ikan ni sebab adik kedai Acheh tadi dah siangkan dan siap potong. Mmm.. senang kerjaku..💃💃💃



Bawang merah, bawang putih, cili kering, kunyit dan lengkuas. Bahan ni semua dikisar halus.



Bahan-bahan yang telah siap dikisar halus.



Santan, Mak Hencik guna santan segar.



Langkah 1
Panaskan periuk dan masukkan santan diikuti oleh bahan kisar.

Kacau selalu sehingga kuah mendidih.



Langkah 2
Apabila kuah sudah mendidih, masukkan buah belimbing buluh sambil dikacau supaya kuah gulai tidak berketul.



Langkah 3
Masukkan pula kepingan ikan tongkol. Kacau lagi sambil masukkan garam dan gula jika suka, secukup rasa.



Langkah 4
Kacau sehingga kuah menggelegak dan pekat. Lepas tu bolehlah tutup api.



Kemudian bolehlah dimasukkan ke dalam mangkuk hidang.



Menu makan tengahari hari ini. Menemani gulai kuning ikan tongkol ialah ayam goreng halia bawang putih, udang goreng dengan sawi pendek, ulam pegaga dan budu.

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan