Khamis, 1 Februari 2018

Gulai Tempoyak Ikan Patin

Gulai lemak ni sangat sedap. Ditambah pula dengan tempoyak yang segar dari ladang. Hantu lalu depan mata pun boleh tak nampak..!😁😁


Masakan berasaskan tempoyak ni adalah masakan kegemaran keluarga suami. Mulanya pelik jugalah rasanya, sebab keluarga kita tak biasa makan. Kata orang kalau tak rasa tak tahu..kan. hihi

Oleh kerana sudah biasa masakkan untuk suami, lama-lama tekak kita pun dah boleh terima. Sedap juga rasanya bukan? Wahai geng tempoyak, saya nak join group kamu..😎😎


GULAI TEMPOYAK IKAN PATIN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

1 ekor ikan patin - dipotong 5
1 inci kunyit hidup
3 biji cili padi (kalau nak pedas bubuhlah banyak)
1/2 cawan tempoyak
5 tangkai daun kesum
4 cawan santan
1 keping asam gelugur
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya

Jom kita masak


Langkah 1
Ikan patin dibasuh bersih. Untuk hilangkan hanyir ikan ni, kita basuh dengan air beras, garam dan asam jawa. Ramas-ramas semua tu dalam air beras kemudian kita basuhlah ikan patin tu.

Cara macam ni jugalah Mak Hencik buat kalau nak masak ikan darat atau ikan yang kuat bau hanyirnya.

Dah basuh dengan air beras tadi, basuhlah dengan air bersih pula. Kemudian toskan.


Langkah 2
Sediakan bahan untuk memasak, antaranya seperti di atas.



Langkah 3
Di dalam periuk, masukkan ikan. Tuang bahan kisar, santan dan asam gelugur.
Buka api dan masak sampai mendidih. Kacau-kacau selalu.


Langkah 4
Sambil itu, boleh masukkan tempoyak. Kacau rata. Masukkan juga garam dan gula jika suka. Kalau masukkan gula tu, masukkan sikit jer tau. Jangan buat macam air kopi pulak. Huhu


Langkah 5
Masukkan daun kesum. Biarkan sehingga mendidih buat seketika.


Langkah 6
Bila sudah mendidih, bolehlah rasa asam garamnya. Bolehlah tambah yang mana kurang. Bila dah puas hati bolehlah ditutup api.


Langkah 7
Masukkan gulai tempoyak kita yang sedap iteww ke dalam mangkuk hidangan yang paaaling cantik. Pasai apa yang paling cantik? Sebab mangkuk tu kita yang punya. Haha

Jemput makan semua..

Bismillah..

Isnin, 29 Januari 2018

Ayam Percik Kelantan versi Mudah dan Sedap

Ayam percik yang mak masak adalah paling sedap. Bila bakar ayam yang disalut dengan kuah percik.. baunya.. perghhh! Menggegarkan air liur dalam mulut. Hahaha


Mak gunakan bara dari tempurung kelapa untuk memanggang ayam sampai masak. Mak kepit isi ayam dengan pelepah kelapa yang dibelah dua. Mak ikat hujungnya dengan dawai supaya tidak terbakar apabila terkena api. Dan aku laa tukang jaga apinya.. hehe


Hari ini aku ubah cara memasak ayam percik nih lantaran kesibukan bekerja dan kekurangan masa. Biar pun begitu, rasanya masih kekal asli seperti ayam percik mak juga. Terima kasih, mak.


AYAM PERCIK KELANTAN VERSI MUDAH YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

*9 ketul ayam saiz besar
*2 biji bawang putih - diketuk
*1/2 inci halia - diketuk
Semua bahan bertanda * direbus sehingga masak.
Sedikit garam
Sedikit kunyit - kalau suka

Bahan kuah percik

*1 biji bawang merah sederhana besar
*1 biji bawang putih
*1 hiris halia
*5 tangkai cili kering - dibuang biji, digunting dan dibersihkan
Semua bahan bertanda * di atas dikisar halus
3 cawan santan
2 sudu besar tepung beras dicampur dengan 1/2 cawan air
1 keping asam gelugur
Garam dan gula secukupnya


Mula-mula kita rebus ayam bersama air, bawang putih dan halia yang diketuk.


Kemudian, kisar bahan-bahan di atas sehingga halus. Ketepikan.


Sediakan serai yang diketuk dan asam keping.


Ayam yang direbus dan ditoskan airnya disapu dengan garam. Kunyit tak perlu bubuh, tapi kalau nak letak pun tak apa.

Mak hencik sebenarnya tak letak kunyit tapi terrrletak. Huhu.  Cuma kuahnya nanti akan ada warna kuning kuning sikit, turun kaler dari kunyit. Hihi.

Biarkan dulu ayam kita. Satgi kita ambil untuk panggang atas kuali pula. Huhu


Untuk membuat kuah percik, kita masukkan santan dalam periuk, asam kepung, serai dan bahan kisar tadi. Buka api dan kacau seketika.


Biar dia mendidih dan hampir pekat. Masukkan secubit garam dan gula. Sebabnya ayam sudah disapu garam tadi. Jadi, kuah ni biar rasa manis sedikit.


Bancuh tepung beras dan sedikit air untuk memekatkan kuah.


Kemudian, masukkan ke dalam kuah percik sambil dikacau. Kuah akan memekat. Kecilkan api.


Ayam yang diperap tadi dipanggang atas kuali sahaja. Panggang hingga garing sedikit dan balik-balikkan. Panggang semua ayam sampai habis.


Selepas itu, masukkan semua ayam yang telah dipanggang ke dalam kuah percik.
Balik-balikkan seketika kemudian barulah tutup api.


Untuk menyedapkan lagi ayam percik, kita hendaklah panggang lagi sekali ayam yang bersalut kuah percik.


Hurmmm.. apa lagi.. lagi sekali kita guna kuali tadi. Masukkan ayam bersalut kuah percik dan panggang dalam kuali. Balik balikkan. Wangi tau bau ayam percik yang dipanggang ni. 

Kalau tak cukup kuah, golekkan lagi ke dalam kuah percik dan panggang lagi. Buatlah sampai habis. Buatlah sampai puas hati. Hehe


Dah siap masukkan dalam pinggan. Hurmmm.. pinggan yang sama jer.. hahaha.. peduli apa I.. hahaha


Boleh curah lebih kuah kalau suka.. sedapnya kawan-kawan.. sedapnya.. jom makan.. jom..

Bismillah..

Sabtu, 27 Januari 2018

Agar-agar gula melaka lapis santan

Masa kecil-kecil dulu lagi mak dah buat agar-agar ini. Sekarang, bila aku membuatnya rasa macam zaman dahulu pula. Walaupun begitu, agar-agar ini kekal sedap kepada ku di sebalik pelbagai puding dan agar-agar moden yang lain.


Selain aku, suami pun peminat setia agar-agar ni juga. Malah dia sendiri pun memang pandai buat agar-agar ini. Tapi biasalah lelaki.. buat sekali, lepas tu dua tiga tahun tak buat-buat jugak lagi. Hahaha


AGAR-AGAR GULA MELAKA LAPIS SANTAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus agar-agar bertali
2 kerek manisan - kurang lebih 1 cawan gula melaka
3/4 cawan gula
5 cawan air
3 cawan santan
2 biji telur
Sedikit garam

Cara-cara membuatnya

Meh ler kita ke dapur


Langkah 1
Agar-agar dibasuh bersih kemudian dimasak dengan 5 cawan air sehingga hancur.


Langkah 2
Apabila agar-agar sudah hancur, masukkan gula dan gula melaka. Masukkan santan. Kacau seketika. Biar sampai mendidih. Biar sehingga gula dan gula melaka hancur.


Langkah 3
Pecahkan telur dalam sebuah bekas. Pukul sedikit.

Apabila santan sudah mendidih, masukkan telur yang dipukul tadi. Sambil menuang, sambil mengacau.

Biar lama sedikit menggelegak supaya santan dan telur timbul ke atas.


Kalau Mak Hencik confuse, Mak Hencik masukkan satu senduk ke dalam mangkuk kecil. Kalau dah nampak berlapis, boleh tutup api.

Agar-agar dalam mangkuk kecil tu boleh masukkan semula dalam periuk.


Langkah 4
Tuangkan ke dalam bekas 10"x10".  Biarkan ia sejuk sedikit baru masukkan ke dalam peti ais.


Ini dia hasil agar-agar kita hari ini. Cer rasa sikit. Mmm.. sedapnya. Kawan-kawan, jemput makan..

Bismillah..

Ketupat Sotong Versi Kelantan

Sotong yang berisi pulut dalam badannya ni sangat sedap. Tambah-tambah lagi, rasanya lemak dan manis, kena dengan selera saya.



Suami saya pun sangat menggemarinya. Jadi agak kerap jugalah saya menyediakannya apabila tiba musim sotong. Maklumlah harga sotong pun bukannya murah..

Tadi kebetulan singgah di pasar di Nilai 3. Ada pula sotong yang saiznya sesuai untuk dibuat ketupat. Harganya rm22 sekg. Jadi, bolehlah kita buat ketupat sotong hari ini.


KETUPAT SOTONG VERSI KELANTAN YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 1/2 cawan beras pulut - direndam dengan air 30 minit
1 1/2 cawan santan
Selepas rendam beras pulut 30 minit, toskan air dan masukkan santan dan secubit garam

14 ekor sotong sederhana besar
1/2 kerek manisan
3 sudu makan gula
3 cawan santan
Secubit garam
9 kuntum bunga cengkih
2 helai daun pandan

Cara-cara membuatnya

Jom kita ke dapur


Langkah 1
Mula-mula basuh bersih beras pulut kemudian rendam lebih kurang 30 minit.

Selepas 30 minit, toskan airnya dan masukkan 1 1/2 cawan santan dan sedikit garam. Ketepikan seketika.


Langkah 2
Bersihkan sotong dengan mengasingkan kepala dan badannya. Buang tulang sotong dan biji di kepalanya. Kantung hitam sotong juga dibuang. Cuci bersih dan toskan.


Bunga cengkih


Nise kerek ni ambil separuh sahaja. Kalau tiada boleh sahaja digantikan dengan gula melaka atau gula kabung.


Lidi satay dipotong tajam hujungnya. Guna pencungkil gigi pun ok juga.

Langkah 3
Sediakan bahan-bahan untuk memasak seperti di atas. Santan dan garam jangan dilupa.


Langkah 4
Proses seterusnya ialah memasukkan beras pulut yang direndam dengan santan tadi ke dalam perut sotong. Masukkan 2/3 beras pulut beserta santan. Tekan-tekan sikit dengan hujung pemegang sudu.


Lepas itu, ambil kepala sotong, masukkan ke badannya dan gunakan lidi untuk menyambungnya.


Masukkan ke dalam periuk.


Buat sampai habis.


Langkah 5
Masukkan santan ke dalam periuk, bunga cengkih, daun pandan, nise kerek atau gula melaka, gula dan sedikit garam. Buka api.

Rasa ketupat sotong kelantan ni manis. Jadi ikutlah kemanisan masing-masing.


Langkah 6
Nak bagi cepat masak, Mak Hencik tutup jer dengan tudung periuk. Jangan guna tudung kepala pula ya.


Langkah 7
Agak-agak dah mendidih, kacau sedikit. Biarkan terbuka sehingga kuah jadi pekat sedikit.


Langkah 8
Bila kuah sudah pekat, bolehlah kita tutup api. Masukkan dalam mangkuk hidangan. Tunggu sejuk dulu ya baru boleh dimakan.


Mmm.. yummy.. sebelum makan tu mohon buang lidi tu dulu ya.. beringat sebelum kena. Hihi. Jemput makan kenkawan..

Bismillah..