Ahad, 26 Mei 2024

Ayam Masak Kicap Lada Hitam yang sangat sedap

Anak-anak tak suka makan ayam bahagian isi?! Dada ayam banyak tapi tak tau nak masak apa?! Cuba masak resepi ni.. ayam, kicap dan lada hitam. 

Makan pula dengan nasi putih panas-panas. Pasti aummmm!! Maunya habis sepinggan penuh.. tak pun dua pinggan, licin tak berbaki. 


Ayam Kicap Lada Hitam

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan

1 ketul dada ayam bahagian isi - hiris nipis

1 biji bawang merah besar saiz sedang 

2 ulas bawang putih

2 hiris halia

(Bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk/dikisar)

2 sudu besar cili kering kisar

1/2 cawan kicap manis

2 batang serai - diketuk

1/2 biji bawang besar - dihiris kasar

1 - 2 tangkai lada hijau besar

1 sudu kecil sos tiram

1/2 sudu kecil serbuk lada sulah

1/2 sudu kecil serbuk lada hitam

1 biji tomato - dibelah empat/enam, ikut sesuai

Garam, gula merah dan serbuk pati ayam

1/2 cawan air

Sedikit minyak untuk menumis


Jom.. jom kita ke dapur.


Cara menyediakannya


💟 Isi ayam dihiris nipis. Basuh bersih dan toskan. 

Kalau nak gantikan dengan daging atau seafood pun sedap. Ikut suka hangpa la nak bubuh apa, takde masalah.


💟Bawang merah besar, bawang putih dan halia ditumbuk kasar.

Kalau nak guna chopper ke.. blender ke.. nak cincang guna pisau pun boleh. Ikut suka hangpa la.. takde masalah.


💟Panaskan sedikit minyak.

💟Tumis bahan yang ditumbuk bersama 2 sudu besar cili kering kisar. Kacau sehingga bahan tumisan masak dan berbau wangi.


💟 Pastu masukkan isi ayam. Gaul rata.


💟Masukkan kicap manis.


💟Masukkan setengah cawan.


💟 Masukkan bahan perasan seperti garam, gula merah, serbuk perasa ayam, serai yang diketuk, cili besar hijau yang dihiris, bawang besar hiris, tomato hiris dan sos tiram.


💟Mak Hencik tambah kicap lagi sikit sebab tak hitam hi3.


💟Kacau sekali-sekala. Biarkan mereneh dan pekat. Bila dah pekat kuahnya, bolehlah diangkat. 


💟 Masukkan dalam pinggan hidang.


💟Bolehlah dimakan bersama lauk-pauk lain.

Kalau nak makan lauk ni sajer pun ok. Takde masalah. Ikut suka hangpa laa. 
😁😁😁

Jom makan kawan-kawan. Bismillah..


Sabtu, 25 Mei 2024

Cekodok Jagung Yang lembut dan sedap

 Cekodok jagung?! Lembut di dalam, rangup di luar.

Kalau ada jagung, pastu tak tau nak buat apa.. bolehlah buat cekodok ni. Ada orang panggil cucur jagung, ada pula panggil jemput-jemput jagung.. haaa korang panggil apa? Ada nama lain tak?

Kesahnya jagung ni dibawa oleh anak-anak buah dari Cameron Highland. Semalam mereka pergi melawat kawasan untuk program Kem Kokurikulum. Pagi ni, dengan senyum manis sampai ke telinga si Lydia bawakan jagung-jagung ni.. tanda kasih-sayang dari team katanya. Intan, Pojan the driver, Ielah, Lydia, AC, Husna Sakura.. Terima kasih, team. You are always marvellous!

Jom buat cekodok jagung.



CEKODOK JAGUNG 

Oleh Dapur Cempakasari 


Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum

1/2 cawan tepung goreng ayam 

1 sudu kecil garam

1 sudu besar gula

1 sudu kecil baking powder 

1/2 sudu kecil serbuk yis

1 batang jagung - dihiris halus

1 cawan air atau secukupnya

Minyak masak untuk menggoreng


Cara-cara membuatnya.


🎊Jagung dihiris halus. Nak hiris besar pun tiada masalah. Ikut suka hangpa laa.
Ketepikan.


🎊Dalam bekas hijau, masukkan 2 cawan tepung gandum, 1/2 cawan tepung goreng ayam, sedikit garam, 1 sudu besar gula, 1 sudu kecil baking powder, 1/2 sudu kecil yis segera dan air. 

🎊Air masuk sikit-sikit sambil kacau dengan senduk kayu ke, senduk besi ke, apa jenis senduk nak guna takde masalah. Ikut suka hangpa la.

🎊Adunannya mesti pekat dan boleh disudukan membentuk bulat, tak jatuh meleper sangat.

🎊Biarkan adunan dalam 15 minit.


🎊Bila nak goreng, masukkan jagung hiris tadi. Gaul sampai sebati.


🎊Panaskan minyak masak.

🎊Sudukan ke dalam minyak panas. Gorengla sampai masak.


🎊Siap goreng, toskan minyak.

🎊Bolehlah makan. Buatlah air teh ke teh o ke Horlicks ke Milo ke.. apa jenis air takde masalah. Ikut suka hangpa laa.

Jom kawan-kawan.. Bismillah..



Khamis, 23 Mei 2024

Resepi Laksa Siam yang mudah dan sedap

Nampak pelik?! Jangan buruk sangka. Cuba rasa dulu baharu tahu langit itu tinggi atau rendah! Enak atau sedap?



LAKSA LEMAK ALA THAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg laksa Siam atau jika tiada 
1 paket laksa kering (jenis yang paling halus) 

1 kg ikan kembung / selayang - direbus dan dikisar dengan sedikit air

10 biji cili padi merah* jika suka pedas. Kalau tidak suka, 2 sudu besar cili kisar yang digunakan sudah memadai.
10 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
4 batang serai* (2 dikisar, 2 diketuk)
2 inci lengkuas*
2 inci halia*
2 inci kunyit*
Belacan*

Nota: Bahan bertanda * untuk dikisar. Belacan tu taknak bubuh pun takpe.

2 sudu besar cili kisar
2-3 tangkai daun pudina
2-3 helai daun limau purut
1 kotak santan 200ml)
Air secukupnya

Bahan Ulaman

Daun pudina
Daun salad
Taugeh
Daun samak /pucuk janggus (kalau ada)
Timun

CARA-CARA

Ini cara nak membuatnya, memang senang sangat.

Jom... Jom kita ke dapur dan mulakan operasi memasak.


1. Rebus Ikan

Mula-mula, rebuskan 1 kg isi ikan kembung atau selayang. Bila dah masak, biarkan sejuk sedikit dan asingkan isinya daripada tulang.

Kalau tak nak kuah berwarna gelap, jangan ambil air tulang ikan ya. Nanti jenuh nak tambah serbuk kunyit bagi kuahya kuning.


2. Kisar Bahan tumisan seperti bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, lengkuas dan serai.


3. Lepas itu boleh panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan tumisan yang dikisar tadi bersama 2 sudu besar cili kisar.

Kacau sampai naik bau. Pastikan cili kisar betul-betul masak


4. Bila bahan tumisan sudah betul-betul masak, masukkan isi ikan yang telah dikisar awal tadi. 

Jika kurang kuning, boleh tambah sedikit serbuk kunyit.


5. Masukkan asam keping, daun pudina, daun limau purut yang diramas sedikit dan serai yang diketuk.


6. Masukkan santan dan kacau sekejap. Lepas itu boleh masukkan air secukupnya. Agak-agaklah supaya kuah tak terlalu pekat atau terlalu cair.


7. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa, jika suka.

Masak sampai mendidih sambil dikacau. Ingat, kena kacau selalu supaya kuah tak berketul-ketul. 


8. Bila kuah sudah menggelegak, kepekatan kuah sudah menepati kehendak, rasa pun sudah menepati selera, boleh tutup api.

Kuah laksa siam sudah masak, sudah siap.


6. Lengkapkan hidangan dengan ulaman seperti kacang panjang, timun, tauge, bunga kantan, daun pudina dan daun salad.


7. Laksa siam yang siap dijual di pasar. Kepada yang tiada, boleh beli secara dalam talian atau boleh rebus laksa halus.

Sekilo laksa halus ni boleh dimakan oleh 10 orang.


8. Sudah boleh dihidangkan untuk menjamu selera.

Jom kawan-kawan.. bismillah..

Isnin, 20 Mei 2024

Roti Puri

 Roti puri sedap dicicah kuah kari, sesuai untuk sarapan pagi dan minum petang. Untuk 'supper' pun boleh, tiada masalah jika kita suka.

Paling sedap kalau suka kari kambing, memang tak boleh bawa bincang ler. Lepas cicah, cicah. Lepas cicah, cicah.

Cicah kari ayam pun sedap. Cicah kari ikan tenggiri pun sedap. Hurmmm.. semua sedap nampaknya.

Hari ni Mak Hencik buat Roti Puri cicah dengan kari ayam, isi ayam tu kisar hancur dan dimasak kari.

Jom masak..


RESEPI ROTI PURI

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan

4 cawan tepung gandum

1 cawan air panas mendidih

6 sudu besar minyak masak

1 sudu kecil garam

4 sudu makan gula

1 sudu keci yis segera

Air secukupnya

Minyak masak untuk menggoreng


Cara-cara membuatnya.

Jom.. jom kita ke dapur.


🫶Satukan tepung gandum, minyak masak, gula, yis dan garam dalam bekas. Gaul hingga sebati dan berderai.


🫶Masukkan secawan air panas mendidih.

🫶Gaul menggunakan sudip. Hati-hati kerana sangat panas.

🫶Bila dah sejuk sikit, baharulah digaul guna tangan.

🫶Gaul sehingga membentuk adunan.


🫶Begini la lebih kurang rupa adunan yang siap diuli.


🫶Canaikan adunan. Bahagikan kepada 12 bahagian. 


🫶Bulat-bulatkan doh sebesar bola ping pong.
🫶Ambil sebji bebola, canai nipis menggunakan torak.


🫶Panaskan minyak.
🫶Pastikan minyak betul-betul panas, baharulah masukkan adunan yang dicanai tadi.


🫶Simbahkan minyak ke atas adunan tadi sehingga ia gelembung


🫶Teruskan simbah sehingga ia gelembung cantik dan keperangan.

🫶Kemudian, bolehlah dibalik supaya ia masak sekata 


🫶Dah masak, angkat dan toskan minyak.

🫶Bolehlah nak cicah dengan kuah kari ni..

🫶Jom makan.. bismillah 



Isnin, 13 Mei 2024

Tips Sukatan Masak Kenduri

 Tak tau nak agak nak masak banyak mana untuk 10 orang makan? 50 orang makan? 100 orang makan?

Ini tipsnya.. semoga bermanfaat buat semua, teristimewanya untuk kakak-kakak, adik-adik, abang-abang, mak-mak.. yang nak buat open house, kenduri-kendara, majlis makan kecil-kecilan bersama keluarga dan sebagainya..

Dari page Facebook peminat resepi.

1. Beras biasa- 1 kg 10 orang

2. Beras basmathi- 1 kg 12 orang

3. Daging lembu/kerbau/kambing- 1kg 10 orang

4. Ayam- ikut potong berapa. Contoh- seekor potong 16. Kalau 100 org mkn, 7 ekor cukup

5. Mee 1 peket-6 orang

6. Mihun 1 peket 350gm- 8 orang

7. Kuah- 1 liter 4 orang

8. Spagetti 1 peket 8 orang

9. Pulut 1kg 12 orang

Ini cuma anggaran sahaja. Terpulang kalau nk buat lebih. Yang penting jangan membazir.


kredit Rafeza Abd Razak

Sabtu, 20 Januari 2024

Bakwan Sayur Tok Wan

Bakwan Tok Wan.. pahala dikongsi bersama..

Bakwan atau tepung dibancuh dengan air dan dicampur dengan sayuran enak dimakan panas-panas di waktu petang. Di luarnya garing dan rangup bila dimakan panas-panas. Di dalamnya pula lembut. 



RESEPI BAKWAN TOK WAN

Oleh Dapur Cempakasari

Sumber resepi : Chanel YouTube Tok Wan


Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum

1/2 cawan tepung ubi

1/2 cawan tepung beras

2  cawan air

1 sudu kecil garam

1/2 sudu kecil yis segera

1 sudu kecil serbuk perasa

Sedikit karot - disagat

Daun bawang - dipotong kasar

Bawang merah - dihiris kasar

Lads merah besar - dibelah empat dan dipotong kasar.

3 batang sosej - dipanggang, dibelah dua dan dipotong kasar


Cara membuatnya.

Jom... Ke Dapur!


Bahan sayuran yang dipilih seperti karot, bawang merah, daun bawang, lada merah besar dan sosej yang telah dipotong.



Masukkan tepung gandum, tepung ubi dan tepung beras.


Gaul rata.


Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit. Gaul sehingga rata.


Panaskan minyak.
Bila minyak sudah panas, sendukkan bancuhan tepung ke dalam kuali.


 Bila dah masak, balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata.


Bila dah berwarna keperangan, angkat dan toskan minyak.

Ulangi proses menggoreng sehingga habis.


Hasil menggoreng hari ini.

Hidangan yang sudah sedia untuk dinikmati. 

Jemput makan kawan-kawan.

Bismillah..

Rabu, 1 November 2023

Wadey atau Vadai yang Mudah

Pilihan kuih bergoreng yang rangup di luar dan lembut di dalam

Sedap dimakan ketika masih panas. Nak buat pun mudah. Sebahagian menyebutnya wadey dan sebahagian yang lain  menyebutnya vadai. Awak semua sebut apa?


VADAI atau WADEY
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan kacang dhal
1 biji bawang merah besar -dicincang
2 biji cili besar hijau - dicincang
2 tangkai daun kari - dihiris halus
2 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk perasa, jika suka

Minyak masak untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya

Jom..jom kita ke dapur


Rendam kacang dhal semalaman. Kemudian basuh bersih dan toskan.


Kisar halus kacang dhal tadi. Masukkan ke dalam bekas.


Dalam bekas berisi kacang dhal tadi, masukkan bawang merah besar cincang, lada besar hijau cincang, daun kari yang dihiris nipis, garam dan perasa.


Gaul rata.


Bentukkan bulat dan tekan nipis. Kalau berderai, tekan kuat sikit.


Panaskan minyak. Bila dah panas, gorenglah vadai sehingga keperangan.

Bila dah masak, angkat dan toskan minyak.


Hidangkan. Sedia untuk kudapan petang.

Jemput makan semua sahabat, bismillah..