Badanmu digulung manja, dihiasi parutan cheese di dalamnya.. Rasamu enak sekali!
Sekali-sekala kita ubah resepi mengikut selera kita, terutamanya anak-anak. Gabungan tradisional dan moden ini mempunyai rasa yang memikat selera anak-anak kita. Habis satu hendak dua. Habis dua berebut-rebut pula mereka semua. Kita yang dewasa tersenyum sahaja melihat gelagat mereka.. Teringat zaman kita kecil-kecil dahulu.. Peel dan perangai lebih kurang juga..
Dengan melihat kepada bentuk badanmu wahai lempeng pun sudah menggoda rasa. Juraian keju yang diparut halus mengurai menambahkan keinginan untuk menikmati kelazatan badanmu itu. Oh lempeng gulung cheese ku.. Kau sungguh ayu mempersona, memikat seleraku!
RESEPI LEMPENG GULUNG CHEESE
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila - tak letak pun tak apa
1/2 sudu kecil garam
gula untuk ditabur secukupnya
parutan mozarella cheese untuk ditabur secukupnya
sedikit minyak untuk melengser kuali
Cara-cara menyediakannya
Marilah kita ke dapur..
Langkah 1
Di dalam mangkuk adunan, masukkan tepung gandum, air, telur dan garam. Mak Hencik kacau menggunakan whisk sahaja. Kacau sehingga tidak berketul.
Kalau nak gunakan mesin pengisar pun boleh juga. Kisar sampai hancur dan sebati.
Langkah 2
Panaskan kuali. Lengserkan sedikit minyak supaya lempeng kita tidak melekat pada kuali.
Langkah 3
Ambil satu senduk adunan dan tuang ke dalam kuali.
Langkah 4
Tutup kuali dengan tudung periuk.
Pastikan tudung periuk ni tidak pandai menari. Kalau tidak nanti penat pula kita nak tunggu lempeng masak sebab dok asyik menari. Hihi
Langkah 5
Setelah beberapa minit, agak-agak lempeng dah berwarna kuning keperangan, balikkan lempeng tersebut.
Buruk sangat nampak lempeng Mak Hencik ni. Puncanya apa? Saiz kuali tu terlalu besar, jadi lempeng tidak membentuk bulat. Kuali Mak Hencik banyak dah dieksport ke rumah baru. Mak Hencik guna periuk belanga yang mana ada sahaja. Jadi korang semua boleh gunakan kuali yang sesuai, okey!
Langkah 6
Selepas kita balikkan lempeng tadi, bolehlah kita taburkan cheese dan sedikit gula. Nanti ada rasa lemak-lemak manis. Selepas itu, tutup dengan tudung periuk. Tudung periuk yang tidak pandai menari ya..Hihi
Langkah 7
Selepas beberapa minit, buka tudung periuk. Kita dapati parutan cheese dan gula mencair.
Langkah 8
Sekarang boleh angkat lempeng dan masukkan ke dalam pinggan. Lempeng sedia untuk digulung.
Langkah 9
Gulung lempeng kemas-kemas supaya tidak terbuka.
Ulangi langkah membuat lempeng tadi sehingga adunan habis.
Langkah 10
Itu dia antara lempeng-lempeng yang sudah digulung manja.
Langkah 11
Hiaskan dengan parutan cheese. Sedia untuk dinikmati. Jemput makan semua..
Bismillah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan