Jangan bazirkan nasi lebih! Mari buat kuih apam nasi yang gebu ini.
Kuih tradisional kini sudah pun mendapat tempat di hati kita semua. Rasanya juga sedap dan enak dimakan tanpa mengira waktu dan ketika. Hidangan ini boleh diletakkan di meja utama sebagai pencuci mulut di jamuan dan kenduri-kendara. Maklumlah selera kita ni sentiasa berubah-ubah dan berbeza-beza.. Sekejap hendakkan yang moden, sekejap hendakkan yang lama.. Jadi, bila dah ada yang baru, yang lama jangan dilupa..
Begitulah juga dengan kuih apam nasi yang disajikan hari ini. Lebihan nasi semalam kita boleh gunakan untuk membuat kuih ini. Kemudian boleh pula kita kongsikan dengan jiran tetangga. Sama-sama merasa.. Silap-silap haribulan mereka minta resepi dengan kita. Hahhh apa lagi. Berikan sahaja. Supaya semua gembira belaka..
KUIH APAM NASI YANG GEBU
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
(menghasilkan 32 biji)
2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
3 cawan air
1 sudu besar yis segera
sedikit pewarna hijau dan merah jika suka
kelapa parut dan sedikit garam
sedikit minyak untuk disapu pada acuan
Cara-cara membuatnya
Maila kita ke dapur..
Langkah 1
Masukkan nasi, air, gula, sedikit garam, tepung gandum, tepung beras dan yis segera ke dalam mangkuk adunan. Kacau menggunakan whisk.
Langkah 2
Kisar bahan-bahan yang ada di dalam mangkuk adunan sehingga hancur.
Tips : Kalau nak senang, campurkan semua bahan di dalam mesin pengisar dan kisar hingga hancur. Kisar sampai hancur tau..
Langkah 3
Ini dia rupa adunan yang telah hancur. Nampak licin sahaja. Flawless giteww..
Langkah 4
Ambil penutup dan tutup mangkuk adunan yang berisi adunan kita tadi. Biarkan 2-3 jam sehingga adunan naik berbuih.
Mak Hencik pula, selepas tutup adunan terus bersiap untuk keluar jalan-jalan.
Langkah 5
Sampai-sampai di rumah, Mak Hencik pun buka penutup. Beginilah rupa adunan yang kita tinggalkan tadi.
Mak Hencik bahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian dibiarkan tanpa warna untuk dapatkan warna putih. Satu bahagian diwarnakan merah dan satu bahagian lagi diwarnakan hijau. Terpulanglah pada korang nak letakkan warna apa.
Langkah 6
Sementara itu, acuan lompang kita sapukan dulu dengan sedikit minyak supaya nanti kuih apam nasi kita mudah dikeluarkan.
Korang boleh guna acuan yang korang suka ya.. bentuk bulat ke, lonjong ke, empat segi ke, bentuk love ke..
Langkah 7
Bolehlah kita menuangkan adunan ke dalam acuan. Mak Hencik rasa bubuh penuh lagi cantik apam nasi kita.
Kalau guna pengukus atas dapur, dah bolehlah panaskan pengukus tu sementara kita tuang-menuang ke dalam acuan. Mak Hencik guna pengukus elektrik, jadi tak payahlah nak panaskan dulu pengukus. Sebab dia terus panas nanti. Baik korang beli satu, senang tau nak mengukus. Chewahhh! mengempen pula Mak Hencik nih. Hihihi. Tapi betul senang tau guna pengukus elektrik ni.
Langkah 8
Letakkan di atas pengukus. Balut penutup dengan kain supaya air tidak menitis ke atas kuih apam nasi kita.
Mak Hencik letak timer 25 minit.
Langkah 9
Ini rupa kuih semasa Mak Hencik kenyit-kenyit biji mata nak tengok pada minit ke 15. Nampak macam nak jadi kuih kita ni.
Langkah 10
Ting!!! Cepat-cepat Mak Hencik ke dapur menjenguk apam nasi kita. Nampaknya apam nasi kita sudah pun masak.
Langkah 11
Kita keluarkan apam nasi dan masukkan ke dalam bekas yang sesuai.
Apam nasi ni sangat sedap dimakan dengan kelapa parut. Jadi kena la sediakan kelapa parut.
Langkah 12
Kelapa parut tu kita campurkan dengan sedikit garam. Gaul rata.
Nak bagi kelapa parut tahan lama, kita kukus 5 -10 minit.
Langkah 13
Hidangan apam nasi dengan kelapa parut sudah siap disediakan. Sedap dimakan dengan kopi O sebagai menu sarapan pagi atau minum petang. Jemput makan..
Bismillah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan