Selasa, 25 September 2018

Kuih Kaswi Pandan yang Gedik

Kuih kaswi pandan ini disedia menggunakan tepung gandum sebagai bahan utama, sedikit tepung ubi dan sedikit tepung beras. Ada yang pernah cuba?




Mak Hencik pernah terbaca mengenai petua membuat kuih kaswi yang sedap ialah dengan memasukkan kapur makan. Kapur makan tau bukan air kapur. Jadi Mak Hencik pun apa lagi.. cubalah..

Bila dah masak, sejukkan dan potong cantik-cantik, salut dengan kelapa bagai diri pun rasa sangat teruja kerana rupanya yang cantik. Bila masuk dalam mulut, alamak!!! Pahit dan rasa kapur yang kuat. Taubat tak nak buat lagi. 😭😭😭

Tapi resepi ni memberi penawar kepada hatiku yang kecewa. Rasa dan aroma pandan yang sedap, lembut secukupnya cuma termanis sedikit. Tapi itu masalah yang boleh ditambah baik. Lain kali kita boleh kurangkan sukatan gula.



RESEPI KUIH KASWI PANDAN
oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Blog Sinar Kehidupanku

Bahan-bahan

1 cawan tepung gandum
1 sudu makan tepung beras
1 sudu makan tepung ubi
2 cawan air pandan (ambil 10 helai daun pandan, potong kecil dan kisar bersama 2 cawan air. Tapis)
1 cawan gula ( akan datang Mak Hencik akan kurangkan sukatan gula kepada 3/4 cawan kerana 1 cawan gula ni terlalu manis bagi Mak Hencik)
1 sudu besar air kapur
1 sudu kecil pandan paste
Sedikit pewarna hijau
Sedikit garam

Bahan salut

1/2 biji kelapa parut putih dicampur dengan sedikit garam

Cara-cara menyediakannya

Jom jom jom



Langkah 1
Ambil acuan yang sesuai, oles dengan minyak masak di dalamnya serta masukkan dalam pengukus. Panaskan acuan dalam pengukus terlebih dahulu supaya kuih mudah dikeluarkan. Mak Hencik tak tutup ya.



Langkah 2
Ambil pengisar, masukkan air daun pandan, tepung gandum, tepung ubi, tepung beras, air kapur, gula, garam, pewarna hijau dan pandan paste. Kisar sehingga sebati.



Langkah 3
Tuang bahan kisar ke dalam acuan di dalam pengukus.



Langkah 4
Letak aluminium foil di atasnya supaya wap air tidak menitis ke dalam kuih.



Kemudian barulah tutup dengan penutup. Kukus selama 30 minit atau sehingga masak.


Langkah 5
Apabila kuih sudah masak, buka penutup dan kukus lagi dalam keadaan terbuka selama 10 minit. Tujuannya supaya kuih kaswi kering dan cantik. Yang keduanya supaya tahan lama.


Langkah 6
Apabila permukaan kuih kaswi sudah kering, keluarkan dari acuan dan sejukkan dulu sebelum dipotong dengan pisau plastik. Guna pisau potong kek tu jer.
😂😂😂



Langkah 7
Sementara menunggu kuih kaswi sejuk, kita kukus kelapa parut putih yang telah digaul dengan sedikit garam dalam keadaan tidak ditutup lebih kurang 10 minit.

Lepas tu angkat.



Langkah 8
Apabila sudah sejuk bolehlah dipotong mengikut bentuk yang disukai.



Langkah 9
Masukkan kepingan kaswi ke dalam kelapa parut dan gaul rata supaya kuih kaswi disalut dengan kelapa parut.



Sudah sedia untuk disajikan bersama keluarga tersayang.

Jemput makan semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan