Memaparkan catatan dengan label Resepi lempeng. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi lempeng. Papar semua catatan

Sabtu, 4 April 2020

Lempeng Pandan yang Sedap

Bau daun pandan yang wangi membangkitkan rasa lapar di pagi hari.


Walaupun hanya sekadar lempeng biasa, tapi bersyukurlah. Ini sahaja lah rezeki yang ada untuk kita nikmati pada pagi yang indah ini.

Lempeng pandan ini kita padankan dengan kuah kari jimat-cermat. Kenapa ya dipanggil kari jimat-cermat? 😀😀😀

Bertemankan lempeng pandan dan kari jimat-cermat ini pula ialah secawan teh O suam, melengkapkan lagi hidangan pagi pada hari yang bermakna ini.

Semoga Perintah Kawalan Pergerakan ini akan berakhir dengan segera.. Aamiin ya Rab.


RESEPI LEMPENG PANDAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air daun pandan
1 biji telur
2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil pewarna hijau
Sedikit minyak masak atau mentega untuk dilengser pada kuali

Cara-cara menyediakannya. Semudah ABC!



Sediakan air daun pandan. Caranya ialah kita ambil 5 helai daun pandan, potong kasar dan kisar bersama 2 setengah cawan air.

Lepas tu kita tapiskan dia. Ketepikan.


Sediakan sebuah bekas. Masukkan air daun pandan tadi, 2 cawan tepung gandum, pecahkan sebiji telur, masukkan 2 sudu besar minyak masak, 1 sudu besar gula dan 1 sudu kecil garam. Gaul sebati.


Nak bagi cantik, masukkan 1/2 sudu kecil pewarna hijau.

Kacau lagi sehingga tidak ada tepung yang berbintil.


Sediakan minyak masak atau mentega untuk dilengser pada kuali leper.

Panaskan kuali leper. Lengserkan dengan minyak masak atau mentega.


Ambil 1 senduk bancuhan lempeng dan masukkan ke dalam pan leper.


Pegang tangkai kuali dan pusingkan supaya bancuhan tepung mengalir ke serata pan.


Tunggu sehingga lempeng bertukar warna sepenuhnya seperti di atas☝️.

Kemudian, balikkan dia.

Tunggu lagi sehingga lapisan bertukar ke warna perang-perang sikit, barulah boleh diangkat.


Masukkan ke dalam pinggan.

Buatlah sampai habis.

Kemudian kita buat kuahnya pula. Walaupun kuah kari ni hasil jimat-cermat, tetapi rasanya sedap juga sebab kita bubuh serbuk cukup rasa Maggi. Jangan kata Mak Hencik tak payung!! 😀😀

Jom teruskan.


KARI DAGING JIMAT-CERMAT
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 ketul kecil daging lembu (sebab tu lah namanya jimat cermat, guna 3 ketul jek 😀😀😀)
1 biji bawang putih
3 biji bawang merah kecil
1/2 inci halia
1 biji lada besar hijau - dipotong serong
3 cawan air
3 sudu besar serbuk tempah kari daging - dibancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu kecil serbuk cukup rasa maggi
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
(garam, gula bubuh secukup rasa)
1 biji ubi kentang dipotong dadu
1 tangkai daun kari
Sedikit air asam jawa

Cara-cara membuatnya.


Daging dibasuh bersih. Ambil 3 ketul jer. Daging yang selebihnya tu nak dibuat lauk untuk tengahari nanti.

Bukan apa.. Musim ni kena hadkan nak keluar ke pasaraya. Kadang-kadang daging habis pun ada juga.


Kentang dipotong dadu.


Bawang putih, bawang merah dan halia.


Tumbuk bawang putih dan halia, diikuti oleh bawang merah sehingga hancur.


Sediakan 3 sudu besar serbuk rempah kari daging yang dibancuh dengan 1/2 cawan air.


Sediakan air asam jawa secukupnya.

Cara memasak.


Panaskan 3 sudu besar minyak dan tumiskan bahan tumbuk bersama lada besar yang di potong serong.

Tumis sehingga layu dan berwarna kekuningan.


Lepas tu masukkan bancuhan rempah kari. Kacau sehingga kering.


Apabila telah kering, masukkan daging dan kentang yang dipotong dadu.

Masukkan daun kari dan air asam jawa secukupnya.
Kacau sehingga sebati dan rata.


Masukkan pula 2 cawan air.


Masukkan pula bahan perasa sesedap rasa. Kalau tak salah, Mak Hencik bubuh 1 sudu kecil garam, 1 sudu kecil serbuk perasa Maggi dan 1 sudu besar gula. 


Biarkan kuah mereneh dan menjadi pekat sedikit.


Bila kuah sudah pekat, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api.


Bolehlah dihidangkan bersama lempeng pandan.

Sedia untuk dinikmati.

Bismillah..

Isnin, 4 Disember 2017

Lempeng Gulung Cheese yang Sedap

Badanmu digulung manja, dihiasi parutan cheese di dalamnya.. Rasamu enak sekali!


Sekali-sekala kita ubah resepi mengikut selera kita, terutamanya anak-anak. Gabungan tradisional dan moden ini mempunyai rasa yang memikat selera anak-anak kita. Habis satu hendak dua. Habis dua berebut-rebut pula mereka semua. Kita yang dewasa tersenyum sahaja melihat gelagat mereka.. Teringat zaman kita kecil-kecil dahulu.. Peel dan perangai lebih kurang juga..



Dengan melihat kepada bentuk badanmu wahai lempeng pun sudah menggoda rasa. Juraian keju yang diparut halus mengurai menambahkan keinginan untuk menikmati kelazatan badanmu itu. Oh lempeng gulung cheese ku.. Kau sungguh ayu mempersona, memikat seleraku!


RESEPI LEMPENG GULUNG CHEESE
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila - tak letak pun tak apa
1/2 sudu kecil garam

gula untuk ditabur secukupnya
parutan mozarella cheese untuk ditabur secukupnya
sedikit minyak untuk melengser kuali

Cara-cara menyediakannya

Marilah kita ke dapur..

Langkah 1
Di dalam mangkuk adunan, masukkan tepung gandum, air, telur dan garam. Mak Hencik kacau menggunakan whisk sahaja. Kacau sehingga tidak berketul.

Kalau nak  gunakan mesin pengisar pun boleh juga. Kisar sampai hancur dan sebati.

Langkah 2
Panaskan kuali. Lengserkan sedikit minyak supaya lempeng kita tidak melekat pada kuali.

Langkah 3
Ambil satu senduk adunan dan tuang ke dalam kuali.



Langkah 4
Tutup kuali dengan tudung periuk. 

Pastikan tudung periuk ni tidak pandai menari. Kalau tidak nanti penat pula kita nak tunggu lempeng masak sebab dok asyik menari. Hihi

Langkah 5
Setelah beberapa minit, agak-agak lempeng dah berwarna kuning keperangan, balikkan lempeng tersebut.

Buruk sangat nampak lempeng Mak Hencik ni. Puncanya apa? Saiz kuali tu terlalu besar, jadi lempeng tidak membentuk bulat. Kuali Mak Hencik banyak dah dieksport ke rumah baru. Mak Hencik guna periuk belanga yang mana ada sahaja. Jadi korang semua boleh gunakan kuali yang sesuai, okey!

                            
Langkah 6
Selepas kita balikkan lempeng tadi, bolehlah kita taburkan cheese dan sedikit gula. Nanti ada rasa lemak-lemak manis. Selepas itu, tutup dengan tudung periuk. Tudung periuk yang tidak pandai menari ya..Hihi

Langkah 7
Selepas beberapa minit, buka tudung periuk. Kita dapati parutan cheese dan gula mencair.

Langkah 8
Sekarang boleh angkat lempeng dan masukkan ke dalam pinggan. Lempeng sedia untuk digulung.




Langkah 9
Gulung lempeng kemas-kemas supaya tidak terbuka.

Ulangi langkah membuat lempeng tadi sehingga adunan habis.

Langkah 10 
Itu dia antara lempeng-lempeng yang sudah digulung manja. 


Langkah 11
Hiaskan dengan parutan cheese. Sedia untuk dinikmati. Jemput makan semua..

Bismillah..

Selasa, 21 November 2017

Lempeng Bondaku yang Sangat Lembut dan Mudah disediakan

Aroma wangi lempeng yang dimasak oleh bonda memang satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang usia.

Pagi-pagi lagi bila celik sahaja biji mata, tanpa sempat membasuh muka, dengan sisa-sisa tahi mata (hihihi) terus menuju ke dapur. Tengok-tengok bonda sedang tekun membuat sarapan pagi.

Pada zaman itu, kedai makan sangat sedikit. Nak ke kedai makan pula agak jauh di pekan atau bandar kecil. Jadi, setiap pagi bonda akan menyiapkan sarapan. Apa-apa sahaja hidangan yang disediakan oleh bonda adalah hidangan istimewa, walaupun nampak tidak seberapa. Mana-mana hidangan istimewa pastilah lazat rasanya tidak terhingga...




RESEPI LEMPENG BONDAKU
oleh Dapur Cempakasari 

Bahan-bahan

2 cwn tepung gandum
2 1/2 cawan air
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
1/2 sudu kecil garam
sedikit minyak untuk melengser kuali


Cara-cara Menyediakannya.

Meh ler kita..

Langkah 1
Di dalam sebuah besen kecil, campurkan semua bahan kecuali minyak masak. Nak guna baldi kecil pun boleh asalkan bersih. Sanggup ke? Hehe Gunalah bekas yang sesuai.

Langkah 2
Gunakan whisk dan kacau menggunakan tangan. Exercise lengan sikit kita hari ni ya.


Langkah 3
Kacau sehingga membentuk adunan yang licin. Kalau berketul-ketul, kacaulah lagi. Kacau sehingga tidak berketul.

Langkah 4
Sediakan sedikit minyak masak dan berus untuk melengser. Kalau korang ada daun pandan, boleh gunakan sebagai berus juga. Lebih asli, lebih ori! 


Langkah 5
Panaskan kuali dan lengserkan minyak masak menggunakan berus tadi.


 Langkah 6
Ambil senduk dan ceduk adunan tadi. Dengan penuh kasih-sayang, tuang ke dalam kuali.




Langkah 7
Biarkan seketika. Api adalah sederhana besar sahaja.

Langkah 8
Apabila sudah hampir kekuningan, balikkan lempeng tersebut.

Langkah 9
Apabila lempeng kita sudah nampak menggelembung, bolehlah dibalik lagi sekali. Tengok keadaannya adalah sudah masak elok atau tidak.

Langkah 10 
Beginilah rupa lempeng kita. Mak Hencik suka tengok bintik-bintik hitam itu. Menaikkan seri lempeng Mak Hencik. Sedang elok sahaja. Tidak terlalu garing.




Langkah 11
Tu diaaaaa!! Dah masak, angkat dan masukkan ke dalam pinggan. 

Untuk lempeng yang kedua, lengserkan minyak. Masukkan sesenduk adunan lempeng dan biar seketika. Selepas itu, balikkan lempeng. Tunggu seketika sehingga dia menggelembung. Balikkan untuk tengok dah masak elok seperti yang kita kehendaki. Kemudian bolehlah diangkat dan dimasukkan ke dalam pinggan.

Ulang lagi kaedah tersebut lagi, lagi dan lagi sehingga adunan lempeng kita habis..


Langkah 12
Hari ini Mak Hencik makan lempeng yang lembut dicicah dengan Sambal Ikan Bilis yang rasanya pedas-pedas manis. Mmmm....Sedapnyerrr...
 
Bismillah..