Khamis, 11 Januari 2018

Tom Yam Ayam yang Sedap

Apa-apa resepi sekali pun saya akan cari yang ringkas sahaja. Kalau resepi yang guna banyak bahan, saya pun mulalah nak skip sana sini. Hihi. Yang penting sekali rasanya sedap.



Semasa mula berpindah ke Sepang, pertengahan tahun 1998, kami suami isteri baru sahaja bernikah. Kami tinggal di Kuarters Kakitangan KLIA. Masa tu, kawasan sekitarnya belum ada kemudahan sepertimana sekarang. Aku pula menyambung pelajaran di Gombak. Jadi, kami ada satu kedai tom yam kegemaran yang kami gelarkan kedai Ricky Martin. Sedap betul tom yam dia.


Kenapa kami panggil kedai Ricky Martin? Hihihi. Kerana salah seorang pembantu kedai tersebut mempunyai gaya ala ala Ricky Martin. Gaya rambut, gaya pakaian dan cara berjalan betul betul menyerupai Ricky Martin. Baik dan sopan pula budaknya.

Begitulah secebis kenangan kedai tom yam kegemaran..


RESEPI TOM YAM MUDAH DAN SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 ketul ayam - dipotong kecil
2 ulas bawang putih - diketuk
5 biji cili padi - diketuk
2 sudu besar paste tom yam
2 batang serai

1 biji tomato
1/2 biji bawang holand - dihiris atau dipotong wedges
1 sudu besar jus limau nipis
3 helai daun limau purut
1 liter air
5 tangkai daun ketumbar

Sedikit batang seleri - dipotong serong
Sedikit bunga kobis - dipotong kecil
Sedikit karot - dipotong halus panjang 2 inci
1 sudu besar minyak untuk menumis
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Jom jom kita ke dapur


Ayam campur campur. Isi dan tulang dipotong kecil.


Bawang putih, cili padi, bunga kobis, karot, tomato, seleri dan daun ketumbar.


Serai dan daun limau purut


Langkah 1
Panaskan minyak, tumis bawang putih sehingga kekuningan dan masukkan cili padi.


Langkah 2
Apabila bawang sudah kekuningan, masukkan ayam. Kacau sekali sekala sehingga ayam separuh masak.


Langkah 3
Masukkan air. Biarkan sehingga mendidih.


Langkah 4
Apabila sudah mendidih, masukkan paste tom yam, garam, gula dan serbuk perasa.


Langkah 5
Masukkan seleri, karot dan daun ketumbar beserta akarnya.


Biarkan kuah tom yam mendidih


Sementara tunggu kuah mendidih, potong kecil bunga kobis dan hiris bawang holand.


Langkah 6
Apabila kuah sudah mendidih, masukkan jus limau nipis.


Masukkan juga daun limau purut.


Masukkan juga bunga kobis.


 Biarkan ia mereneh seketika, kemudian tutup api


Langkah 7
Hidangkan dalam mangkuk hidangan. Sedap dimakan dengan sambal belacan, timun dan telur dadar. 

Jemput makan kawan-kawan..
Bismillah..

Selasa, 9 Januari 2018

Telur Bistik Ayam yang Sedap

Di dalam telur ada isi ayam. Sedap apabila digigit. 



Suatu petang, aku dan seorang kawan pergi ke gerai berhampiran asrama, dekat Seksyen 17 Petaling Jaya. Yang nak marahnya, dia tak boleh masak masakan lain melainkan telur bistik sahaja. Aku ni tak suka telur, tapi perut sudah lapar, jadi kami bersetuju sahajalah.

Bila balik ke asrama, kami pun makan. Mak aihhhhh sedapnya. Di dalam telur tu ada daging sikit dengan karot dadu, jagung dan kacang peas. Sos dia tu secukup rasa. Aummm..


RESEPI TELUR BISTIK AYAM YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 biji telur
*1 ketul isi ayam - dicincang halus
*Sedikit serbuk lada sulah
*Sedikit serbuk lada hitam
Bahan bertanda * digaul sebati dan digoreng dengan sedikit minyak. Sejukkan.

2 biji bawang putih - diketuk
1/3 cawan sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 biji tomato - dibelah 4
1/2 biji bawang besar - dihiris
1 biji lada hijau - dipotong serong
Sedikit karot - dipotong dadu
1 liter air
Sedikit minyak untuk menggoreng
1 sudu besar tepung jagung dicampur dengan sedikit air
Sedikit daun sup dihiris - untuk hiasan
Sedikit bawang goreng - untuk hiasan

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom

Cara membuat telur bistik


Mula-mula kita gaulkan isi ayam cincang dengan serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah.


Panaskan sedikit minyak dan goreng ayam tadi sehingga masak. Tak perlu garing ya. Cukup sekadar masak.


Ayam cincang yang sudah masak disejukkan.


Basuh bersih telur ayam.


Pecahkan sebiji di dalam mangkuk kecil. Masukkan sedikit isi ayam tadi. Pukul sedikit dengan sudu.


Panaskan minyak dan goreng telur yang dipukul tadi.


Lipat atau gulung telur supaya isi ayam tidak terkeluar.


Balikkan telur apabila telah masak.


Bila telah masak, angkat dan masukkan dalam pinggan hidangan.

Ulangi langkah menggoreng telur bistik sampai habis.


Biarkan dahulu telur bistik. Jom sediakan kuah sos dia pula.

Cara-cara menyediakan kuah sos telur bistik.


Bawang putih, tomato, lada hijau, bawang holand dan karot.


Sos cili, sos tiram dan sos tomato. Hahaha. Gambarnya sos cili sahaja.


Mula-mula, kita panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih.


Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Kacau sebati.


Kemudian, masukkan lada hijau, karot, tomato dan bawang holand. Kacau kacau sikit.


Lepas tu masukkan air. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa.


 Biarkan sehingga mendidih.


Sementara itu, sediakan bancuhan tepung jagung.


Kemudian tuang bancuhan tepung jagung ke dalam sos yang sedang mendidih di dalam kuali.


Apabila kuah sudah pekat elok, bolehlah tutup api.


Tuang sos ke atas telur bistik yang telah digoreng tadi.


Yeayyyy!! Beginilah rupa telur bistik ayam kita hari ini. Tabur sedikit hirisan daun bawang dan bawang goreng. Sangat sedap dimakan dengan nasi dan lauk lain seperti tom yam. Jemput makan semua...

Bismillah..

Gulai Lemak Telur Ikan yang sedap

Gulai lemak ni tidak jemu dimakan.



Rasa macam wujud dalam drama jer bila dengar cerita dari kawan ni. Peminat setia tahap antarabangsa pada gulai lemak. Dari udang, sotong,ikan, ayam, daging hinggalah ke pucuk paku, pucuk ubi hatta kang kung dibuat gulai lemak. Sambal belacan dan ulam-ulaman pula mengiringi hidangan. Sedap katanya. Senyum jer kita mendengarnya. Memang sedap pun gulai lemak..


MASAK LEMAK TELUR IKAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ketul telur ikan saiz besar - dipotong 3 atau 4
3 cawan santan
*1/2 biji bawang merah besar
*1 biji bawang putih
*2 hiris lengkuas
*3 tangkai cili kering - dibuang biji dan dipotong kecil
Bahan bertanda * dikisar

1/2 sudu teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
1 biji tomato - dibelah 4
1 atau 2 biji lada hijau atau merah
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Jom jom jom


Telur ikan dibasuh bersih dan ditoskan. Tak tahulah ikan apa, yang pasti ikan betina.


Telur ikan dipotong 3 atau empat.
Bukan apa.. supaya senang nak makan. Anak-anak pun tak berebut.


Antara bahan-bahan yang digunakan. Tidak bergambar bersama ialah asam gelugur atau asam keping.


Kisar bawang merah, bawang putih, lengkuas dan cili kering. Kalau ada kunyit hidup lagi sedap gulai kita.

Kalau rajin boleh jer kalau nak tumbuk.


Mula-mula ambil periuk, masukkan santan, bahan kisar dan serbuk kunyit. Buka api.


Masukkan lada hijau dan tomato.
Kacau selalu supaya tidak berketul.


Kacau sehingga kuah mendidih.


Apabila kuah sudah mendidih, masukkan telur ikan. Masukkan juga garam dan gula jika suka. Kacau lagi perlahan-lahan.


Biarkan telur ikan masak dengan sempurna. Apabila telur ikan sudah masak, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidangan. Nampak telur ikannya pun dah telan air  liur. Sedap juga kalau ada kentang balado nih. Jom makan kawan-kawan.

Bismillah..

Ahad, 7 Januari 2018

Keledek Goreng Rangup

Rasa manis keledek dan rangup tepung goreng memang kena dengan selera.


Seorang kawan yang sangat pandai melukis bercerita mengenai suaminya yang suka makan goreng-goreng ni.. Goreng pisang.. goreng ubi keledek.. goreng cempedak.. goreng sukun..

Dia akan makan goreng-goreng tu bersama secawan kopi. Waktu bila dia nak makan tu? Waktu sahur pada bulan puasa.. Huhu


KELEDEK GORENG RANGUP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 cawan tepung goreng pisang segera
1/3 cawan tepung beras
1 cawan air
Sedikit garam

Cara-caranya

Jom kita menggoreng


Ubi keledek oren sedang tidur lena..


Kupas kulit keledek. Mak Hencik guna peeler. Kalau nak kikis kulit dia pun ok gak. Terpulang kepada kebiasaan dan keselesaan masing-masing.

Potong pun ikut suka uols. Mak Hencik potong halus panjang supaya cepat masak. Basuh bersih, toskan dan ketepikan.


Di dalam mangkuk adunan, campurkan tepung goreng pisang segera, tepung beras, air dan sedikit garam.


Gaul sebati. Agak-agak adunan tidak cair dan tidak pekat.


Agak-agak boleh menyalut keledek kita. Pastu bolehlah masukkan beberapa ketul keledek.

Panaskan minyak. Gorenglah keledek tadi.
Balik-balikkan supaya masak sekata.

Mak Hencik pass baton pada anak dara. Biar dia yang goreng. Hihi.


Bila sudah masak, angkat. Toskan minyak.
Gorenglah sampai habis.


Masuk ke dalam pinggan dan boleh dihidangkan bersama minuman kegemaran. Perghhhhh manis dan rangup keledek goreng dimakan panas-panas. Jemput makan semua..

Bismillah..