Selasa, 17 September 2019

Sup Petola Harta Karun

Meriah dengan pelbagai aneka harta karun.. Hirup dengan kuahnya pula. Sedap bagai nak luruh jantung!

😂😂😂




Sup harta karun ni Mak Hencik masukkan sayur petola sebab rasanya dah lama juga dia bermastautin dalam peti sejuk. Kalau suka boleh sahaja nak masukkan mana-mana sayur yang sesuai seperti cendawan, sawi, kobis, brokoli bunga kobis, ketiak jagung dan lain-lain lagi.



SUP PETOLA HARTA KARUN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji buah petola, dibuang sisi tajam dan dipotong serong

5 ulas bawang putih, dihiris
3 ulas bawang merah, dihiris
1 biji lada besar hijau atau merah
Segenggam ikan bilis

5 cawan air
1 ketul kiub ayam
3 sudu kecil garam
5 sudu kecil gula

Cara-cara membuatnya

Mula-mula kita sediakan bahan dahulu.



Sayur petola yang telah disiang dan dipotong serong. Basuh bersih kemudian toskan.



Aneka bebola harta karun. Pilihlah yang mana kita suka.

Ini 👆👆 adalah antara lebihan selepas buat steam boat tempohari.

Jom kita memasak pula..



Langkah 1
Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang putih, bawang merah dan segenggam ikan bilis.



Langkah 2
Bila bahan tumis sudah berwarna keperangan, masukkan air.



Langkah 3
Bila kuah sudah mendidih, masukkan kiub ayam, garam dan gula secukupnya



Masukkan juga sayur petola.



Langkah 4
Tunggu sehingga sayur petola separuh masak, baharulah kita masukkan segala harta-karun.

Kacau sekali sekala dan biarkan  semua bahan masak sepenuhnya.



Bila sudah masak, tutup api.



Hidangkan dalam mangkuk yang sesuai. Yang pasti jangan dibubuh dalam mangkuk ayun. 😂😂😂

Jom kita menjamu selera. Nak makan bersama nasi putih sedap. Nak makan dan ratah sup ni sahaja pun sedap dan kenyang sebab banyak tu harta karun yang boleh dikutip. 😂😂😂

Bismillah..

Isnin, 16 September 2019

Salad buah-buahan yang sangat sedap

Tak cuba rasa tak tau kesedapannya. Dah cuba rasa baharulah tahu tingkat kesedapannya. Haaaa.. Amacam?



Rasa masam-masam manis. Eyewwww.. Sedapnya. 

Resepi ni Mak Hencik telah ubahsuai ikut citarasa anak tekak sendiri. Biasanya kita masukkan yogurt dan mayonnaise sahaja, tetapi kali ini Mak Hencik tambah sedikit susu pekat manis dan sedikit jus lemon. Rasanya terbukti bertambah sedap dap dap dap.. Urmmm.. Dapnya! 


RESEPI SALAD BUAH-BUAHAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji jambu batu
2 biji epal merah
2 biji buah lai
1 tangkai buah anggur merah

2 bekas kecil yogurt perisa asli
2 sudu besar susu pekat manis
1/2 biji lemon, ambil sedikit jusnya
3 sudu besar mayonnaise atau secukupnya
Sedikit garam

Cara-cara menyediakannya


Susu pekat manis (menyorok dalam peti sejuk), mayonnaise, yogurt perisa asli dan lemon.


Buah-buahan. Pilihlah buah yang digemari. Mak Hencik pilih buah yang ada dalam peti sejuk Mak Hencik.
😬😬😬


Buah-buahan tu dibasuh bersih, di buang kulit dan dipotong dadu. Buah anggur tu biarkan sebiji-sebiji.


Tuang yogurt di dalam bekas yang mengandungi buah-buahan yang telah dipotong dadu dan buah anggur tu.


Kemudian masukkan mayonnaise dan susu pekat. Akhir sekali perah jus lemon.


Gaul sehingga sebati. Kalau tak cukup masam, tambahlah jus lemon. Kalau tak cukup manis, tambahlah susu pekat.

Dah siap gaul segala, masukkan ke dalam peti sejuk. Salad ni sedap dimakan sejuk.


Tibalah waktu untuk menjamu selera.

Jom rasa..

Bismillah..

Hurm... Sedapnya. 😋😋😋

Ahad, 15 September 2019

Singgang Ikan Tongkol yang mudah

Rasa singgang yang menyengat! Makan dengan nasi panas dan ulam serta budu buat orang teringat-ingat!



Masakan tanpa santan ni berkemungkinan besar sangat sesuai untuk orang yang nak kuruskan badan.  Pasal apa?

Pasal singgang ni bahan masaknya guna air, bukan santan. Air opkos lah tak ada lemak berbanding santan.
🤔🤔🤔


Kalau nak sedap, pilih ikan Aya atau tongkol yang jenis hitam. Isi ikan aya hitam lebih lembut berbanding ikan aya putih.


RESEPI SINGGANG IKAN TONGKOL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 keping ikan tongkol
4 cawan air
5 ulas bawang putih, dihiris
1/4 bawang merah besar, dihiris
7 hiris lengkuas
1 keping asam keping atau asam gelugur
1 biji lada merah atau hijau, dihiris serong
Garam, gula dan serbuk perasa

Cara-cara membuatnya

Penyediaan bahan


Ikan dibasuh bersih dan ditoskan.


Bawang putih, bawang merah, lengkuas dan lada hijau.


Bahan-bahan yang telah dihiris, kecuali asam keping.

Cara-cara memasak


Masukkan air ke dalam periuk diikuti dengan kepingan ikan, bahan hiris dan asam keping.


Bila sudah mendidih, masukkan bahan perasa secukup rasa. Mak Hencik bubuh 2 sudu kecil garam, 1 sudu besar gula dan sedikit serbuk perasa.


Biarkan kuah mendidih dan isi ikan masak.


Bila ikan sudah masak, rasa pun sudah sedap dap dap dap.. Bolehlah kita tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidang dan sedia untuk dijamu dengan nasi serta lauk-pauk yang lain.

Jemput makan semua..

Bismillah..

Sabtu, 14 September 2019

Talam Keladi Sukatan Cawan

Warna ungu yang menggoda di atas kulit putih bersih yang lembut. Ohhh.. Sedapnya!




Ini adalah hasil kali kedua. Hasilnya adalah menjadi dengan cemerlang. Rasanya pun sedap. Tekstur juga lembut elok. Pendek kata Mak Hencik sangat berpuas hati. Rasa seronok sekali.



Kata orang.. Perkara yang baik ni elok untuk kita kongsikan dengan orang lain juga.  😜😜😜




RESEPI KUIH TALAM KELADI
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Blog Sinar Kehidupan ku (blog kuih talam paling best)

Bahan-bahan

Lapisan bawah

2 cawan tepung beras
3 sudu besar tepung ubi
6 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1 cawan santan pekat
3 cawan air
1 cawan ubi keladi, dipotong kiub kecil, direbus.

(untuk lebih tepat, campuran air dan santan tu jadikan 1 liter atau 1000ml)

Lapisan atas

1 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air
3 biji telur
1 sudu kecil perisa keladi, optional
1 sudu kecil pewarna ungu

(untuk lebih tepat, jadikan campuran air dan santan tu 750ml)

Cara-cara membuatnya

Hari ini kita menalam.. Ajommm..



Seketul ubi keladi ni kita guna 1/4 sahaja. Kopek kulitnya, potong dadu dan basuh bersih. Kemudian rebus dengan sedikit air sehingga ubi keladi empuk.



Ubi keladi yang telah empuk ditoskan. Biarkan seketika.



Sediakan loyang 10"X10". Oles bahagian bawah dan tepi loyang dengan minyak masak dan alas dengan plastik. Biar plastik melekat di loyang.

Masukkan loyang beralas plastik ke dalam pengukus. Mak Hencik guna pengukus elektrik. Biarkan dahulu. Suis pun jangan on dulu.



Langkah 1
Di dalam bekas, masukkan semua bahan A. Kacau sehingga rata menggunakan whisk.



Langkah 2
Masukkan bancuhan bahan A ke dalam periuk dan kacau selalu. Masak sehingga naik wap.



Langkah 3
Tuang adunan ke dalam loyang yang telah tersedia di dalam pengukus.



Langkah 4
Taburkan ubi keladi yang telah ditoskan tadi ke semua bahagian.



Langkah 5
Balut tudung pengukus dengan kain dan tutup pengukus. Kukus selama 25 minit atau sehingga lapisan bawah masak.

Sambil itu kita sediakan lapisan atas pula.



Langkah 6
Di dalam periuk, masukkan gula.

Di dalam bekas, masukkan tepung gandum, tepung ubi, air dan santan. Kacau sehingga sebati dan tapiskan serta masukkan ke dalam periuk berisi gula tadi.



Kacau sebentar supaya gula hancur sedikit. Kemudian baharulah buka api. Kacau selalu dan masak sehingga naik wap.

Bila sudah naik wap, tutup api dan biarkan dahulu.



Langkah 7
Kembali kepada pengukus. Bila Lapisan bawah sudah masak, buka tudung kukusan. Ambil garpu dan cakar atau gores di bahagian atasnya.



Langkah 8
Bila sudah siap menggores, ambil adunan ungu tadi dan tuang ke atas lapisan putih.



Tuang semua sekali 👆👆



Langkah 9
Kukus semula selama 25 minit atau sehingga lapisan atas atau lapisan ungu masak.



Langkah 10
Bila lapisan atas sudah masak, buka tudung pengukus dan kukus lagi 5 minit. Kali ini kita kukus tanpa ditutup.

Tujuannya supaya bahagian atas tu kering dan kuih talam lambat basi.



Langkah 11
Bila sudah masak, biarkan dahulu sehingga kuih talam kita betul-betul sejuk, lebih kurang 2-3 jam gitu. Kemudian baharulah keluarkan dari loyang.



Potonglah kuih talam dengan pisau plastik apabila kuih betul-betul sejuk untuk hasil yang cantik.

Jemput makan kenkawan semua..

Bismillah .

Jumaat, 13 September 2019

Sotong Masak Sambal yang ringkas

Sotong oh sotong! Encik Sotong ke.. Puan Sotong ke.. Tak kisah.. Ada apa dengan title korang tu ya. Asalkan namanya sotong, kau tetap jadi lauk untuk santapan.. 

😅😅😅



Sambal sotong ni sedap kalau kita makan dengan nasi putih. Kalau makan dengan nasi lemak pun sedap terangkat!


SOTONG MASAK SAMBAL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

10 ekor sotong saiz besar, disiang dan dibasuh bersih serta ditoskan

3 ulas bawang putih
1/2 biji bawang merah besar
5 sudu besar cili kering kisar
1/2 biji bawang besar Holland, dihiris
1 biji lada hijau besar, dipotong serong.
Sedikit minyak untuk menumis

Cars-cara membuatnya

Persediaan bahan atau mise en place


Sotong disiang. Biji di kepala dia tu kita huang. Tulang dia kita buang. Kantung hitam dia pun kita buang. Lepas tu kita potong bulat ke.. Potong memandang ke.. Ikut suka korang.

Begitu juga dengan kulit. Ada orang buang. Ada juga orang yang tak buat. Jadi ikut suka korang laa..


Kisar bawang putih, bawang merah dan masukkan sekali cili kering kisar. Hah..! Kisar lagi sekali.

Jom memasak pula.


Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau dan garing.


Bila bahan tumisan sudah garing, masukkan sotong. Kacau sehingga sebati.

Air dari badan sotong akan mengalir keluar. Teruskan sahaja mengacau.


Kemudian masukkan pula sedikit air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.


Akhir sekali masukkan bawang besar Holland dan lada hijau. Kacau lagi sehingga rata. Biarkan kuah menjadi sedikit kering dan pekat.


Bila kuah sudah pekat dengan rasanya yang aummm sedap.. Bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidangan. Hiasan dengan daun sup dan tangkap gambar. 😬😬😬

Jemput makan wahai sahabat..

Bismillah.. 😋😋😋